Assalamualaikum,
Sebagaimana saudara sedia maklum ekoran penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri, yang kemudiannya didakwa di Mahkamah Syari'ah Gombak, pelbagai pandangan tumbuh seumpama cendawan pula. Ada dua pihak: satu pihak 'mewakili' ulama' dan ilmuwan arus perdana, pengikut fahaman mazhab as-Syafie; dan satu golongan 'ilmuwan bebas' yang dilabelkan mirip kepada fahaman Wahabi. Antara isu yang berbangkit adalah sub-tajuk berikut:
Siapa layak menilai kelayakan seseorang Ilmuwan?
Sebagai tambahan kepada diskusi kita tentang ‘Ahlus sunnah wal-jamah’ ini, elok kita sentuh tentang kaedah menilai sama ada seseorang atau sekumpulan orang itu adalah ‘ahlus sunnah wal-jamaah’ atau tidak. Penulis ingin komen pandangan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, tentang pentauliahan, yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia, 3 November 2009 yang lalu yang bertanya: ‘Adakah logik mereka yang lebih rendah kemahirannya menilai kelayakan orang yang lebih tinggi kemahirannya?’
Sekali pandang, mungkin nampak beliau seolah-olah berbangga dengan kelulusan Ph D di kalangan para ilmuwan Islam sebagai orang yang lebih pandai tentang Islam dan syariatnya! Pandangan ini ada betulnya dan salahnya. Bukan semua orang yang memiliki ijazah Ph D atau bergelar ‘Dr’ itu lebih ilmunya berbanding dengan orang yang mengaji pondok (atau pesantren di Indonesia) tentang Islam dan syariatnya. Fatimah Wadood suatu ketika adalah seorang pensyarah di UIAM. Kononnya beliau memiliki ilmu yang tinggi tentang Islam. Tetapi, beliau lebih sesat dari orang kampong yang tahu bahawa adalah suatu yang batil dalam Islam bagi seorang perempuan menjadi imam solat! Seseorang yang memperolehi Ph D dalam bidang ugama belum boleh diakui berilmu tentang Islam dan syariatnya kecuali dia menepati dua spesifikasi yang kita bincangkan dengan panjang lebar dalam tulisan ini; iaitu orang yang berilmu dan alim tentang Islam dan syariatnya adalah orang yang faqih dalam ilmu al-Quran dan ilmu as-Sunnah.
Ulama’ atau orang yang berilmu tentang Islam dan syariatnya itu adalah mereka yang menepati spesifikasi ayat al-Quran serta hadith berikut:
Firman Allah (a.w):[Maksud: ‘Apa-apa yang dibawakan oleh Rasul itu hendaklah kamu ambil (yakni, diamal dan diibadatkan) dan apa-apa yang ditegah oleh Rasulallah (s.a.w) hendaklah kamu jauhi atau tinggalkan.’[Ayat 7, Surah al-Haysr]
Dan, ketetapan yang sama juga disebutkan dalam sabda Rasulallah (s.a.w) dalam hadith berikut yang mengulangi ketetapan Allah (a.w) itu:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘(Kamu) Biarkan (apa-apa) yang aku tinggalkan kepada kamu sekelian; maka sesungguhnya rosak (sebagaimana) rosaknya barangsiapa (yakni, kaum-kaum) yang ada sebelum kamu sekelian dengan memperbanyakkan soal (terhadap nabi-nabi mereka) dan banyak perselisihan di kalangan mereka atas nabi-nabi mereka. Maka ketika memerintah (menyuruh) aku kepada kamu sekelian (sesuatu) maka kamu sekelian ambillah apa-apa (yang diperintahkan) semampu (atau sekuat mampu) kamu, dan ketika melarang aku atas kamu sekelian dari sesuatu maka hendaklah kamu tinggalkan (atau hentikan).’ [Hadith #2, Ibnu Majah & hadith Bukhari]
Malah dalam konteks sistem pentadbiran ugama Islam di negara ini, sewajarnya mereka yang menjawat jawatan mufti dan pengarah jabatan ugama Islam, dan mereka yang dipertanggungjawabkan mengeluarkan fatwa atau membuat ijtihad, atau berdakwah mengimarahkan Islam, sewajibnya faqih dalam ilmu-ilmu yang disebutkan dalam hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Najih, iaitu al-Irbad bin Sariah (r.a) berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) menyampaikan suatu peringatan yang membuat gerun beberapa hati (yang mendengarnya) dan mengalirkan air mata beberapa mata (orang yang mendengar nasihat itu). Kami berkata: ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Nasihat ini seolah-olah daripada seorang yang hendak meninggalkan kami. Apakah nasihat engkau kepada kami?’ Maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Diwajibkan atas kamu sekelian bertaqwa kepada Allah (a.w) dan dengan mendengar dan taat, jikapun yang memimpin kamu adalah seorang hamba Habsyi. Barangsiapa di kalangan kamu yang panjang umurnya, akan melihat banyaknya perselisihan (di kalangan umat Islam mengenai ugama Islam). Maka diwajibkan atas kamu sekelian berpegang kepada sunnahku dan sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin, maka gigitlah dia (yakni, berpegang teguhlah dengan sunnahku dan sunnah mereka) dengan gigi geraham (yakni, pegang kuat jangan lepaskan). Dan, berjaga-jagalah kamu dengan pembaharuan dalam perkara (atau urusan) ugama, dan sesungguhnya setiap pembaharuan adalah bid’ah, dan tiap-tiap bid’ah adalah kesesatan.’ [Hadith Abu Daud dan juga at-Termidzi, katanya hadith sahih]
dan, terutamanya apabila dibaca bersama-sama dengan hadith berikut yang menunjukkan bahawa orang yang bertaraf ulama’ atau berilmu itu wajib faqih dalam dua ilmu yang disebutkan dalam hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abdullah bin ‘Amru bin ‘Ass (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda: (Al-ilmu thalathatun, wama siwa zalika fahua fadlun: Ayatun muhkamatun, au sunnatun qaimatun au faridatun ‘adilatun) [Maksud: Bahawasanya ilmu yang wajib dipelajari itu adalah tiga, adapun di belakangnya (yakni, selepas atau selain ilmu yang tiga itu) maka ilmu tersebut baik (dipelajari): (Yang wajib) iaitu (pertama) ayat-ayat yang menghukum (yakni, al-Quran), (kedua) sunnah yang tegak (yakni, al-hadith atau as-Sunnah), dan (ketiga) hukum faraid yang adil][Hadith Abu Daud & ibnu Majah]
Keilmuan seseorang itu, siapa saja dia, apa juga kelayakan formal dan tidak formal yang didapatinya, yang diperolehi olehnya secara berguru, hanya sah dan menepati taraf orang yang alim atau ulama’ atau ilmuwan jika dia lulus ujian hadith-hadith di atas. Orang-orang yang sedemikian berhak dan layak untuk menapis kemahiran ataupun kefaqihan seseorang itu untuk berdakwah secara haq mengenai Islam dan syariatnya. Orang-orang yang mempelajari ilmu yang dua itu boleh digelar ulama’ atau ilmuwan atau orang yang alim, itupun hanya bagi tujuan pengilmuan kerana ada orang yang mendalam ilmunya tentang Islam dan syariat Islam, tetapi tetap musyrik atau kafir atau fasiq. Mereka yang belajar dalam institusi pendidikan tinggi luar negara diajar oleh mahaguru yang alim dan faqih dalam al-Quran dan as-Sunnah, tetapi mahaguru-mahaguru tersebut tidak Islam.
Ketokohan seseorang itu dalam bidang Islam dan syariatnya tidak bergantung kepada kebolehannya bercakap atau berdialog atau berhujjah! Ramai orang yang pandai berhujjah demi maisya dunianya, dia akan bercakap jika diberi ganjaran wang ringgit yang banyak. Ramai peguam syar’i yang bijak berhujjah, tetapi adakah mereka benar-benar faqih tentang al-Quran dan as-Sunnah? Ramai tokoh-tokoh ugama yang diberi gelaran ‘sahibul samahah’ contohnya, tetapi belum pasti mereka faqih tentang dua ilmu yang disebutkan oleh Rasulallah (s.a.w) tersebut. Ramai juga tokoh motivasi yang hebat bercakap dengan menyelitkan sedikit ayat-ayat al-Quran dan hadith, tetapi menggunakan ayat-ayat al-Quran dan hadith untuk didagangkan atau untuk dijadikan asset bagi meraih keuntungan atau kekayaan dunia, wal iyazubillah. Lebih teruk lagi jika ada yang jahil, tetapi mengakui alim, tentang as-Sunnah pula mengajar orang yang yang jahil. Samalah seperti sibuta yang memimpin yang buta atau menunjuk kepada yang celek!
Saudara, apakah yg dapat kita rumuskan? Orang yg layak menilai siapa yg boleh memenyampaikan ilmu tentang Islam dan syariatnya adalah orang yg memiliki ilmu al-Quran dan as-Sunnah dan mereka itu bukan setakat faham tetapi faqih tentang Islam dan syariatnya bersandarkan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Di Malaysia ini berapa ramaikah para ulama' dan ilmuwan Islam yg faham dan faqih ilmu as-Sunnah? Orang yg mungkin faham dan faqih dalam ilmu mengenai islam adalah mereka yg memiliki ilmu as-Sunnah sebagaimana yg terdapat dalam Kuttubul Sittah].
Saudara, apakah yg dapat kita rumuskan? Orang yg layak menilai siapa yg boleh memenyampaikan ilmu tentang Islam dan syariatnya adalah orang yg memiliki ilmu al-Quran dan as-Sunnah dan mereka itu bukan setakat faham tetapi faqih tentang Islam dan syariatnya bersandarkan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Di Malaysia ini berapa ramaikah para ulama' dan ilmuwan Islam yg faham dan faqih ilmu as-Sunnah? Orang yg mungkin faham dan faqih dalam ilmu mengenai islam adalah mereka yg memiliki ilmu as-Sunnah sebagaimana yg terdapat dalam Kuttubul Sittah].
Jazakallahu khairah
No comments:
Post a Comment