Assalamualaikum,
Kita teliti dalam post ini hadith yang diriwayatkan oleh at-Termidzi tentang kaedah dan proses mandi junub sebagaimana yang dilaporkan pula oleh isteri Rasulallah (s.a.w) yg lain, iaitu Maimunah (r.ah). Dalam post-post yang lalu kita telah teliti hadith riwayat Aisyah (r.ah), isteri Nabi (s.a.w).
Kita akan terangkan hadith ini kemudian. Buat masa ini ia agak straight forward kita turunkan terjemahan oleh pengarang Kitab Bharul Mazi terhadap hadith at-Termidzi ini. Kitab Bharul Mazi ini adalah tafsiran Sunan at-Termidzi (salah satu Kuttubul Sittah yang menjadi panduan Muslim tentang as-Sunnah) oleh seorang ulama' Melayu tahun-tahun 1940han:
Diriwayatkan hadith daripada Maimunah bte Harith al-Khalali (r.ah), isteri Nabi (s.a.w), berkata: ‘Telah aku hantarkan dan dekatkan untuk Nabi (s.a.w) air mandi kerana ia mahu mandi junub. Maka mandilah dari sebab junubnya dan memulai ia dengan [membaca 'Bismillah' dan kemudian, merujuk kepada hadith-hadith lain] menyenget ia akan bejana (bekas air) dengan tangan kirinya menuang air ke atas tangan kanannya maka membasuh ia akan dua tapak tangan kedua-duanya tiga kali. Kemudian setelah membasuh kedua tangannya dimasukkan tangannya itu ke dalam bekas air tadi maka menuang ia, yakni diambilnya air itu dengan tapak tangannya lalu ditimba dan dituangkan ke atas kemaluannya, yakni kubulnya dan duburnya. Kemudian sesudah basuhan kemaluannya, dengan niat mandi hadas besar menyental ia akan tangannya ke dinding rumah atau ke bumi sebagai sental yang bersangatan (yakni, agak kuat), kemudian berkumur-kumur ia dan memasukkan air ke hidung tiga-tiga kali dan berniat ia mengambil wudu’ dan membasuh ia akan mukanya rata-rata dan membasuh ia akan kedua tangannya sampai ke siku. Kemudian daripada sudah sempurna basuh muka dan lengannya menuanglah ia dengan air di dalam tapak tangannya [yang diambilnya dari dalam bekas di hadapannya itu] [dituangkan] atas kepalanya tiga kali supaya jerab air itu masuk rata dalam pangkal rambut serata-rata kepalanya itu. Kemudian daripada sudah jerab air atas kepalanya dengan tiga kali tuangnya tadi menuang pula ia akan air atas sekelian tubuhnya, mula sebelah kanan serta gosok, kemudian dituangnya sebelah kiri rata-rata sekelian badannya kena air. Kemudian daripada sudah rata sekelian tubuhnya kena air, berubah dia dari tempat mandinya jauh sedikit daripadanya dan membasuh dua kakinya kerana menyempurnakan wudu’nya tadi. Inilah kelakuan Nabi (s.a.w) mandi hadas besar.’ [Hadith hassan dan sahih at-Termidzi]
Hadith ini juga menyebutkan mandi junub itu merangkumi dua proses utama, iaitu: pertama, berwudu'; dan kedua, mandi junub. Tanpa menepati kaedah dan proses ini, mandi junub kita itu tidak sah.
Jazakallahu khairah
No comments:
Post a Comment