Assalamualaikum,
Kita sambung perbincangan kita mengenai kaedah dan cara berwudu'. Kita telahpun teliti proses preliminary wudu' sebelum membasuh anggota wudu' dalam post terdahulu. Kita sambung pula dengan kaedah membasuh anggota wudu'. Yg membezakan amalan lazim dgn ketetapan as-Sunnah adalah dalam kes kepala, menyapu dengan tangan yang dibasahi air wudu'.
Anggota-anggota Wudu'
Selepas preliminary yang kita sebutkan sebelum ini kita hendaklah teruskan proses berwudu' itu:
5. Membasuh muka atau wajah kita dengan mempastikan bahagian bawah dagu kita juga dikenakan dan diratakan air (sekali atau dua atau tiga kali)
6. Membasuh kedua-dua tangan sehingga sampai bahagian atas dari kedua siku kita, tangan kanan didahulukan, kemudian tangan kiri (sekali atau dua kali atau tiga kali)
7. Menyapu kepala dengan tangan yang dibasahi oleh air wudu', memulakan dari bahagian atas dahi dilalukan kedua-dua tangan ke belakang sampai ke tengkuk dan kemudian dilalukan (i.e. ditarik) kedua-dua telapak tangan ke depan semula sampai ke bahagian kepala sebelah atas dahi kita (sekali)
8. Membasuh kedua-dua kaki sampai ke bahagian atas kepada kedua buku lali (sekali)
9. Membaca Doa Selepas Wudu' iaitu dua kalimah syahadah dan, jika mahu, dibacalah doa pendek untuk itu.
Rasulalah (s.a.w) menyebutkan bahawa basuhan anggota wudu' itu paling minima sekali dan yang afdhal tiga kali. Juga, Rasulallah (s.a.w) memberitahu bahawa wudu' para rasul dan nabi, khususnya Nabi Ibrahim (a.s), kekasih Allah (a.w), adalah membasuh anggota wudu' yang dibasuh itu tiga kali.
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas (r.a) berkata: ‘Aku melihat Rasulallah (s.a.w) (menyapu) sekali-sekali (yakni, sekali angota wudu’ dengan cedokan air dengan kedua tangannya).’ [Hadith sahih Ibnu Majah]
Diriwayatkan hadith daripada Aisyah (r.ah) dan Abi Hurairah (r.a), berkata kedua-duanya: ‘Bahawasanya Nabi (s.a.w) berwudu’ (membasuh dia akan anggota wudu’) tiga-tiga kali.’ [Hadith sahih Ibnu Majah]
Diriwayatkan hadith daripada Thabit bin Abi Safiah ath-Thumali (r.a) berkata: ‘Bertanya aku kepada Aba Jaafar (r.a), berkata aku kepadanya: ‘Adakah diceritakan (kepada kamu hadith) daripada Jabir bin Abdullah (r.a) bahawasanya Nabi (s.a.w) berwudu’ sekali sekali?’ Berkata Jaffar: ‘Ya.’ Berkata aku: ‘Dan dua-dua kali? Dan tiga-tiga kali?’ Berkata Jaffar (r.a): ‘Ya.’ [Hadith sahih Ibnu Majah]
Proses berwudu' sepenuhnya diceritakan dalam hadith berikut, sebagaimana di demokan oleh sahabat Nabi (s.a.w), Abdullah b Zaid (r.a):
Menceritakan kepadaku (kata an-Nasa’i) Muhammad ibn Salamat dan Harith ibnu Miskin membaca atasnya (yakni, hadith), dan aku mendengar dan lafazkan baginya dari Ibnu Qasim berkata menceritakan padanya Malik daripada ‘Amru bin Yahya al-Mazini, yang mendapat hadith daripada bapanya, sesungguhnya (bapanya) berkata bahawa hadith ini dari Abdullah bin Zaid bin ‘Asim, dan adapun (Abdullah adalah) seorang sahabat Nabi (s.a.w), dan dia itu datuk ‘Amru bin Yahya, yang berkata (ayahnya bertanya kepada datuknya): ‘Adakah dapat engkau tunjukkan kepadaku bagaimana ada Rasulallah (s.a.w) berwudu’?’ Berkata Abdullah bin Zaid (r.a): ‘Ya.’ Maka meminta dia air untuk wudu’. Maka (setelah diberikan air) dituangkannya atas kedua tangannya maka membasuh kedua tangannya dua kali dua kali. Kemudian berkumur-kumur dia dan menghisap air ke dalam hidungnya tiga tiga kali. Kemudian membasuh mukanya tiga kali, kemudian kedua-dua tangannya dua kali dua kali ke paras sikunya, kemudian diusapnya (yakni disapunya) kepalanya dengan kedua tangannya. Maka memulakan menyapu dari depan (di atas bahagian dahi) ditariknya kedua tangannya mulai dari dahi kepalanya kemudian dijalankannya (yakni, dilalukannya) kedua tangannya (ke belakang) sampai ke tengkoknya, kemudian dikembalikan (usapannya) dari belakang ke depan sehingga tempat mula-mula tadi, kemudian dibasuh kedua kakinya sehingga ke paras kedua buku lalinya.’ [Hadith sahih an-Nasa’i]
Selepas membasuh kaki itu, kita bacalah dua kalimah syahadah. Maka dengan itu dapatlah kita ganjarannya iaitu: pertama, kerana berwudu' dengan sempurna itu maka gugurlah dosa-dosa kita bagi tempoh antara dua solat; dan kedua, dibuka Allah (a.w) untuk kita di akhirat kelak 8 pintu syurga, yang para malaikat menjemput kita memasukki dari pintu mana yang kita sukai.
Diriwayatkan hadith daripada Ibnu Omar (r.a) berkata: ‘Maka berwudu’ Rasulallah (s.a.w) sekali sekali.’ Maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Ini wudu’ bagi orang yang tidak diterima Allah (a.w) darinya sesuatu solat kecuali dengan wudu’ ini (yakni, wudu’ dengan membasuh anggota wudu’ sekali-sekali sahaja itu adalah wudu’ minima yang membolehkan sah wudu’ dan sahkan sesuatu solat itu diterima Allah (a.w))’ Kemudian (berwudu’ Rasulallah (s.a.w) dua-dua kali, maka bersabda dia: ‘Ini wudu’ adalah lebih qadar darjat (orang yang) berwudu’ (yakni, lebih baik). Dan (kemudian) berwudu’ (Rasulallah (s.a.w)) (membasuh anggota wudu’nya) tiga-tiga kali. Maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Wudu’ ini adalah wudu’ aku dan wudu’ kekasih Allah (a.w) (Nabi) Ibrahim (a.s). Barangsiapa berwudu’ demikian ini kemudian membaca (doa) setelah selesai (wudu’nya),(iaitu, dua kalimah syahadah): (Asyhadu-alla-ilahail-lallah, wa-asyhadu-anna Muhammadan ‘abduhu wa-rasuluhu’), maka dibuka bagi orang itu lapan pintu-pintu syurga masuk dia ke dalamnya dari mana-mana pintu yang dikehendakinya (semasa di akhirat kelak).’ [Hadith sahih Ibnu Majah]
Alhamdulillah, kita sudahpun tahu ilmunya mengikut as-Sunnah bagaimana berwudu' yang sebenarnya sebagaimana dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w). Apabila kita bandingkan kaedah ini dan apa yang kita diajarkan mengenai wudu', yang kita amalkan sehingga kini, jelaslah ada banyak perbezaan. Pertama, tidak perlu melafazkan atau menzahirkan niat; kedua, perlu membaca 'Bismillah', kerana tanpa membaca kalimah 'Bismillah' itu wudu' tidak sah; ketiga, menyapu bahagian kepala seluruhnya bukanlah menyapu sebahagian atau beberapa helai rambut sahaja; dan, keempat, membasuh kedua kaki sekali sahaja. Semoga mulai hari ini kita perbaikilah cara dan kaedah kita berwudu' supaya menepati apa yg dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w), maka kita mendapt ganjaran pahala yang dikhususkan dan pada masa yang sama sahlah wudu' kita. Amin
Jazakullahu khairah
No comments:
Post a Comment