Tuesday, December 15, 2009

Pilih dunia ke akhirat ...?

Assalamualaikum,
Hari ini kita berkesempatan hidup di dunia. Ramai yg lahir di dunia, namun tidak sempat menikmati dunia. Ramai yg sangat dikasihi Allah (a.w) ketika di dunia - diberikan kedudukan, kekayaan, kemewahan, penghormatan dan sanjungan (i.e. nama dan pangkat serta kuasa dan pengaruh), dapat segala kemahuan, malah melebihi yg diperlukan. Ada yg ala kadar saja, tidak mewah tetapi cukup untuk kehidupan tanpa perlu berlapar. Ada yg begitu dhaif, tidak ada apa-apa, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, untuk menampung kehidupan. Demikianlah dunia yg setiap kita akan lalui buat 60 atau 70 tahun, sebelum kita disemadikan di kubur.
Kalaulah kita diberi pilihan - antara kekayaan dan kemiskinan, pasti kekayaan yg kita pilih! Namun, kekayaan membawa begitu banyak fitnah (i.e. cubaan dan cabaran) dalam konteks akhirat. Ramai yg kaya kecundang di akhirat. Ramai yg berkuasa juga kecundang di akhirat, walaupun mungkin, mereka senang di dunia.
Rasulallah (s.a.w) sering mengulangi nasihat Allah (a.w) di dalam al-Quran. Dunia adalah kesenangan yg menipu, yg kekal dan yg haq adalah akhirat. Maka dengan itulah Rasulallah (s.a.w) menasihatkan umatnya seperti contoh hadith-hadith berikut:
Firman Allah (a.w):[Maksud: Sesungguhnya untung (yakni, selamat dan berbahagialah) orang yang membersihkan (lahir batinnya) daripada berbagai kekotoran (jasmani dan rohani dari kekejian syirik, dan budi pekerti yang jelek (buruk), jahat), dengan meningkatkan keimanan dan ketaqwaan terhadap Allah (a.w) @ Dan selalu ingat kepada Allah (a.w) maka mengerjakan solat (untuk mendekati diri mereka kepada Allah (a.w)) @ Bahkan (sebaliknya) kamu sekelian mengutamakan kehidupan dunia (yang fana dan pasti akan meninggalkan kamu atau pasti ditinggalkan daripada akhirat) @ Pada hal akhirat itu lebih baik bahkan yang kekal)] [Ayat 14 - 17, Surah al-A’la]
Sepotong firman Allah (a.w) yg kompak mengingatkan kita. Kemudian, kita teliti pula nasihat Rasulallah(s.a.w) kepada kita, umatnya:
1. Diriwayatkan hadith daripada Aisyah (r.ah) berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Dunia ini rumah bagi orang yang tiada mempunyai rumah di akhirat, dan harta orang yang tidak berharta di akhirat, dan yang mengumpulnya (keduniaan) hanya mereka yang tidak berakal.’ [Hadith Imam Ahmad]
Rasulallah (s.a.w) mengingatkan bahawa dunia ini rumah kita, tempat tinggal sementara mencari habuan pahala yg akan dijadikan untuk mendirikan rumah yg kekal di akhirat - rumah pilihan kita, kalau kita tidak abaikan akhirat semasa di dunia. Kalau kita abaikan akhirat, bererti kita berada di neraka, kerana tiada rumah di akhirat. Maka dengan itu orang yg berakal - gunakan kesempatan semasa di dunia untuk persediaan akhiratnya - terselamat dari siksaan neraka dan dapat masuk syurga dan segala nikmatnya. Rumahnya di akhirat (adalah berbeza-beza, terpulanh kepada apa yg diusahakannya).
2. Diriwayatkan hadith daripada Abu Musa asy-Syaari (r.a) berkata Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Sesiapa yang cintakan dunia berbahaya terhadap akhiratnya, dan sesiapa yang cintakan akhiratnya berbahaya terhadap dunianya, maka utamakanlah yang kekal (yakni, kehidupan akhirat) daripada yang fana (yakni, dunia) yang akan rosak binasa.’ [Hadith Imam Ahmad]
Dalam hadith di atas pula, Rasulallah (s.a.w) mengingatkan kita bahawa sesiapa yg cintakan dunianya, maka rosaklah akhiratnya. Sebaliknya sesiapa yg cintakan akhiratnya, susahlah dunianya, kerana dia seumpama berada dalam penjara dan dia adalah banduannya. Maka dengan itu Rasulallah (s.a.w) dalam hadith lain menyebut bahawa 'Dunia ini penjara bagi orang iman, dan syurga bagi orang kafir (dan kufur)'. Kerana, kita tidak bebas di dunia. Orang kafir merasa bebas di dunia, kerana tiada apa untuk mereka di akhirat, di mana mereka dipenjarakan dalam neraka. Maka, Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w) suruh kita pilih yg kekal, i.e. akhirat, kerana dunia ini sementara, yg kekal akhirat.
Firman Allah (a.w):[Maksud: Kamu sekelian telah dilupakan dengan kesebokan membanyakkan harta kekayaan (yakni, dilalaikan daripada berbuat amalan dan ibadah serta ketaatan untuk bekalan dan persediaan akhirat kamu) @ Sehingga kamu sekelian binasa (i.e. mati) dan masuk ke liang kubur (maksudnya, tidak sempat mempergunakan saat hidup yang merupakan pemberian Allah (a.w) untuk mencapai kebahagian dan kesejahteraan di akhirat)] [Ayat 1 dan 2, Surah at-Takathur]
Ramai orang yg kaya, senang lenang di dunia, tidak sempat mempergunakan apa yg diperolehinya semasa hidupnya. Bila mati orang lain yg menikmatinya. Silap-silap yg menghabiskan hartanya (i.e. anakpinak dan saudara mara) mengirim dosa pula padanya. Orang kaya yg ingat akan mencari kekayaan dan kemudian dibelanjaknnya untuk fi sabilillah yg merupakan pelaburan akhirat yg mengalirkan pahala sehingga kiamat dunia, yg menguntungkannya di akhirat.
3. Diriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah (r.a) berkata Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Berkata hambaKu ‘Ini hartaku. Ini milikku’ (berbangga dengan harta) padahal yang berguna baginya dari harta kekayaan itu hanya tiga macam: (pertama) (Apa-apa) yang dimakan hingga habis; atau, (kedua) (apa-apa) yang dipakai hingga lusuh; dan (ketiga) (apa-apa) yang diinfaqkan (atau disedekahkan) menjadi tabungan (pelaburan) baginya pahala (untuk akhiratnya, yakni pelaboran untuk akhiratnya). Dan selain dari itu maka akan hilang (atau lenyap atau ditinggalkan) untuk orang lain.][Hadith Muslim]
Justeru itu, kita diingatkan oleh Rasulallah (s.a.w) dalam hadith di atas itu. Mudah-mudahan jika kita kaya atau tergolong di kalangan orang yg memperolehi nikmat yg begitu banyak, usahakanlah melabur untuk akhirat kita. Itu lebih baik demi kesejahteraan kita jua di akhirat. Amin

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment