[Sambungan ...]
Assalamualaikum,
kita teruskan lagi melihat nasihat Rasulallah (s.a.w) yg kita mulakan dalam 2 post yg lalu:
7. Sebagai seorang Islam Rasulallah (s.a.w) menyebutkan pula bahawa tidak wajar kita mencemuh atau mengata-ngata atau memperkecil-kecilkan orang lain. Atau, kita menjatuhkan air muka orang lain. Atau, kita mencemuh dan perlekehkan orang lain. Kita diberitahu bahawa umat Islam itu saudara se Islam, maka tidak wajarlah seorang saudara mencaci dan menghina dan menghamun dan mengaipkan orang lain. Dalam sepotong hadith lain disebutkan bahawa sesiapa yang menutupi keaipan saudaranya dalam dunia maka Allah (a.w) akan menutupi aipnya di akhirat kelak. Di dalam hadith lain disebutkan pula bahawa hendaklah kita menghebah-hebahkan kebaikan seseorang itu kepada orang lain, dan hendaklah kita tidak menceritakan keburukan atau keaipan seseorang itu kepada orang lain. Malah kita disuruh menutup keaipan orang lain, kalaupun ia wujud dan kita ketahui kewujudannya.
8. Kita hendaklah jangan mencari-cari keburukan atau kesilapan atau keaipan orang lain, kerana kita sendiri ada keburukan atau kesilapan atau keaipan tersebut tanpa kita ketahui. Kita adalah manusia, ciri-ciri manusia itu serupa sahaja. Yang membezakan antara seseorang itu dengan seseorang yang lain adalah keimanan dan ketaqwaannya yang mencorakkan tindak tanduknya di dunia. Lebih keimanan dan ketaqwaannya maka kuranglah sifat-sifat kejinya seperti sifat atau tabiat suka mencari salah silap orang lain atau mendedahkan keburukan dan keaipan orang lain.
9. Hendaklah kita menjadikan darah daging kita sifat berjimat dan tidak boros berbelanja. Rasulallah (s.a.w) menyebutkan bahawa kebijaksanaan yang paling tinggi pada manusia adalah berjimat cermat. Nasihat ini pastilah jelas dan tidak mengelirukan. Kita tidak tahu bilakah agaknya kita akan susah atau sakit atau kehilangan sesuatu. Jadi jika kita tidak bersedia untuk perkara-perkara tersebut maka pastilah kita akan melarat dan merempat kelak apabila berlaku perkara itu. Maka dengan itulah seseorang yang paling bijak dalam hidupnya adalah dia berjimat cermat sentiasa demi menyediakan dirinya sesuatu untuk mengatasi kesulitan di masa depan, jika berlaku.
Jazakallahu khairah
[Bersambung ...]
No comments:
Post a Comment