Assalamualaikum,
Kita teruskan belajar hadith tentang mandi junub supaya kita benar-benar dapat memahami ketetapan as-Sunnah (i.e. Islam) tentang mandi junub. Kita lihat pula hadith berikut. Hadith ini juga compact, dan penulis telah masukkan dalam kurungan isi atau panduan yang terdapat dalam hadith-hadith lain, supaya mudah menjelaskan perincian proses yang terlibat, supaya suatu gambaran yang lengkap dapat dimaklumkan kepada pembaca.
Diriwayatkan hadith daripada Ibnu Abbas (r.a), hadith daripada makciknya, Maimunah (r.ah), isteri Nabi (s.a.w), berkata: ‘Dan meletakkan aku air untuk Nabi (s.a.w) mandi (junub). Maka mandi dia dari kerana berjunub. [Setelah berniat untuk mandi junub, dan membaca ‘Bismillah’ (Sila rujuk kaedah berWudu’)] Maka mengerengkan (atau, menyendengkan) bekas air dengan tangan kirinya (dan menuang air) atas tangan kanannya. Maka membasuh telapak tangannya (sampai ke pergelangan tangannya) tiga-tiga kali. Kemudian menyiram air ke kemaluannya dan membasuhnya. Kemudian digosok-gosokkannya kedua tangannya ke bumi (tanah atau, dalam riwayat lain, ke dinding). Kemudian (memulakan proses Wudu') berkumur-kumur dan menghisap air ke dalam hidungnya, kemudian menghembuskannya keluar dengan kuat dan [setelah berniat untuk wudu’ dan membaca ‘Bismillah'] membasuh wajah (mukanya) tiga kali, dan (membasuh) kedua-dua lengannya tiga-tiga kali (sampai ke siku), kemudian meratakan air atas keseluruh badannya. Kemudian pindah dia ke tempat lain (yakni, beranjak dia kelain tempat) maka membasuh kedua kakinya (sampai ke kedua bukulalinya).’ [Hadith ibnu Majah]
Hadith ini menyebutkan proses mandi junub itu dengan menggunakan air dalam suatu bekas air, seumpama tempayan (bejana zaman itu). Prosesnya tetap dua yang utama, iaitu: pertama, berwudu'; dan kedua, mandi junub. Mandi junub itu didahulukan dengan berwudu'. Sebelum berwudu' itu hendaklah dibasuh dahulu kedua-dua tangan, mulai dengan yang kanan, kemudian yang kiri, sampai ke pergelangan tangan, baru dimulakan proses berwudu' (yakni, mencedok air dari bekas air wudu'). Antara proses berwudu' itu disebutkan: membasuh tangan hingga pergelangannya, berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung, kemudian dihembuskan air dari hidung dan mulut keluar bersekali; membasuh muka; membasuh kedua tangan sampai ke siku; menyapu air ke kepala; dan membasuh kedua-dua kaki. Sebelum mandi junub itu hendaklah dibasuh dahulu kemaluan dari kotoran seumpama lendir dan bekas-bekas air mazi dan mani atau darah, bagi perempuan haid,dan juga bersihkan kawasan dubul; mandi dengan meratakan air ke seluruh badan. Dan, selesai sahaja mandi, maka membaca doa pendek selepas wudu'.
Yang perlu pembaca perhatikan adalah: pertama, niat tidak perlu dizahirkan. Tiada sandaran as-Sunnah tentang menzahirkan niat, terutama tentang kalimah niat seumpama 'Nawaitu ... lillahi ta'ala' itu. Yang disebutkan dalam as-Sunnah adalah membaca kalimah 'Bismillah' ketika hendak memulakan sama ada Wudu' ataupun memulakan mandi junub. malah, Rasulallah (s.a.w) menyuruh kita membaca 'Bismillah' setiap kali kita hendak melakukan sesuatu amalan atau perbuatan atau kerja yang makruf, maka kita mendapat keberkatan. Dan, kedua, mandi junub dimulakan dengan mengerjakan atau mengambil wudu' dahulu.
Bagaimana pula bagi perempuan mandi junub? Bagaimana kalau rambut perempuan itu panjang, kadang-kadang, ada sesetengah perempuan itu rambutnya panjang sampai ke paras perut atau ponggongnya atau ke paras lutunya, maka sukar untuk dikenakan air ke keseluruh kepalanya?
Kita akan teliti kemudian nanti bagaimana. Yang wajib kita ingat adalah Islam itu mudah dan segala sesuatu dalam Islam itu mudah. Tidak sulit. Dan, tidak memberatkan.
Prosesnya sama dengan lelaki. Jika wanita berambut panjang, bolehlah disanggulkan sebelum mandi, dan ketika mandi tak perlu dirongkaikan atau direlaikan ikatan rambut, memadai membasahi kedua-dua tangan (termasuk jari-jari kedua tangan) kemudian menyeluk-menyelukkan dengan tangan dan jari-jari di bawah rambut atau di pangkal rambut supaya kulit kepala terkena air. Tak perlu menyiram kepala dengan air.
Dengan itu memudahkan. Bagi wanita yang panjang dan lebat rambutnya, bukankah sukar baginya mengeringkan rambut jika dibasahkan? Syariat Islam memudahkan segala-galanya.
Wajib kita perhatikan bahawa hadith ini menyebut proses mandi junub dalam kes air yang ada pada kita tidak banyak, seumpama hanya satu bejana (dalam hadith dikatakan sebanyak 5 sok atau 2 1/2 liter air minima pun sudah memadai) atau air yang ada dalam satu baldi atau satu tempayan. Wudu' dan mandi junub itu tidak memerlukan banyak air. Kita, hari ini, dibekalkan dengan begitu banyak air, tetapi seringkali, solatpun kita sering abaikan atau ketetapikan.
Alhamdulillah, kita telah tahu ilmunya. Insya Allah akan kita muatkan lagi hadith-hadith pilihan lain bagi menjelaskan proses ini untuk membolehkan kita lebih faham.
Kazakallahu khairah
No comments:
Post a Comment