Thursday, December 17, 2009

Meninggalkan solat jadi kafir?

Assalamualaikum,
Setelah kita ulangkaji ketetapan Islam tentang wudu' (kaedah dan caranya mengikut as-Sunnah), kita mulakan melihat ibadah utama orang Islam yg beriman, iaitu solat. Kita diperingatkan bahawa solat itu amat utama bagi orang Islam. Jika ditinggalkan jatuh syirik (sebagaimana orang yg tidak percayakan wujudnya Tuhan) atau kafir (sebagaimana orang yg tidak Islam)! Orang-orang yg sedemikian wajib disiksa dalam neraka, wal iyazubillah.
Mengikut sepotong hadith daripada Jabir bin Abdullah (r.a) dijelaskan bahawa yang membezakan seseorang yang taat (yakni, orang Islam dan beriman) dengan yang engkar (yakni, kufur atau kafir) adalah sikapnya terhadap kewajipannya mengenai solat fardu:
Diriwayatkan hadith daripada Jabir bin Abdullah (r.a), berkata Jabir (r.a): ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Antara hamba Allah (a.w) (yang taat) (yakni Islam) dan hamba Allah (a.w) yang engkar (kufur, yakni kafir) adalah meninggalkan solat.’ [Hadith Ibnu Majah]
Hadith ini menyebutkan bahawa amat serius akibat tidak bersolat. Hadith tersebut menjelaskan perbezaan antara orang yang Islam dan beriman dengan orang yang kafir adalah melihat kepada tindaktanduknya mengenai solat fardunya. Meninggalkan solat menunjukkan seseorang itu mengikuti perbuatan orang kafir kerana orang kafir tidak solat dan hanya yang Islam yang mengerjakan solat. Statusnya orang yang sedemikian adalah antara kafir (yang engkarkan semua perintah Allah (a.w) dan RasulNya) dan orang mukmin (yang beramal dan beribadat kerana dia yakin akan menemui Allah (a.w) di akhirat kelak). Di dalam perkara akhirat hanya ada dua kategori manusia, iaitu yang mendapat syurga atau yang mendapat neraka. Ayat 13 dan 14, Surah an-Nisa’ menjelaskan bahawa yang taat itu mendapat syurga dan yang ingkar itu mendapat neraka. Malah dalam hadith berikutnya, orang yang meninggalkan solatnya, betul menjadi kafir.
Di dalam hadith qudsi bahawa Allah (a.w) memberitahu kita bahawa ada janji antara Allah (a.w) dan juga Rasulallah (s.a.w) dengan kita yang Islam, iaitu: sekiranya kita menjaga solat fardu kita yang lima waktu sehari semalam pada waktu-waktunya, maka Allah (a.w) akan memasukkan kita ke dalam syurganya. Dan, mengikut hadith berikut pula, Rasulalalh (s.a.w) memberitahu kita bahawa meninggalkan solat jatuh kafir kita. Jelaslah, jika kita meninggalkannya atau mengabaikannya dan tidak mengerjakannya solat fardu kita pada waktu-waktunya, janji Allah (a.w) dan janji Rasulallah (s.a.w) tersebut gugur secara otomatis, yakni tidak ada janji. Terpulanglah kepada ikhsan Allah (a.w) sama ada untuk mengazab kita di dalam neraka atau mengampunkan kita.
Jika kita bertaubat, Allah (a.w) bersedia menerima taubat seseorang yang beriman itu kerana dosa-dosanya selain dosa berbuat syirik atau dosa kerana syirik. Dosa yang tidak akan diampun Allah (a.w) adalah dosa menduakan Allah (a.w). Yakni ada kuasa lain yang berkuasa seolah-olah seumpama Allah (a.w). Justeru itu, walaupun seseorang yang meninggalkan solatnya jatuh kafir mengikut hadith berikut, Allah (a.w) masih boleh menerima taubatnya, tetapi jika syirik, mengikut ketetapan hadith berikut, tidak boleh ditaubatkan.
Diriwayatkan hadith daripada Abdullah bin Buraidah (r.a) hadith daripada bapanya yang berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Adapun janji yang dibuat antara seseorang itu dengan aku (Nabi (s.a.w)) adalah solat. Maka barangsiapa meninggalkan solatnya maka sesungguhnya kafir dia’. [Hadith Ibnu Majah]
Hadith di atas menunjukkan bahawa orang Islam itu (melalui dua kalimah syahadahnya menjadi Islam. Dan, dengan dua kalimah syahadah itu dia telah berjanji, dengan Penciptanya, Allah (a.w) dan berjanji (berbai’at atau berikrar)) dengan Nabi (s.a.w), yang menyampaikan perintah Allah (a.w), dengan berkata ‘Aku naik saksi bahawasanya tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah (a.w); dan aku naik saksi bahawa Muhammad (s.a.w) itu Pesuruh Allah (a.w)’ dan dengan itu dia menjadi Islam dan terikat dengan janji atau ikrarnya, yakni, dia menerima dan mengamal dan mengibadatkan segala sesuatu yang diperintahkan oleh Allah (a.w) melalui perintah dan suruhan Rasulallah (s.a.w) yang menyampaikan perintah Allah (a.w). Antara perintah Allah (a.w) ke atasnya, dia hendaklah mendirikan (i.e. mengerjakan)solatnya. Jika dia meninggalkannya solatnya maka menjadi kafir dia.
Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a), katanya daripada Nabi (s.a.w) yang bersabda: ‘Tidak ada antara hamba Allah (a.w) (yang taat itu) dan (dengan hamba yang) syirik (terhadap Allah (a.w)) itu kecuali meninggalkan solatnya. Maka ketika meninggalkan oleh seseorang hamba itu akan solatnya maka menjadi syiriklah dia (yakni, secara tidak langsung dia mengakui bahawa ada tuhan lain selain Allah (a.w) yang memerintahkan dia supaya mengabaikan mendirikan solat, maka keluar dia dari Islam).’ [Hadith Ibnu Majah]
Hukuman dalam hadith di atas ini lebih serius lagi, kerana jatuh syirik seseorang Islam itu apabila dia meninggalkan solatnya, wal iyazubillah.
Orang yang syirik itu tidak diterima taubatnya oleh Allah (a.w), maka tidak akan masuk syurga dia. Mengapakan dia menjadi syirik kerana meninggalkan solat (fardu)nya, walhal dia mengakui bahawa hanya Allah (a.w) yang layak disembah? Tanpa solat maka dia tidak mengakui wujud Allah (a.w) dan, kerana itu dia menyembah selain Allah (a.w).
Apabila diperintahkan supaya bersolat, tidak dibuatnya, bukan sahaja dia engkar, tetapi implikasinya seolah-olah ada ‘kuasa’ yang lebih ‘berkuasa’ daripada Allah (a.w), maka kerana itu dia tidak takut dan gentar dengan mengengkari perintah Allah (a.w)! Bukankah itu syirik?
Walaupun mengikut hadith-hadith di atas itu jelas hukumannya amat berat terhadap seseorang Islam yang meninggalkan solat fardunya, tetapi ada ulama’-ulama’ pengikut mazhab as-Shafie meringankan pula hukuman tersebut. Mereka mengatakan tidak jatuh kafir atau tidak syirik, tetapi membuat sesuatu perbuatan atau perlakuan seumpama seorang yang kafir atau perbuatan seumpama orang yang syirik (yakni, tidak mengesakan kedudukan dan kekuasaan serta perintah Allah (a.w)), tetapi tidak jatuh syirik.
Mereka yang berpendirian sedemikian mungkin kerana dua sebab: pertama, mereka cetek dalam ilmunya mengenai syariat Islam mengikut as-Sunnah; atau kedua, mereka menggunakan pendapat dan fikiran sendiri mentafsirkan sesuatu yang jelas tetapi dianggapkan tidak jelas! Ramai para ilmuwan Islam yang seringkali mentafsirkan sesuatu yang jelas seolah-olah ketetapan tersebut bukan bersifat ketentuan muktamad. Maka mereka melonggarkan ketetapan tersebut.
