Assalamualaikum,
Kita mulakan melihat Solat, iaitu satu ibadah fardu atau wajib yang amat utama dalam Islam. Kita akan mendapat tahu melalui as-Sunnah bahawa seseorang yang Islam - mengucap dua kalimah syahadat - belum dikira Islam jika tidak mengerjakan perintah wajib bersolat lima waktu sehari semalam. Malah, sesiapa yang meninggalkan satu waktu solat fardunya dikira jatuh kafir, yakni terkeluar dari Islam sehinggalah dia Islam semula apabila dia bersolat kemudiannya. Kita akan diberitahu bahawa solat itu tiang ugama Islam, sebagaimana tiang rumah, jika kita tidak kerjakan kita merusak ugama kita. Juga, solat itu adalah ibadah yang terawal dan terutama dihisab di akhirat kelak. Maka, sesiapa yang hisaban solatnya teruk, maka beratlah pula hisaban ibadah dan amalan fardu selainnya. Jika hisaban solatnya baik, maka mudahlah baginya hisaban ibadah dan amalan wajib selainnya.
Cuba kita lihat hadith qudsi di bawah ini (Nota: Hadith qudsi adalah firman Allah (a.w) yang dilafazkan atau disabdakan oleh Rasulallah (s.a.w))
Diriwayatkan hadith daripada Ibnu Syihab al-Zuhri (r.a) berkata telah berkata Said bin Musaiyab (r.a): ‘Sesungguhnya Aba Qatadah bin Rabi’i (r.a) mengkhabarkan kepadaku (satu hadith); kata (Qatadah): ‘Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Telah berfirman Allah (a.w): ‘Aku (Allah (a.w)) fardukan atas umat kamu (Muhammad (s.a.w) dan umatmu) lima solat dan berjanji Aku (Allah (a.w)) disisiKu satu janji bahawasanya barangsiapa menjaga (yakni, mengerjakan) atas solatnya pada waktunya masuk dia ke dalam syurga, dan barangsiapa tidak menjaganya maka tidak ada janjiKu baginya disisiKu (yakni, tidak masuk syurga, masuk neraka mereka, kecualilah Allah (a.w) benarkan sebaliknya).’ [Hadith (Qudsi) Abu Daud]
Di dalam al-Quran disebutkan antara ciri-ciri orang yang beriman itu adalah dia menjaga solatnya dan dia mengeluarkan zakatnya dan dia menginfaqkan sebahagian daripada rezki yang diterimanya, demi membela Islam dan umat Islam.
Di dalam hadith di atas itu, Allah (a.w) berjanji bahawa sesiapa menjaga akan solat fardunya dalam waktunya, Allah (a.w) berjanji memasukkan dia ke dalam syurga. Jika tidak dikerjakannya atau dikerjakannya dengan meremehkannya, tiada janji tersebut. Seseorang yang Islam dan beriman itu yakin dia bahawa janji Allah (a.w) itu adalah janji yang pasti. Yakni, kalau kita jaga solat fardu kita dalam waktunya, pasti mendapat ganjaran syurga.
Hari ini berapa ramaikah orang yang mengakui Islam menjaga solatnya? Yang miskin sebuk dengan dua jenis kerja untuk menjaga ekonomi keluarga. Terkadang isteripun terpaksa membuat dua kerja supaya mendapat sumber yang lebih untuk keselesaan hidup. Yang menjadi tokoh-tokoh korporat pula, sudahlah bergaji lumayan, terlalu sebuk pula setiap hari menguruskan syarikatnya, sehingga terlepas waktu Solat 'Asar atau Maghrib. Seringkali, Solat Subuh terlepas kerana tidur lambat, kelesuan bekerja, memerah otak di pejabat, atau melayan pelanggan di kelab-kelab dll, maka tak dapat bangun awal pagi untuk bersolat Subuh. Dua solat yang paling payah ditunaikan oleh kebanyakan orang Islam adalah Solat Subuh dan Solat 'Asar. Maka dengan itulah di dalam sepotong hadith disebutkan bahawa antara ciri-ciri kemunafikan itu adalah meninggalkan Solat 'Asar dan Solat Subuh. Munafiq mengakui Islam tetapi tidak komited dengan Islam! Orang politik pula sebuk dengan agenda dan program politik, sehingga seringkali pula meninggalkan solatnya. Malah ramai yang 'terlupa' bersolat. Ada juga yang 'menjamakkan atau mengumpulkan solatnya', kerana fahaman arus perdana Islam di Malaysia memudahkannya dengan memfatwakan bahawa solat yang tertinggal boleh diqada'kan pada waktu-waktu lain! Pegawai-pegawai kanan kerajaan pula sebuk pula dengan mesyuarat yang sering bermula tengah hari, sehingga berlanjutan sehingga jam 6 petang. Maka ramailah yang terlepas Solat Zohor dan Solat 'Asar mereka. Begitulah lumrah hidup. Jika tidak berwaspada serta tidak yakin bahawa ada kehidupan selepas mati, ramai orang Islam yang alpa dan lalai, terus alpa dan lalai.
Mudah-mudahan, setelah selesai kita lihat ketetapan as-Sunnah tentang Wudu' dan Solat nanti, kita akan lebih terpandu dalam beramal dan beribadah, insya Allah.
Jazakallahu khairah
p.s.: Saudara jangan lupa bahawa semua amalan dan ibdah, walau sebesar zarahpun, tetap mendapat pahala jika menepati dua syarat; iaitu: pertama, niatnya betul, i.e. 'wa-yarjuna rahmatahu, wa-yahafuna 'azabahu', (yg bermaksud: kerana mengharapkan kerahmatan Allah (a.w) (i.e. syurga) dan takutkan siksaan Allah (a.w), i.e. nerakaNya) [Ayat 57, Surah al-Isra']; dan kedua, menepati apa yg ditunjukkan atau dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w) (i.e. sejajar dgn as-Sunnah). Sekiranya, kedua-duanya dipatuhi maka amalan dan ibadah itu pasti diterima Allah (a.w). Tidak tidak memenuhi salah satu drpd kedua syarat tersebut, sia-sia - batal, tidak diterima Allah (a.w). Berapa banyak pahala dapat? Bergantung kpd setakat mana atau seikhlas mana niat kita dan sebaik mana amalan/ibadah itu dikerjakan.
No comments:
Post a Comment