Tuesday, December 1, 2009

Wajib bagi orang Islam itu Ikuti as-Sunnah

Assalamualaikum,
Orang Islam yang inginkan dirinya tergolong dalam golongan 'Ahlus sunnah wal-Jama'ah' itu wajib berpegang dengan dan berpandukan ketetapan as-Sunnah. Kerana Allah (a.w) perintahkan hambaNya yang Islam dan beriman itu ikuti Rasulallah (s.a.w), kerana Rasulallah (s.a.w) adalah 'uswatun hasanah', model terbaik bagi mereka. Tiada model ikutan yang lebih baik.
Firman Allah (a.w): [Maksud: Apa-apa yang dibawakan oleh Rasulallah (s.a.w) kepada kamu hendaklah kamu ambil, dan apa-apa yang ditegahnya hendaklah kamu jauhi] [Ayat 7, Surah al-Haysr]. Dan Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita jalan selamat ke syurga dan terhindar dari neraka jika kita patuhi ketetapan beliau berikut:
Sabda Rasulallah (s.a.w):[Maksud: Aku tinggalkan kepada kamu sekelian dua perkara yang jika kamu berpegang kepada kedua-duanya, tidak akan sesat kamu selama-lamanya (dalam mencari dan mendapatkan serta mengikuti siratul mustaqim, yakni mendapatkan syurga) (iaitu): Kitab Allah (a.w) (yakni, al-Quran) dan sunnah nabi (yakni, sunnah Rasulallah (s.a.w)) . [Hadith sahih at-Termidzi, Ahmad ibnu Hanbal, Ibni al-Asim, al-Hakim, at-Tobrani, ad-Dalamii dan al-Thahawi].
Dan, Rasulallah (s.a.w) menyuruh kita yang Islam dan beriman itu berpegang dengan as-Sunnah, iaitu sunnah beliau dan sunah sahabat-sahabatnya yang empat, seperti yang disebutkan dalam dua hadith berikut:'
Diriwayatkan hadith daripada Abdul Rahman bin ‘Amru as-Salami (r.a) berkata sesungguhnya dia mendengar ‘Irbad bin Sariah (r.a) berkata: ‘Dan memberi nasihat kepada kami oleh Rasulallah (s.a.w) suatu nasihat yang mengalirkan air mata (mereka yang mendengar) daripada nasihat tersebut dan menakutkan dari nasihat tersebut beberapa hati (yang mendengarnya)’. Maka berkata aku (Irbad): ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Sesungguhnya ini nasihat seperti nasihat orang yang (hendak) meninggalkan kami, maka apakah janji atas kami?’ Sabdanya: ‘Sesungguhnya bagi kamu (aku) tinggalkan atas yang putih – malamnya putih dan adapun siangnya putih, jangan sesat (kamu sekelian) sesudahku kecuali rosak barangsiapa diantara kamu, (yang panjang umur) maka melihat (kamu akan) perselisihan yang banyak (di kalangan umat Islam mengenai ugama Islam), maka (aku mewajibkan) atas kamu dengan barangapa yang tahu atau arif kamu (yakni, faham kamu) dari sesudahku (yakni, sesudah tiada aku kelak) dari sunnahku dan ‘sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin’, gigitlah atasnya dengan gigi geraham, dan diwajibkan atas kamu dengan taat (yakni, taatkan perintah dan suruhan imam atau amir atau ketua) dan sekiranya hamba Habsyi sekalipun (yakni, orang yang sangat dibenci dan tidak disukai sekalipun menjadi imam atau pemimpin kamu); maka sesungguhnya orang yang beriman itu seperti unta di mana (dan ke mana) ditarik diikuti unta (akan tuannya).’[Hadith Ibnu Majah]
dan, hadith berikut yang menjelaskan bahawa kita akan menghadapi pelbagai perpecahan dalam Islam. Begitu banyak perselisihan faham serta pendapat di kalangan umat Islam akhir zaman, yang membuatkan kita begitu teruja untuk kekal Islam dan beriman, mencari kerahmatan Allah (a.w) sementara masih hidup. yang dapat mempastikan kita terus Islam dan beriman dan berjaya mendapat syurga adalah terus berpegang dengan ajaran as-Sunnah bukan ajaran orang lain.
Diriwayatkan hadith daripada Abi Najih al-Irbad bin Sariah (r.a) berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) menyampaikan suatu peringatan yang membuat gerun beberapa hati dan mengalirkan air mata beberapa mata (orang yang mendengar nasihat itu). Kami berkata: ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Nasihat ini seolah-olah daripada seorang yang hendak meninggalkan kami. Apakah nasihat engkau kepada kami?’ Maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Diwajibkan atas kamu sekelian bertaqwa kepada Allah (a.w) dan dengan mendengar dan taat, jikapun yang memimpin kamu adalah seorang hamba Habsyi. Barangsiapa di kalangan kamu yang panjang umurnya, akan melihat banyaknya perselisihan (di kalangan umat Islam mengenai ugama Islam). Maka diwajibkan atas kamu sekelian berpegang kepada sunnahku dan sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin, maka gigitlah dia (yakni, sunnahku dan sunnah mereka) dengan gigi geraham (yakni, pegang kuat jangan lepaskan). Dan, takutilah pembaharuan dalam perkara (atau urusan ugama), dan sesungguhnya tiap-tiap pembaharuan adalah bid’ah, dan tiap-tiap bid’ah adalah kesesatan.’ [Hadith Abu Daud dan juga at-Termidzi, katanya hadith sahih]
Orang iman itu sentiasalah berpandukan moto 'Sami'na' (aku dengar) dan 'wa-ato'na' (dan aku taat). Orang yang selamat itu hanyalah orang yang berpegang kepada as-Sunnah. Merekalah yang tergolong dalam orang-orang yang menepati tuntutan Ayat 13, Surah an-Nisa' itu.

Jazakallahu khairah

2 comments:

  1. Assalamualikum,

    Cadangan buat penulis.

    Bagi memudahkan pembaca, harap dapat di "BOLD"kan ayat AlQuran dan/atau di "ITALIC" dan "BOLD"kan Hadith Rasulullah SAW.

    ReplyDelete
  2. salam.
    kepada penulis blog yayasan ilmu,
    pertamanya, saya ingin memberi sedikit teguran sebagai ingat mengingati untuk diri saya dan orang lain, eloklah saya mulakan dengan perkara ini dahulu sebelum saya menyentuh bab BID'AH yang anda utarakan...berhati-hatilah dalam menyebarkan dakwah, kerana terlalu ramai orang yang menyangka mereka menyebarkan dakwah...tetapi sebenarnya ilmu yang dangkal...mereka menjadi sesat..bahkan menyesatkan.saudara menggunakan ayat tulisan rumi dalam blog saudara, sedangkan kita boleh gunakan ayat al-Quran sebenarnya.ketahuilah bahawa bacaan ayat al-Quran dengan tulisan rumi adalah tidak sah dan tidak diterima kerana tulisan rumi itu menyebabkan bacaan salah dan menyimpang daripada maksud sebenar.

    Benar, al-Quran hanya boleh dibaca mengikut kaedah bahasa Arab yang sesuai dengan Rasam Uthmani saja bagi mengelakkan kesalahan dalam menyebut makhraj huruf dan hukum tajwid kerana kesilapan itu boleh membawa kepada kesalahan makna.

    Usaha mempelajari al-Quran adalah fardu ain bagi orang Islam, malah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baiknya kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya” (Riwayat Bukhari). Bahkan dengan membaca al-Quran, seseorang itu memperoleh pahala dan kebajikan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa membaca satu huruf daripada kitab Allah, maka ia akan mendapatkan satu kebajikan dan setiap kebajikan itu akan dibalas dengan sepuluh kali ganda.” (Riwayat Tirmizi).

    Berkenaan doa pula, sekiranya tidak mampu untuk berdoa dalam bahasa Arab, maka boleh berdoa dalam bahasa yang anda fahami. Bagaimanapun, sekiranya dapat menghafal doa dalam bahasa Arab dan memahaminya ketika berdoa, perkara itu lebih baik.

    salam perjuangan

    ReplyDelete