Assalamualaikum,
Sebagaimana kita semua maklum, semenjak kecil lagi kita diajarkan oleh nenek moyang serta tok-tok guru kita bahawa jika kita ingin membaca al-Quran hendaklah kita ada Wudu'. Bagi mereka yang pernah berada di Arab Saudi - khususnya semasa di Mekah dan Madinah - kita akan ketemui orang-orang Arab sentiasa membaca al-Quran apabila ada kesempatan. Soalnya: Adakah mereka itu sentiasa dalam keadaan berwudu'? Jika tidak, bolehkan mereka membaca al-Quran? Atau: Adakah mereka menganuti Islam mengikut fahaman mazhab, seumpama fahaman Wahabi? Yang membolehkan mereka membaca al-Quran tanpa berwudu'?
Cuba kita semak ketetapan as-Sunnah (yakni, ketetapan Rasulallah (s.a.w) dan khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin, menyentuh isu ini).
Diriwayatkan hadith daripada Abdillah bin Salamah berkata: ‘Aku masuk atas Ali bin Abi Thalib (r.a), maka berkata Ali (r.a): ‘Adapun Rasulallah (s.a.w) datang (yakni, masuk) ke jamban, maka diapun qada’ hajat (yakni, buang air), kemudian keluar dia, maka makan dia bersama aku roti dengan daging (yakni, roti yang dicecah dengan gulai daging), dan (kemudian) membaca dia al-Quran, dan tidak menghalangi (atau, mencegah) akandia (membaca al-Quran). ‘Kadang-kadang’, berkata Ali (r.a), ‘Tidak menghalang (atau mencegah) daripada (membaca) al-Quran sesuatu kecuali berjenabah (yakni, berjunub).’ [Hadith ibnu Majah, Kitab Toharah dan Sunnah Mengenainya]
Di dalam hadith di atas itu, Ali Abi Thalib (r.a) memberitahu kita suatu ketika Rasulallah (s.a.w) masuk ke jamban kerana kada' hajat (yakni, kencing atau berak), kemudian keluar dia dan makan dia bersama-sama para sahabat, termasuk Ali (r.a) ada bersama, kemudian selepas itu beliau membaca al-Quran. Dalam hadith ini Ali (r.a) tidak menyebutkan bahawa Rasulallah (s.a.w) berwudu'.
Diriwayatkan hadith daripada ibnu Omar (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): [Maksud: Jangan membaca al-Quran orang-orang yang berjunub dan orang yang haid.’ [Hadith ibnu Majah, Kitab Toharah & Sunnah Mengenainya]
Di dalam hadith di atas itu, ibnu Omar (r.a) memberitahu bahawa Rasulallah (s.a.w) tidak melarang atau menegah membaca al-Quran oleh sesiapapun dalam apapun keadaan, kecuali jika berjunub dan perempuan dalam haid. Ibnu Omar (r.a), di dalam hadith berikut juga, memberitahu ketetapan yang sama, iaitu kita dibolehkan membaca al-Quran dalam apa keadaanpun, termasuk tanpa wudu'. Yang tidak dibolehkan adalah sesiapa yang berjunub (yakni, belum mandi junub) tidak dibenarkan membaca al-Quran. Begitu juga, perempuan haid tidak dibolehkan membaca al-Quran sehinggalah dia sudah suci (i.e. mandi junub). Menyebut tentang junub tidak dibolehkan membaca al-Quran, kita akan temui pula ketetapan Allah (a.w) dalam al-Quran bahawa jika kita berjunub dan tiada mendapat air untuk mandi junub dan berwudu' untuk bersolat, apabila sudah tiba waktunya, kita dibolehkan bertayamum. Sesudah bertayamum, kita dibolehkan untuk mengerjakan satu waktu solat fardu. Maksudnya, setiap solat, kita boleh kerjakan dengan bertayamum, jika kita tidak ketemui air untuk mandi junub dan berwudu'. Mesejnya adalah di dalam perkara solat fardu, kita yang beriman tidak sekali-kali dibolehkan meninggalkannya dalam apa keadaan sekalipun, kecuali uzur syar'i, yakni gila atau hilang akal. Selagi otak kita waras, kita wajib tunaikan solat, walaupun kita terlantar di katil hospital tidak dapat bergerak - berjalan dan sebagainya. Tuntutan solat fardu itu mengatasi apa-apa keadaan. Justeru itulah, sesiapa yang tidak boleh berwudu', maka dia boleh bertayamum untuk mengerjakan solat fardunya.
Diriwayatkan hadith daripada ibnu Omar (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): [Maksudnya: Jangan membaca orang berjunub (atau berjenabah) dan tidak juga orang haid sesuatu (ayat dari al-Quran).’ [Hadith ibnu Majah, Kitab Toharah & Sunnah Mengenainya]
Sehubungan itulah, kita diberitahu oleh Rasulallah (s.a.w) bahawa Islam itu mudah dan tidak sulit dianuti. Allah (a.w) memberikan pelbagai ruksyah (kemurahan atau kelonggaran) dalam keadaan tertentu supaya hambaNya yang beriman boleh tunaikan kewajipan mereka tentang solat.
Alhamdulillah, kita telah mendapat ilmunya mengenai membaca al-Quran itu. Kepada mereka yang mengajarkan kita ilmu, kita ucapkan jazahumullahu khaira. Semoga dengan sedikit panduan ini, memudahkan kita membaca al-Quran ketika kita berkelapangan, insya Allah. Amin
Jazakallahu khairah
No comments:
Post a Comment