Tuesday, December 15, 2009

Rasulallah (s.a.w) mengingatkan ...

Assalamualaikum,
Allah (a.w) berfirman di dalam al-Quran bahawa ingat mengingatkan sesama Islam itu saling memanfaatkan satu sama lain. Maka itulah tujuan sebenar khutbah yg dibaca dari minggu ke minggu, yg dibaca sesudah Solat Aidil Fitri dan Aidil Adha atau mana-mana majlis tazkirah atau majlis ilmu.
Malangnya, hari ini sukar bagi seseorang Islam itu memperingatkan saudara Islamnya kerana dibatasi oleh perundangan dan peraturan yg direka oleh manusia sendiri. Oleh kerana itu, kejahilan tidak mudah dihapuskan dan saudara Islam lain tidak dapat disedarkan. Orang Islam yg tau dan ingin sampaikan, dibatasi dan dihalangi oleh pelbagai perkara. Tujuannya baik tetapi caranya yg salah.
Kali ini kita teliti satu lagi peringatan Rasulallah (s.a.w) yg wajib kita jadikan panduan harian, jikalah kita benar-benar Islam dan beriman dan yakin kita bahawa dunia ini hanyalah tempat persiapan untuk akhirat.
Diriwayatkan hadith daripada Yahya bin Abi Kathir, hadith daripada Ya’isy ibni Walid, iaitu hamba bebas (i.e. hamba yg telah dibebaskan atau dimerdekakan) kepada Zubeir, menceritakan hadith bahawa Zubeir bin Awam menceritakan hadith bahawasanya Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Telah menular (yakni, merebak) penyakit di kalangan kamu penyakit umat-umat yang terdahulu, iaitu (penyakit) ‘hasad dan dengki’, ia (yakni, ‘hasad dengki’ itu) pencukur; bukan aku berkata ‘pencukur rambut’, dan akan tetapi pencukur ugama (yakni, mencukur pahala segala amalan dan ibadah). Demi diriku di tanganNya! (yakni, bersumpah Rasulallah (s.a.w) i.e demi Allah (a.w)) Tidak akan masuk syurga sehingga beriman kamu, dan tidak beriman kamu sehingga kasih kamu (akan saudara sesama Islam). Apakah tidak aku ceritakan kepada kamu dengan apa-apa yang menetapkan (i.e.memantapkan) demikian (keimanan dan kasih sayang) kepada kamu? (Iaitu) Saling menyebarkanlah oleh kamu ucapan (i.e. memberi) ‘salam’ (i.e. 'Assalamualaikum') antara kamu.’ [Hadith sahih at-Termidzi]
Nasihat di atas itu kompak - rengkas tetapi padat. Pertama, hapuskan perasaan hasad dan dengki, kerana seseorang yg ada dalam hatinya perasaan atau sifat tersebut, tidak akan masuk syurga, kerana segala kebaikan - amalan dan ibadahnya - walaupun menghasilkan ganjaran pahala tetapi pahala tersebut lenyap atau hilang atau terpadam dari tulisan Kitab Catitan Amalannya kerana dihakiskan oleh sifat dan rasa hasad dengki hatinya! Tidak ada gunanya dia alim atau beristiqamah mengerjakan amalan dan ibadah sehari-harian, jika sifat hasad dengki itu menjadi sifat dirinya. Kedua, seseorang Islam itu tidak akan mendapat syurga jika dia tidak beriman (Nota: orang beriman itu tidak melupakan tanggungjawabnya yang wajib dan utama seperti mengerjakan solat fardu), dan tidak beriman (i.e. belum beriman) seseorang itu jika dia tidak menaruh rasa kasih sayang terhadap saudaranya yg Islam (Nota: orang yg sering menganianya dan menyusahkan orang Islam lain, tidak tergolong dalam golongan orang yg mengasihi saudaranya yg Islam). Jelasnya, tiket ke syurga itu tidak didapati oleh orang yg tidak mengasihi saudaranya sesama Islam! Ketiga, Rasulallah (s.a.w) memberi satu petua yg simple bagaimana meningkatkan kasih sayang sesama Islam dan menghapuskan perasaan hasad dan dengki itu - iaitu memberi salam kepada saudara sesama Islam, sama ada yg kita kenal maupun yg kita tidak kenal. Maksudnya, jika kita sering ingin memberi 'salam' dengan penuh ikhlas, semestinyalah kita sentiasa ingin berbuat baik kepada saudara sesama Islam dan kita tidak akan melakukan sesuatu yg menyusahkan dia.
Mudah-mudahan kita dapat menghayati pesanan dan nasihat Rasulallah (s.a.w) ini dan benar-benar memulakan langkah baru menjadi orang yg kasihkan saudaranya yg Islam dan mengikis perasaan hasad dengki dalam diri kita, demi kesejahteraan akhirat kita. Amin

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment