Wednesday, December 16, 2009

Bersetubuh membatalkan wudu'

Assalamualaikum,
Kita diberitahu bahawa bersetubuh atau dalam keadaan berjenabah membatalkan wudu'. Tetapi, menyentuh isteri (atau wanita), sama ada mahram (i.e. orang yg tidak boleh dinikahi) atau tidak mahram (i.e. ajnabi, yg boleh dinikai), tidak membatalkan wudu'. Itulah ketetapan al-Quran dan as-Sunnah.
Berfirman Allah (a.w):[Maksud: ‘Wahai orang yang beriman apabila berdiri kamu untuk bersolat, maka hendaklah kamu membasuh muka kamu dan tangan kamu hingga ke siku dan usaplah (yakni, sapulah) kepala kamu dan kaki kamu hingga ke dua mata kaki (yakni, buku lali); dan jika kamu berjunub maka bersucilah kamu (yakni, mandi junublah sebelum mengambil wudu’); dan jika ada kamu sakit atau dalam musafir atau datang salahsatu kamu dari berak atau menyentuh kamu (yakni berjimak atau menyetubuhi) akan perempuan (yakni, isteri kamu) maka tidak didapati (atau tidak ketemu dengan) air, maka bertayamumlah dengan tanah (atau debu) yang baik (yakni, bersih), maka usaplah dengan (debu) muka kamu dan tangan kamu dengannya (yakni, tanah atau debu itu); tidaklah memberati oleh Allah (a.w) untuk dikerjakan oleh sekelian kamu dan akan tetapi berkehendakkan Allah (a.w) membersihkan kamu sekelian dan menyempurnakan ni’matNya atas kamu sekelian, mudah-mudahan kamu bersyukur (kepadaNya).]’ [Ayat 6, Surah al-Maidah]
Ayat ini memberi kita tahu cara dan kaedah asas berwudu' itu serta perkara-perkara yg membatalkan wudu'.Yg membatalkan wudu' itu adalah:
1. Berak
2. Berjimak atau bersetubuh
Dalam ayat ini kalimah yg digunakan adalah 'lamastumun nisa'' (secara literal bererti 'menyentuh wanita (isteri)'). Ramai para ulama' mentakrifkannya sebagai 'menyentuh' secara literal. Tetapi, 'lamastumun nisa' adalah bahasa halus yg digunakan oleh Allah (a.w) untuk merujuk kepada 'berjimak' atau 'bersetubuh'. Justeru itu, wudu' hanya batal jika bersetubuh bukan menyentuh wanita (isteri) atau mana-mana wanitapun (tanpa disengajai). Menyentuh wanita yg bukan mahram adalah berdosa. Ini hukuman atau ketetapan lain, bukan ketetapan tentang wudu'.
Selanjutnya kita teliti sepotong hadith sahih an-Nasa'i di bawah ini tentang 'menyentuh wanita' itu:
Diriwayatkan hadith daripada Ibrahim al-Taiyimi, hadith daripada Aisyah (r.ah) mengatakan bahawa Nabi (s.a.w) ada mencium atas isterinya, kemudian bersolat, dan tidak berwudu’ dia.’ Berkata Abu Abdul Rahman (yakni, Imam an-Nasa’i) tiada di dalam bab sedemikian (yakni, baba tentang wudu’ dan perkara-perkara yang membatalkan wudu dalam’) hadith lebih baik daripada ini hadith, dan jika adapun hadith mursal (yakni, terputus isnadnya, yakni tidak sahih). Dan sungguh meriwayatkan ini hadith oleh ‘A’masy, daripada Habib bin Abi Thabit, daripada ‘Urwat, daripada Aisyah berkata Yahya al-Qatan, hadith Habib, daripada ‘Urwat, daripada Aisyah (r.ah) daripada ini. Dan hadith Habib daripada ‘daripada Aisyah (r.ah) tentang solat perempuan dan jika menitis darah atas tikar tidak apa-apa (bersolat).’ [Hadith an-Nasa’i, Kitab Bersuci (Wudu’)]
Aisyah (r.ah) dalam hadith ini menyebutkan bahawa Rasulallah (s.a.w) sering mencium isteri-isterinya dan kemudian dia ke masjid bersolat tanpa mengambil wudu'. Maksudnya wudu'nya tidak batal. [Nota: Rasulallah (s.a.w) sering mencium Aisyah (r.ah) dan Habsyah (r.a), kemudian pergi bersolat tanpa mengambil wudu' semula). Mengambil ingatan firman Allah (a.w) bahawa Rasulallah (s.a.w) itu adalah 'uswatun hasanah', yg wajib kita contohi dalam semua perkara, maka kita tidak boleh membuat ketetapan bahawa menyentuh wanita itu membatalkan wudu'.
Di dalam hadith tersebut disebutkan juga bahawa jika seorang wanita itu sedang bersolat kemudian didapatinya ada titisan darah (istikhazah) terjatuh di atas tikar (sejadah), hendaklah dia terus sempurnakan solatnya, dan solat itu sah, tidak perlu berhenti dari solat tersebut.
Mudah-mudahan dengan penjelasan ini tidaklah kita merasa ragu menyentuh isteri ketika masih berwudu' atau kita tersentuh atau disentuh wanita ketika masih berwudu'. Wudu' kita tidak batal.

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment