Assalamualaikum,
Antara ilmu yang terawal diajarkan oleh kedua ibu bapa dan guru-guru ugama kita dalam syariat Islam adalah mandi junub. Kerana apabila baligh (yakni, sampai umur dewasa) kita, maka kita telah diwajibkan mengerjakan amalan dan ibadah wajib dalam Islam, terutama solat dan puasa. Anak perempuan itu sampai balighnya apabila dia mula haid, mungkin pada umur 12 atau 13 tahun. Anak lelaki pula mungkin lewat sedikit, 13 atau 14 tahun apabila dia mimpi ketika tidur, dan keluar air mani. Apabila remaja lelaki telah mengalami 'mimpi' dan keluar mani dan remaja perempuan keluar darah haid, maka mereka perlu tahu mandi junub. Kerana mandi junub itu menjadi wajib untuk membolehkan dia mengerjakan amalan dan ibadah yang diwajibkan kepada seseorang yang dewasa yang mensyaratkan berwudu', yang utama solat fardu (termasuk yang sunat), memegang dan membaca al-Quran, Tawaf semasa mengerjakan Haji dan Umrah. Seseorang yang dalam keadaan berjunub tidak boleh mengerjakan sebarang ibadah yang mensyaratkan bersih dari junub (jenabah) dan ada wudu'.
Bagaimana mandi junub mengikut ketetapan Islam?
Kita diajarkan menzahirkan niat ketika hendak mandi: 'Nawaitu raf'al hadathi al-akbari ... lillahi Ta'ala' atau 'Nawaitul ghaslal junubi ... lillahi Taala', iaitu antara dua daripada beberapa versi kalimah niat yang diajarkan kepada kita turun temurun! Betulkah? Kemudian kita disuruh supaya mandi supaya air rata atau meratai tubuh badan kita, terutama supaya sampai ke celah-celah rambut. Selesailah mandi junub kita.
Cuba kita semak proses dan kaedah mandi junub ini. Apakah sah? Jika tidak sah, kiralah umur kita. Kalau sudah 40 tahun, tolak 15 tahun, maka selama 25 tahun kita mengerjakan semua jenis amalan dan ibadah yang mewajibkan mandi junub terbatal semuanya, kerana mandi junub kita tidak sah. Alangkah ruginya kita! Selama 25 tahun ibadah dan amalan yang kita kerjakan secara istiqamah, sia-sia sahaja. Mudah-mudahan Allah (a.w) mengampunkan kita kerana kejahilan kita dan mengampunkan ibu bapa kita dan ulama' yang mengajarkan kita kerana kejahilan mereka. Amin
Proses dan kaedah mandi junub mengikut as-Sunnah - yakni sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w) - adalah seperti hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Hisyam bin Urwat, hadith daripada bapanya, hadith daripada Aisyah (r.ah) (berkata) bahawasanya Nabi (s.a.w) adapun ketika mandi kerana berjunub memulakan dengan membasuh kedua tangannya, kemudian berwudu’ sebagaimana berwudu’ untuk solat, kemudian memasukkan jari-jari tangannya yang berair (yakni, basah) maka diselah-selahkannya dengan jari-jari tangannya rambutnya, kemudian dituangkannya atas kepalanya (air) tiga kali cedokkan (yakni, dengan kedua tangannya), kemudian meratakan air atas tubuhnya seluruhnya.’ [Hadith an-Nasa’i, Kitab Bersuci]
Ini adalah hadith compact yang rengkas sebagai panduan prinsip dalam proses mandi junub itu. Kita akan teliti beberapa hadith kemudian nanti untuk menjelaskan dan memperincikan lagi perkara/tajuk ini. Mandi junub mengikut as-Sunnah itu, yang direngkaskan dalam hadith di atas, melibatkan dua proses utama: pertama, berwudu'; dan kedua, meratakan air ke tubuh badan, yakni mandi.
Apabila kita teliti as-Sunnah, perlakuan mandi junub yang dicontohkan (yakni, didemokan) oleh Rasulallah (s.a.w) itu merangkumi lima proses: pertama, hendaklah kita berniat dalam hati tanpa dizahirkan niat itu untuk berwudu' dan mandi junub; kedua, membersihkan dahulu 'kekotoran' yang ada pada tubuh kita, terutama di kawasan kemaluan dan dubur kita, dan selepas itu, membersihkan kedua-dua tangan; ketiga, mengambil Wudu' dengan menyebut kalimah 'Bismillah'; dan keempat, meratakan air ke seluruh tubuh badan, dimulakan dengan bahagian kanan, kemudian kiri dan bahagian tengah; dan kelima, membaca doa pendek yang dikhususkan untuk Wudu' (i.e. doa selepas Wudu') [Nota: Doa pendek itu adalah membaca dua kalimah syahadah]. Hadith compact di atas itu menyebutkan dua proses utama mandi junub - proses-proses yang mesti ada untuk sahnya mandi junub, iaitu berwudu', mandi dan mempastikan air terkena pada kaki rambut ketika mandi.
Apakah kita diajarkan oleh nenek moyang kita atau tok-tok guru kita sedemikian? Lazimnya, pasti tidak. Kalau prosesnya cukuppun, ada yang tidak betul. Tidak betul jika semasa hendak mandi, sebagaimana hendak berwudu', kita zahirkan niat, tidak menyebut kalimah 'Bismillah'. Wudu' dan mandi junub tanpa dimulakan dengan kalimah 'Bismillah' tidak sah, yakni tidak sempurna. Apabila tidak sah atau sempurna Wudu' dan mandi junub, maka tidak sahlah segala ibadah yang mensyaratkan ada Wudu' atau mandi junub dahulu, jika berjunub.
Mudah-mudahan dengan ilmu di atas kita akan memulakan amalan dan ibadah yang telah dilandaskan kepada panduan as-Sunnah yang haq. Dengan itu nanti, segala amalan dan ibadah kita, terutama yg mensyaratkan wudu' yg sah, spt solat dan Tawaf (dalam haji dan umrah), diterima Allah (a.w) dengan pasti, kerana menepati as-Sunnah pastilah menepati ketetapan Allah (a.w) [Ayat 80, Surah an-Nisa']
Jazakallahu khairah
No comments:
Post a Comment