Assalamualaikum,
Kita telah bincangkan dengan panjang lebar dalam blog ini tentang 'Ahlus sunnah wal-jama'ah' dan kita kerapkali tekankan bahawa Islam yang haq itu adalah berpandukan as-Sunnah dalam menjalani kehidupan sebagai orang iman di dunia dan dalam beramal dan beribadah. Sebagai orang iman kita wajib jadikan Rasulallah (s.a.w) sebagai model ikutan kita, kerana Rasulallah (s.a.w) diiktiraf Allah (a.w) sebagai 'uswatun hasanah' (model ikutan terbaik) bagi orang iman.
Kita telah diberitahu bahawa mempelajari ilmu itu adalah suatu kewajipan mutlak bagi orang iman kerana hanya dengan ilmu dia terpimpin dalam hidupnya. Hanya dengan ilmu dia tahu dalam mengerjakan amalan dan ibadah itu, dia terpandu supaya dia menepati ketetapan as-Sunnah dan tidak terjebak dengan sesuatu amalan dan ibadah yang berbentuk bid'ah ataupun dicemari oleh bid'ah.
Bagi mereka yang mengajarkan ilmu pula, terutama mereka yang bergelar ulama' dan ilmuwan Islam yang boleh mencorakkan fahaman umat Islam tentang Islam dan syariatnya, lebih utama mereka mengajarkan sesuatu hanya dengan panduan ilmu yang haq. Ilmu yang haq itu telah kita teliti iaitu ilmu al-Quran dan ilmu as-Sunnah. Hanya dengan ilmu yang haq sahaja kita selamat dan diselamatkan. Selamat kerana kita mengajarkan Islam yang benar. Kita diselamatkan kerana kita tidak mengundang padah kerana jika kita mengajarkan sesuatu yang tiada dalam ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, sudah pastilah kita mengamalkan dan mengajarkan bid'ah. Mengajarkan bid'ah mengundang kiriman dosa yang tidak putus-putus jikalah apa yang kita ajarkan berkesinambungan diajarkan pula kepada orang lain, sampai kiamat dunia.
Cuba kita lihat satu hadith lagi tentang mengimarahkan as-Sunnah dan akibat mengajarkan bid'ah.
Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a) katanya hadith daripada Rasulallah (s.a.w) sesungguhnya bersabda: ‘Barangsiapa yang mengajak (berdakwah) dengan suatu dakwah (ajakan) kepada kesesatan dan diikuti oleh mereka (yang didakwahkan), maka bahawasanya baginya seperti dosa (orang-orang) yang mengikutnya dan tidak mengurangi dosa dari dosa (orang) yang mengerjakannya sedikitpun. Dan (barangsiapa) mengajak (berdakwah) suatu dakwah (ajakan) kepada petunjuk (yakni, hidayah iaitu as-Sunnah), maka sesungguhnya baginya pahala seumpama pahala orang-orang yang mengikutinya, dan tidak mengurangi dari pahala mereka (yang mengikutnya) sedikitpun’ [Hadith Ibnu Majah]
Antara tugas utama para ulama' dan ilmuwan adalah mengilmukan manusia, terutama orang Islam, tentang Islam yang haq dan syariatnya. Mereka wajib menyampaikan ilmu. Jika mereka berilmu dan tidak mahu menyampaikan ilmunya, bahaya akhiratnya. Lebih bahaya pula jika dia hanya mahu menyampaikan ilmu dengan bayaran yang besar. Lebih bahaya lagi jika dia mengajarkan orang lain sesuatu yang batil.
Hadith tersebut memberitahu kita bahawa sesiapa yang mengajarkan suatu kesesatan, bid'ah adalah suatu kesesatan, diamalkan oleh orang yang diajarnya, orang yang mengamalkannya berdosa dan orang itu secara otomatis megirim dosa pula kepadanya. Jika orang yang diajarkannya mengajarkan orang lain pula, dan orang itu mengamalakannya, orang itu berdosa dan mengirim dosa pula kepada yang mengajar, dan kepada dia yang pertama-tama mengajarkannya. Dan, walaupun dosa dikirimkan, dosa yang membuat atau mengamalkannya tetap tidak berkurangan! Fikirkanlah, kalaulah tahun ini 1430 kita ajarkan seorang suatu amalan bersifat bid'ah kepada 10 orang setiap hari, dalam sebulan kita telah ajarkan 300 orang, setahun 6,000 orang, sepuluh tahun 60,000 orang. Dan, kalaulah setiap seorang pula mengajar 10 orang lagi fikirkanlah berapa ramainya pengikut kita! Mereka semua berdosa kerana mengamalkan suatu yang batil. Setiap seorang mereka mengirimkan dosa kepada kita yang memulakannya. Fikirkanlah betapa banyaknya dosa yang dikirimkan, jika apa yang kita ajarkan atau anjurkan itu berterusan diajar dan diamalkan sehingga kiamat dunia, mungkin 10,000 tahun ke depan? Kita tidak dapat menghentikan proses pengajaran tersebut semasa hidup kita, apa lagi setelah kita mati, kalaulah, kita dapati kita sudah tersilap!
Demikianlah juga 'exponential effect' ganjaran pahala yang dikirimkan kepada seseorang yang mengajarkan sesuatu petunjuk (yakni, as-Sunnah). Kerana ajaran kita itu mungkin membetulkan kaedah seseorang itu berwudu' atau mandi junub atau bersolat atau melakukan satu rukun solat, seperti Ruku' atau Sujud, seumpama membaca tasbih Ruku' dan Sujud, yang dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w). Fikirkanlah aliran pahala yang kita terima kerana mengajarkannya. Aliran pahala ini kita terima semasa hidup kita dan sampailah kiamat dunia, dan kita terima ganjaran pahala itu di akhirat kelak.
Inilah yang penulis sebutkan sebagai pelaburan akhirat yang terbaik kerana dividennya kita terima walaupun kita sudah lama dilanggil Allah (a.w). Kalau, sebaliknya, ajaran kita itu suatu kebatilan, spt bid'ah (atau kurafat dan tahyul, taklid), kita dapat kerugian yang besar berupa kiriman atau aliran dosa (negative dividen) yang akan berterusan sehingga kiamat dunia, selagi ada orang yg mengamalkannya! Semuanya melebur pahala kita, memeberatkan timbangan di akhirat kpd yg batil (i.e. dosa), dan akhirnya kita muflis di akhirat, dan dicampakkan ke dalam neraka.
Oleh itu, berwaspadalah. Pilihlah yang haq dan tinggalkan yang batil. Tanya hati dan iman dalam membuat pilihan.
Insya Allah kita akan, dari masa ke semasa, semak as-Sunnah tetang bentuk-bentuk amalan dan ibadah serta kaedah dan cara beribadah dan beramal yang batil dan yang haq, semoga kita terus terpandu menjadi hamba Allah (a.w) sentiasa ingin memperbaiki amalan dan ibadah dan meninggalkan sesuatu yang batil.
[Bersambung ...]
Jazakallahu khairah.
No comments:
Post a Comment