Assalamualaikum,
Dalam zaman moden ini kita akan temui semakin ramai manusia yang berbagai-bagai - yang dengki, yang iri hati, yang suka menganianya orang, suka menguji ilmu hitam mereka, dan suka mencari jalan mudah dan jalan pintas untuk senang seumpama mencuri, meragut, merompak dan sebagainya. Kita terdedah kepada gejala-gejala buruk ini sepanjang siang dan malam dan setiap hari. Namun, Islam sentiasa memberikan umatnya yang beriman pelbagai bentuk dan cara perlindungan atau melindungkan diri dari terkena musibah-muisibah sedemikian.
Maka dengan itulah Rasulallah (s.a.w) diwahyukan oleh Allah (a.w) untuk mengajar umatnya cara-cara menjaga diri dari musibah sedemikian. Cuba kita teliti hadith di bawah ini yang memberikan kita perisai ugama untuk menepis dan menjaga diri dari mengenai kita.
Diriwayatkan hadith daripada Ma'qil b Yasar hadith daripada Nabi (s.a.w) yang bersabda: 'Barangsiapa berkata(yakni, menyebut atau membaca) ketika pagi tiga ayat akhir Surah al-Haysr dan menyerahkan oleh Allah (a.w) (kepadanya) 70,000 malaikat yang beselawat (i.e. mendoakan) atasnya (keselamatan dan menjaga dirinya dan keluarganya dari berlakunya musibah) sehingga petangnya; dan jika mati dia di dalam demikian hari (yakni, pada hari itu), maka matinya seumpama mati syahid (yakni, masuk syurga); dan barangsiapa menyebutkannya (yakni, membaca tiga ayat terakhir tersebut) ketika petang ada baginya dengan demikian tempat (yakni, terjaga pula pada petang dan malamnya, dan jika mati dia pada malamnya, maka matinya seumpama mati syahid).' [Hadith Imam Ahmad di dalam Tafsir ibnu Kathir]
Dari segi adabnya, hendaklah kita membaca ayat perlindung, iaitu: 'A'uzubillahi sami'il alim minasy-syaitanir-rajim' [Maksud: Aku berlindung dengan Allah (a.w) Zat yang Maha Mendengar (atau mengetahui) dari syaitan yang direjam' dahulu, barulah kita baca doa yang disebutkan dalam hadith tersebut sebanyak tiga kali dahulu.
Demikianlah kefadhalannya apabila kita membaca tiga ayat terakhir Surah al-Haysr itu sekali di waktu pagi (lazimnya selepas Solat Subuh) dan sekali di waktu petang (lazimnya selepas Solat 'Asar). Dengan itu, lazimkanlah diri kita membaca tiga ayat tersebut selepas Solat Subuh sekali dan selepas Solat 'Asar sekali setelah kita selesai solat, berzikir dan membaca doa.
Mudah-mudahan saudara yang membaca post ini ingin mengamalkan ketetapan as-Sunnah ini yang memberikan kita manfaat. Apabila dibaca maka kita terjaga dari sebarang ancaman tidak baik yang didatangkan oleh orang yang ingin mengenakan kemudaratan kpd kita. Amin
Jazakallahu khairah.
No comments:
Post a Comment