Tuesday, December 8, 2009

Kefadhalan Surah al-Mulk

Assalamualaikum,
Apabila kita belajar ilmu al-Quran (membaca, mentafsir dan menghafalnya), dan belajar ilmu al-hadith atau as-Sunnah, kita diberitahu tentang ketetapan Allah (a.w) serta kefadhalan surah-surah serta ayat-ayat al-Quran. Lazimnya, semenjak kecil diajarkan supaya membaca Surah Yaasin pada malam Jum'at atau semasa ritual Doa Selamat atau Tahlil atau Kenduri Arwah dan seumpamanya. [Ada banyak perdebatan antara sesetengah ilmuwan dengan sesetengah ulama' yang menjunjung fahaman mazhab as-Syafie tentang bacaan Surah Yaasin dan ritual seumpama Majlis Tahlil dll ini. Ini akan kita bicarakan kemudian nanti]. Buat masa ini kita teliti beberapa panduan as-Sunnah tentang kefadhalan beberapa surah dan ayat-ayat al-Quran, antaranya kefadhalan Surah 'Tabarak' (i.e. al-Mulk) ini.
Diriwayatkan hdith daripada Abi al-Jauza'i hadith daripada Ibnu Abbas (r.a) berkata: 'Diperbuat (i.e. dibina oleh) sebahagian para sahabat Nabi (s.a.w) khemah atas kubur dan mereka tidak menyangka bahawasanya (tempat binaan khemah itu) adalah kubur, maka ketika (ada di dalamnya terdengar mereka) seorang manusia membaca surah 'Tabarakallazi biyadihil-mulku' sehingga tamat (surat itu). Maka datang mereka menemui Nabi (s.a.w), maka berkata mereka (memberitahu): 'Wahai Rasulallah (s.a.w)! Sesungguhnya kami membuat khemah atas kubur, dan kami tidak menyangka bahawasanya (tempat binaan itu) adalah kubur. Maka ketika (sedang memasangnya, mendengar kami) di dalamnya seorang manusia membaca surah 'Tabarakallazi biyadihil mulku .. sehingga tamat surah itu.' Maka bersabda Rasulallah (s.a.w): '(Bahawasanya) surah itu pencegah ia, (surah itu) penyelamat ia menyelamat dia (akan orang yang hafalkannya) dari 'azab kubur.' [Hadith at-Termidzi, Kitab Tafsir al-Quran].
Berdasarkan hadith ini, menghafal serta mengamalkan membaca Surah al-Mulk itu memberi manfaat yang amat besar kepada kita, iaitu menyelamatkan kita ketika sudah mati berada di dalam kubur, dari siksaan kubur. Ada pelbagai siksaan kubur itu jika kita teliti ilmu as-Sunnah. Kubur adalah bayangan kepada apa yang akan jadi kepada kita sebelum alam akhirat. Jika kita selamat di kubur maka lazimnya kita selamat di akhirat. Disebutkan di dalam hadith bahawa orang iman calun syurga itu, kuburnya adalah satu daripada taman-taman syurga, maka duduk di kubur itu seumpama berehat menunggu kiamat. Jika sebaliknya, kubur itu adalah satu daripada lubang api neraka, maka merasai siksaan sehinggalah kiamat.
Mudah-mudahan dengan menghafal serta mengamalkan bacaan Surah al-Mulk itu kita sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulallah (s.a.w) dalam sabdanya itu, kita terselamat dari siksaan kubur. Justeru itu, teramat baik jika kita usahakan menghafalnya dan membacanya dari masa ke semasa supaya kita tidak lupa setelah hafal. Surah al-Mulk ini mengandungi 30 ayat.
Amin

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment