Assalamualaikum,
Kita teruskan perbincangan kita tentang cara dan kaedah berwudu' mengikut as-Sunnah, yakni sebagaimana dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w).
Niat, Membaca 'Bismillah', membasuh tangan dan berkumur-kumur sambil (atau, bersekali) menghisap air ke dalam hidung
Apabila hendak memulakan wudu' hendaklah kita berniat (dalam hati, tanpa melafazkan niat) dan membaca 'Bismillah'. Kemudian kita basuh bersihkan dahulu kedua-dua tangan kita sampai ke pergelangan tangan tiga kali.
Niat itu sebenarnya tidak perlu dilafazkan atau dizahirkan, kerana 'niat' adalah gerak hati. Di dalam Islam semua perlakuan yang makruf hendaklah dengan niat. Apabila kita hendak berwudu' sudah pastilah kata hati kita untuk berwudu'. Tidak perlu disebutkan atau dilafazkan. Maka dengan itulah tiada nas dan dalil al-Quran tentang melafazkan atau menzahirkan 'niat'.
Diriwayatkan hadith daripada Omar bin Khattab (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Sesungguhnya apa-apa amalan itu dimulakan dengan ‘niat’, dan sesungguhnya apa-apa yang dikerjakan oleh seseorang itu barang yang diniatkannya…’ [Hadith Bukhari, Muslim dan an-Nasa’i, dll].
Setelah berniat dalam hati, hendaklah kita mulakan proses berwudu' itu dengan menyebut kalimah 'Bismillah' (bukan 'Basmalah'. Basmalah adalah membaca: 'Bismillahir-rahmanir-rahim').
Diriwayatkan hadith daripada Abi Said al-Khudri (r.a) berkata: ‘Sesungguhnya Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Tidak ada wudu’ (yakni, tidak sah wudu’) bagi orang yang yang tidak menyebut 'Bismillah' atas wudu’nya.’ [Hadith sahih Ibnu Majah].
Ada banyak hadith tentang permulaan proses berwudu' ini. Memadailah kita teliti dua tentang kewajipan membasuh kedua-dua tangan dahulu sebelum membasuh anggota wudu'. Kerana, kita belum pasti kedua tangan kita bersih dari kotoran, terutama selepas bangun dari tidur. Dalam zaman awal Islam, air wudu' disimpan dalam bekas seumpama bejana (atau belanga dan seumpamanya yang ditutup supaya tidak dicemari oleh haiwan). Supaya air yang ada di dalam bekas air wudu' itu tidak tercemar, hendaklah kita basuh tangan kita dahulu di luar bekas air. Kemudian barulah kita boleh selok dalam air atau masukkan tangan ke dalam air.
Diriwayatkan hadith daripada Said bin Musaiyab (r.a) dan Abi Salamah bin Abdul Rahman (r.a), bahawasanya kedua-duanya menceritakan hadith bahawa Aba Hurairah (r.a) ada berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Ketika bangun salah seorang daripada kamu pada waktu malam (untuk solat malam) maka jangan memasukkan tangan kamu ke dalam bekas air (untuk beruwudu’) sehingga menuangkan ke atasnya (tangan) (membasuhnya) dua kali atau tiga kali. Maka sesungguhnya salah seorang daripada kamu tidak tahu di mana kedua-dua tangan kamu bertempat (atau berada) (semasa tidur kamu).’ [Hadith sahih Ibnu Majah]
Diriwayatkan hadith daripada Jabir (bin Abdullah) (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Ketika bangun salah satu daripada kamu dari tidur maka berkehendakkan kamu bahawa (hendak) berwudu’, maka janganlah kamu masukkan tangan kamu (ke dalam bekas air wudu’) sehinggalah kamu membasuh tangan kamu. Maka sesungguhnya tidak tahu kamu di mana terletaknya tangan kamu (semasa tidur), dan tidak tahu kamu pada apa-apa kamu letakkan tangan kamu.’ [Hadith sahih Ibnu Majah]
Selepas membasuh kedua-dua tangan sehingga ke pergelangannya, tiga kali, maka kita ceduklah air dari bekas air wudu' itu (seumpama kolah air wudu' di surau atau masjid atau dalam tempayan atau baldi di rumah). Setelah menceduk air kita berkumur-kumur dan hisap air ke dalam hidung, kemudian kita sembur dan hembuskan bersekali ke kiri. Berkumur-kumur dan menghisap air dan menghembuskannya (arah kiri) tiga kali. Seperti yang disebutkan dalam hadith berikut.
Diriwayatkan hadith daripada Ali (r.a) berkata: ‘Sesungguhnya Rasulallah (s.a.w) berwudu’ dengan berkumur-kumur tiga kali, dan menghisap air ke dalam hidungnya tiga kali, dari telapak tangan yang satu (yakni, mencedok air dari dalam bekas air wudu’ sekali untuk kedua-duanya).’ [Hadith sahih Ibnu Majah].
Lima hadith utama yang kita rujuk di atas itu mencukupi sebagai asas dalil as-Sunnah bahawa kita mulakan wudu' dengan: pertama, berniat dalam hati; kedua, membaca kalimah 'Bismillah'; ketiga, membasuh kedua-dua tangan sebelum membasuh anggota-anggota wudu', dan keempat, berkumur-kumur dan menghisap air ke dalam hidung, kemudian menyemburkannya keluar, tiga kali.
Proses preliminary sebelum membasuh anggota wudu' itu sudah kita jelaskan di atas tadi. Selepas ini, kita akan mulakan membasuh anggota wudu'. Mudah-mudahan dengan ilmu ini, kita lebih berhati-hati mengerjakan wudu' kita. Kita pasti wudu' kita itu sah. Kita wajib ingat sah wudu', maka sahlah solat kita. Ada pihak meringankan proses preliminary ini. Janganlah ula kita menambah kepada ketetapan as-Sunnah (seperti menzahirkan 'niat', membaca 'Basmalah' dan tidak hanya 'Bismillah'). Rasulallah (s.a.w) melarang kita membaharui perkara ugama, walaupun 'nampak' kemas, tetapi adalah batil. Rasulallah (s.a.w) mengajarkan kita proses, kaedah dan cara, maka ikutilah. Dia adalah 'uswatun hasanah', i.e. contoh terbaik. Apa yang dilakukan olehnya adalah yang terbaik dijadikan ikutan kita. Sesungguhnya kesempurnaan wudu' itu mewajibkan proses preliminary ini juga dilakukan. Amin
Jazakallahu khairah
No comments:
Post a Comment