Wajib kita ingat bahawa ugama Islam itu ugama ciptaan Allah (a.w) serta syariat Islam itu ditetapkan oleh Allah (a.w). Selain Allah (a.w) hanya Rasulallah (s.a.w) yang tahu secara sempurna ilmunya mengenai syariat Islam itu. Tidak siapa yang boleh mentakrifkan sesuatu yang berlainan daripada ketetapan Allah (a.w) dan RasulNya.
Dalam pada itu, kita juga diberitahu bahawa untuk menjadi seorang Islam itu mudah, iaitu barangsiapa mengucap dua kalimah syahadah itu menjadi Islamlah dia. Tetapi, melaksanakan ikrar syahadah tersebut mungkin menyusahkan. Umat Islam yang banyak masuk neraka kerana kecuaian mereka mengerjakan solat mereka dan lain-lain kewajipan yang ditetapn Allah (a.w) dan RasulNya.
Dalam mentafsirkan hadith meringankan hukuman ‘kafir’ apabila meninggalkan solat itu, para ilmuwan dan ulama’ arus perdana tidak menghukum mereka yang meninggalkan solat itu ‘kafir’ tetapi hanyalah ‘fasiq’ (melanggar ketetapan Allah (a.w)) sahaja.
Wajiblah kita ingat hakikat bahawa Allah (a.w) yang menetapkan Islam itu ugama yang diredhaiNya. Allah (a.w) yang menyuruh umat manusia itu mentaatiNya dan mengikut segala perintahNya dan mengikuti perintah RasulNya. Allah (a.w) perintahkan manusia supaya mengerjakan solat lima waktu sehari semalam. Solat adalah ibadah yang terutama dalam Islam. Maka dengan itu Rasulallah (s.a.w) memberitahu bahawa solat itu tiang ugama. Barangsiapa meninggalkan solatnya maka dia meruntuhkan ugamanya. Apabila runtuh ugamanya, dia terkeluar dari Islam.
Utamanya solat itu juga boleh difahami melalui hadith qudsi berikut yang menyatakan bahawa Allah (a.w) menjanjikan kepada hambaNya yang mengerjakan solat dalam waktunya syurga:
Diriwayatkan hadith dari Said b Musaiyab bahawa Aba Qatadah b Rabi’i menceritakan kepadanya (hadith) dengan berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w):‘(Qolallahu Ta’ala: ‘ Inni faradtu ‘ala ummatika khamsa salawatin wa-‘ahidtu ‘indi annahu man ja-a yuhafizu ‘alaihinna adkhaltuhu jannata, wa-man lam yuhafiz ‘alaihinna fala ‘ahdalahu ‘indi) [Maksud: Berfirman Allah (a.w) yang Maha Mulia dan Maha Tinggi: ‘Sesungguhnya Aku (Allah (a.w)) fardukan atas umat engkau (Muhammad) lima solat dan berjanji Aku di sisiKu bahawasanya barangsiapa yang datang (kepadaKu di akhirat) menjaga atas kelima-lima solat itu pada waktunya Aku masukkan mereka ke dalam syurga, dan barangsiapa yang tidak menjaga atas kelima-lima solat itu maka tiada janjiKu baginya di sisiKu.] [Hadith Abu Daud, Kitab Solat]
Hadith ini jelas memberitahu kita bahawa sesiapa yang tidak menjaga, yakni mengerjakan solat lima waktu, dalam waktu-waktu yang ditetapkan baginya, tidak akan mendapati janji Allah (a.w) iaitu syurga. Hanya mereka yang mengerjakannya dalam waktunya sahaja yang mendapat syurga. Jika tidak mendapat syurga, tiadalah gunanya kalaupun kita diiktiraf orang lain sebagai Islam. Malah terdapat hadith-hadith menyebutkan bahawa meninggalkan satu solatpun dikira engkar dan jatuh kafir, malah jatuh syirik, wal iyazubillah. Justeru itu, janganlah kita remehkan. Tambahan pula ahdith tersebut menyebutkan ketetapan Allah (a.w). Ketetapan Allah (a.w) itu adalah haq, yakni pasti.
Mudah-mudahan mulai dari hari ini kita yg remehkan solat itu akan mengubah pradigma kita supaya sentiasalah usahakan mengerjakan solat, dan supaya kita tidak alpa dan meninggalkannya, insya Allah. Amin

Jazakallahu khairah

4 comments:

  1. Saya setuju tapi ramai masih kurang paham tentang hukum ni. Kalau kita kata mereka jatuh kafir sungguh pun dia meninggalakn satu waktu solat, kita pasti akan dimarahi. Jadi susah kalau kita nak beri tahu hukum yang haq/benar itu kepada yang kurang atau tidak ngaji.

    Kebanyakan mereka bukankah melakukan apa yang diajar tanpa besandarkan dalil2 dari Quran & hadith. Bukankah ada ayat yang membenarkan kita "kada' kalau tertinggal. Ramai yang keliru tentang ayat itu. Ayat itu bermaksud jika kamu tertidur atau betul2 terlupa, lakukanlah solat apabila kamu sedar dari tidur atau bila kamu teringat akannya. Jadi ramai menggunakan ayat ini untuk menangguhkan solat dengan sengaja.

    Dan pandangan rengan masyarakat ramai atas solat ini seolah2 ini perkara biasa, tak jadi satu masalah.

    Terlanjur berkata/komen tentang masyarakat ramai atau arus perdana ni, sdr penulis blog ni ada tauliah dari JAIS ke? Bolih kita terima ajaran2 di atas ke kalau benar tanpa tauliah. Ini perkara jangan main2. Tapi yang saya paham, ialah tauliah hanya untuk pendawah yang hendak berceramah agama di Selangor ni. Kalau gitu Ok lah tu.

    ReplyDelete
  2. mmg betul ustazah sya ajar :) Alhamdullilah saya sempat berubah sebelum terlambat , saya dulu mcm kristian dh ==' *terase hina sgt sekarang ..

    ReplyDelete
  3. Saya menjatuhkan hukum syirik pada mereka yang meninggalkan solat (dengan sengaja). "MENGAPA!?" Punca: Apa yang dimaksudkan dengan syirik? Menyekutukan Allah. Maka, bukankah meninggalkan solat umpama menyekutukan Allah? Tidakkah bodoh meninggalkan solat? Saya juga pernah merasakan bahawa saya bodoh kerana pernah melampau batas leka dalam ibadah. Sebut tentang ibadah, Hamba = 'Abd(i) = 'ibad = ibadah. Maka, antara bukti kita redha Allah sebagai Tuhan adalah tidah meninggalkan ibadah (solat).

    Oleh itu, memang benar syirik tidak akan diampunkan jika hanya sekadar angkat kedua tangan, "Ya Allah, ampunkanlah aku". Tetapi dosa syirik boleh diampunkan jika melakukan taubat (nasuha). Taubat adalah penyesalan (tidak mahu ulangi).

    Daripada Ibnu Mas'ud r.a., Nabi s.a.w. bersabda, "Penyesalan adalah taubat". (Riwayat Ibnu Majah)

    Tambahan: Jika taubat (syirik) tidak diterima, bukankah itu ibarat mengatakan pintu keislaman pada golongan bukan islam tidak akan terbuka?

    Na'udzubillah.

    ReplyDelete
  4. klu tinggal kan solat kapir klu minum arak berjudi berzina mencuri dikire kapir ke kan tu meningal kan perintah allah

    ReplyDelete