[Sambungan ...]
Assalamualaikum,
kita sambung lagi nasihat Rasulallah (s.a.w) kepada Abu Zarr (r.a) yg kita telah teliti hadithnya dalam post yg lalu.
5. Keperibadian yang baik yang menunjukkan orang Islam yang benar-benar beriman dan bertaqwa itu adalah seseorang yang sentiasalah dia tidak membesar dan membangga diri, bersifat sombong dan merasai mulia diri berbanding dengan orang lain atau apabila melihat orang lain. Untuk membolehkan seseorang itu tidak dihayun oleh ombak takbur dan membesar diri, bongkak dan sombong serta takbur, hendaklah dia berbuat baik dan sering bergaul dengan orang miskin, maka dengan itu dia ingat dan syukur terhadap nikmat kurniaan Allah (a.w) kepadanya apabila dibandingkannya keadaannya, timbul perasaan peri kemanusiaan dan belas kasihan serta keinginan untuk membantu mereka yang lebih dhaif daripada dia. Orang yang berkedudukan lebih baik dalam hal ehwal dunianya sering sukar menjadi baik apabila berhubung dengan orang-orang miskin dan melarat. Jarang sekali kita temui orang yang kaya raya sering berhubungan atau menjalin hubungan silatur rahim yang kerap lagi erat dengan mereka yang fakir dan miskin. Inilah satu-satunya sifat yang amat sukar dijadikan panduan oleh ramai golongan manusia.
6. Hendaklah kita melihat ke bawah yakni melihat kedudukan (terutama, kedudukan ekonomi atau taraf hidup) mereka yang jauh lebih dhaif daripada kita walau di mana dan bagaimana sekalipun status dan kedudukan dan kehidupan kita sekarang. Apabila kita melihat mereka yang kurang daripada kita maka barulah kita terasa yang kita sebenarnya lebih bernasib baik daripada mereka yang dibawah kita. Allah (a.w) telah mengurniakan kita nikmat yang jauh lebih banyak daripada mereka yang di bawah kita . Ini akan membentuk keimanan kita dan akan menjadikan kita lebih bersyukur akan nikmat yang kita telah terima. Jika kita melihat kepada mereka yang lebih tinggi kedudukan dan taraf hidupnya dengan kita maka kita akan sentiasa tidak berpuas hati dan kita merasa kita telah tidak dibantu atau dibela oleh orang lain, malah seringkali kita menjadi kufur akan nikmat Allah (a.w) apabila kita merasa bahawa Allah (a.w) menyusahkan kita dan tidak membantu kita dengan memurahkan rezki kita! Mereka yang melihat kepada mereka yang lebih tinggi daripadanyalah yang menjadikan manusia itu bertungkus lumus mencari dunia dan sentiasa tidak merasai puas dan cukup. Di dalam al-Quran dan beberapa potong hadith disebutkan bahawa sesiapa yang terlalu inginkan dunia maka Allah (a.w) akan mempermudahkannya, malah mendorongkannya lagi mencari dunia, dan kerana itu Allah (a.w) juga akan menyesatkannya lebih jauh daripada akhiratnya, kerana mereka akan terlupa dengan tanggung jawabnya terhadap Allah (a.w) dan terhadap manusia lain.
Jazakallahu khairah
[Bersambung ...]
No comments:
Post a Comment