Thursday, December 17, 2009

Perlukah wudu' setiap kali nak solat?

Assalamualaikum,
Meneruskan perbincangan kita tentang wudu', kita mungkin ingin tahu apakah ketetapan as-Sunnah (i.e. Islam) tentang sama ada kita perlu berwudu' setiap kali nak solat atau memadai dengan wudu' yg satu selagi tidak batal? Yg perlu kita ingat adalah jika kita yakin bahawa tiada sesuatu yg telah membatalkan wudu' kita, maka kita boleh bersolat beberapa waktupun. Namun jika kita was-was, maka eloklah kita berwudu' semula.
Saudara, cuba kita lihat sandaran nas dan dalil as-Sunnah mengenai perkara ini. Tiga potong hadith di bawah ini menjelaskan bahawa seseorang itu dibolehkan bersolat beberapa solat dengan wudu’ yang satu. Yakni, selagi tidak batal wudu’ itu bolehlah kita bersolat beberapa solat, fardu ataupun sunat. Dibolehkan juga, mengambil wudu’ atau membaharui wudu’, jika mahu:
1. Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a) berkata: ‘Adapun Rasulallah (s.a.w) berwudu’ dia bagi setiap solat. Dan adapun aku, solat aku dengan beberapa solat kesemuanya dengan wudu’ yang satu.’ [Hadith ibnu Majah]
Hadith di atas menjelaskan bahawa walaupun Rasulallah (s.a.w), suatu ketika membaharui wudu’nya setiap kali dia hendak bersolat, Anas (khadam Nabi (s.a.w)) bersolat beberapa solat selagi wudu’nya tidak batal, yakni dengan wudu’ yang satu. Namun begitu, mengikut beberapa riwayat, selepas umat Islam menawan kota Mekah, Rasulallah (s.a.w) bersolat beberapa solat dengan wudu’ yang satu:
2. Diriwayatkan hadith daripada Sulaiman bin Buraidah, hadith daripada bapanya yang mengatakan bahawanya Nabi (s.a.w) ada berwudu’ bagi setiap solat (yakni, setiap kali dia hendak solat). Maka apabila ada pada Hari Kemenangan Mekah (yakni, selepas Mekah dapat ditawan oleh umat Islam) solat dia beberapa solat kesemuanya dengan wudu’ yang satu.’ [Hadith ibnu Majah]
3. Menceritakan Fadlu bin Mubasyar berkata: ‘Aku melihat Jabir bin Abdillah (r.a) bersolat beberapa solat dengan wudu’ yang satu. Maka berkata aku: ‘Apa ini (kelakuan)?’ Maka berkata Jabir: ‘Aku melihat Rasulallah (s.a.w) berbuat demikian. Maka akupun berbuat sedemikian sebagaimana berbuat Rasulallah (s.a.w).’ [Hadith ibnu Majah]
Selain menyebutkan prinsip yang sama iaitu tidak perlu berwudu’ semula selagi wudu’ tidak batal untuk bersolat, dapat kita perhatikan dalam hadith ini kelakuan seorang umat Islam yang taatkan Rasulallah (s.a.w). Mereka akan sentiasa memerhatikan kelakuan dan perbuatan Rasulallah (s.a.w) dan mereka mencontohinya dan melakukan apa sahaja yang dilakukan oleh Rasulallah (s.a.w). Inilah yang disebutkan di dalam al-Quran bahawa Rasulallah (s.a.w) itu adalah ‘uswatul hasanah’ (contoh terbaik sebagai model ikutan umat Ilam).
[Nota: Selain segala perlakuan dan perbuatan Rasulallah (s.a.w) adalah apa yang disebutkan sebagai 'as-Sunnah', setiap aspek as-Sunnah, jika diikuti atau dicontohi, mendapat pahala. Sebaliknya, jika kita tolak sesuatu ketetapan as-Sunnah, atau kita tidak terima ketetapan as-Sunnah, atas sebab apa sekalipun, kita engkar akan Rasulallah (s.a.w), dan keengkaran terhadap Rasulallah (s.a.w) adalah keengkaran kepada Alah (a.w) (sila rujuk firman Allah (a.w) pada Ayat 80, Surah an-Nisa' dan hadith yg telahpun kita rujuk sebelum ini yg mengatakan sesiapa yg taatkan Rasulallah (s.a.w) bererti dia taatkan Allah (a.w) dan sesiapa yg engkarkan Rasulallah (s.a.w), bererti dia engkar kepada Allah (a.w)). Keengkaran kepada Rasulallah (s.a.w) melakukan dosa besar, iaitu jatuh kafir. Hakikat ini penting kita fahami.
Mudah-mudahan setelah kita menemui ilmu yg haq daripada al-Quran dan as-Sunnah, kita tidaklah mengambil pedoman dan panduan dari lain-lain sumber, supaya kita menjadi orang Islam yg haq - berpandukan hanya al-Quran dan as-Sunnah, insya Allah. Amin.

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment