Sunday, December 20, 2009

Janji Rasulallah (s.a.w) tentang solat

Assalamualaikum,
Dalam post sebelum ini kita telah teliti ketetapn Allah (a.w) dalam sepotong hadith qudsi, iaitu sesiapa yg menjaga solatnya, dikerjakan dalam waktunya dan tidak diringankannya perintah solat itu, maka Allah (a.w) berjanji akan memasukkannya ke dalam syurga, jika sebaliknya, maka tiada Allah (a.w) janjikan syurga.
Rasulallah (s.a.w) juga berjanji kepada umatnya tentang solat, seperti disebutkan dalam hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abdullah bin Buraidah (r.a), katanya hadith daripada bapanya yang berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Sesunguhnya janji yang (telah dimeterikan) antara aku dan antara mereka (yakni, umatku atau umat Islam) adalah solat, maka barangsiapa meninggalkan solatnya maka sungguh-sungguh dia kafir.’ [Hadith sahih an-Nasa’i]
As-Sunnah menghukum bahawa sesiapa yg meninggalkan solatnya, walaupun hanya satu waktu solat, maka dia jatuh kafir. Maka dengan itulah juga Rasulallah (s.a.w) memperingatkan kita bahawa solat itu tiang ugama bagi orang Islam.
Sabda Nabi (s.a.w): ‘Bermula solat itu satu tiang ugama, maka sesiapa mendirikan solat maka sesungguhnya mendiri ia akan ugamanya, dan barangsiapa meninggalkan akandia maka sesungguhnya meruntuh ia akan ugamanya.’ [Hadith sahih riwayat at-Termidzi]
Hari ini, begitu ramai umat Islam yg sengaja tidak mengerjakan solatnya. Tapi, mereka masih mengakui dirinya Islam dan beriman. Walhal, ugamanya sudah runtuh terbarai. Sudahpun jatuh kafir, mengikut ketetapan hadith sebelum ini. Malah, ugamanya sudah runtuh. Tiadalah lagi dia Islam pada hakikatnya!
Amalan dan ibadah yang terutama bagi umat Islam adalah solat fardunya. Di akhirat kelak solat fardulah yang mula-mula dihisab. Baik buruknya hisaban solat fardu kita menentukan baik buruk ibadat-ibadat yang lain serta berjaya atau gagal kita di akhirat. Seperti dirujuk di atas tadi, Allah (a.w) menjanjikan umatNya, sesiapa yang menjaga solat fardunya dikerjakan dalam waktunya, di masukkan ke dalam syurga! Rasulallah (s.a.w) juga menjanjikan perkara yang sama. Sebagaimana janji Rasulallah (s.a.w) bahawa sesiapa yang menjadikan al-Quran dan as-Sunnah panduan hidupnya dia tidak akan sesat mencari ‘siratul mustaqim’ dan kerana itu berjaya mendapat syurga.
Oleh kerana pentingnya solat itu, sehinggakan Allah (a.w) memberi keringanan kepada hambaNya, supaya tidak meninggalkannya. Sehinggakan jika seseorang itu terlupa, dia boleh mengerjakan solat yg dia tertinggal kerana lupa ketika dia ingat, atau mengerjakan solat yg tertinggal jika dia tertidur, setelah dia bangun dari tidur. Dengan syarat hendaklah dia solatkan, solat-solat yg tertinggal itu, walaupun bukan lagi dalam waktunya, seperti ketetapan hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Barangsiapa terlupa akan solat maka solatlah akan solat (yang terlupa itu) ketika teringat akan dia (yakni, solat itu), sesungguhnya Allah (a.w) berfirman: (wa aqimis solata lizikri) [Maksud: Dirikan solat untuk mengingati Aku (Allah (a.w)] (Ayat 14, Surah Toha)(yakni, yang dirujuk di atas)[Hadith at-Termidzi]
[Nota: Harus diperingatkan bahawa tiada sandaran nas dan dalil al-Quran ataupun as-Sunnah bahawa solat itu boleh diqada'kan! Seseorang yg sengaja mengqada'kan solatnya, walhal dia boleh kerjakan dalam waktunya, adalah meremehkan solatnya dan meringankan perintah Allah (a.w) tentangnya].
Mudah-mudahan kita akur dengan ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w) tentang solat itu, demi kebajikan akhirat kita, insya Allah. Amin
Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment