Assalamualaikum,
Semua orang Melayu dan, umumnya, orang yang mengakui dirinya Islam telah diajarkan oleh nenek moyang mereka, tok-tok guru mereka serta guru-guru ugama mereka semenjak di bangku sekolah lagi bagaimana berwudu'. Apabila hendak wudu' mereka kata bersihkan diri dari najis, kemudian mulakan wudu' dengan memasang niat dan menzahirkan niat dengan kata-kata 'Nawai tul wudui ...' atau 'Nawaitu raf'al hadathil asghari ...' dan seumpamnya, kemudian mulakan dengan berkumur-kumur dan memasukkan sedikit air ke hidung, membasuh muka, membasuh kedua-dua tangan hingga ke paras siku, menyapu bahagian kepala, dan akhirnya membasuh kedua kaki hingga ke paras dua buku lali. itulah proses berwudu'.
Hakikatnya, kita terima ajaran mereka tersebut sampailah kita tua. Tidak pernah terlintas di hati kita untuk menyemak syariat Islam, khususnya ketetapan Islam, berpandukan al-Quran dan as-Sunnah, apakah itu prosesnya yang haq? Mungkin kita sendiri tak tau nak semak dengan merujuk kepada apa? Alhamdulillah, suatu masa kita terserempak dengan cakap-cakap para ulama' dan ilmuwan bahawa sumber ilmu mengenai sesuatu tentang Islam dan syariatnya itu adalah as-Sunnah. Kadang-kadang kita terlihat orang berwudu' dengan cara yang berbeza. Kita tertanya-tanya, mengapakah cara kita dan cara mereka, berbeza? Kita ingin meneliti dan kepastian, yang mana betul. Maka kita mula belajar dari mereka yang tahu as-Sunnah supaya dapat kita semak perlakuan kita supaya sejajar dengan perlakuan Rasulallah (s.a.w). Kerana para ulama' dan ilmuwan memberitahu tentang as-Sunnah. As-Sunnah, disebut kerapkali. Segala perlakuan yang dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w) adalah as-Sunnah. Beliau yang menyampaikan kepada manusia perintah Allah (a.w). Dia mengajarkan manusia tentang perintah Allah (a.w) dengan mendemokan bentuk-bentuk, cara dan kaedah mengabdikan diri atau memperhambakan diri kita kepada Allah (a.w) sebagai seorang Islam yang beriman, yang taatkan Allah (a.w) dan taatkan Rasulallah (s.a.w) [Ayat 13, Surah an-Nisa'].
Insya Allah, kita akan teliti satu per satu cara dan kaedah berwudu' mengikut as-Sunnah. Tujuannya supaya kita dapat pastikan kita berwudu' dengan sah dan diterima Allah (a.w) wudu' dan amalan kita yang berteraskan wudu' yang sah. Sah wudu' kita maka sahlah segala ibadah dan amalan yang memerlukan atau yang mensyaratkan kita ada wudu' mengerjakannya.
Proses wudu' dan anggota wudu' itu adalah seperti berikut:
1. Persiapan hendak wudu', membersihkan diri dan anggota dari najis dan segala kotoran, yakni kita bersuci dahulu
2. Berniat dalam hati (tanpa melafazkan atau menzahirkan niat) dan menyebut kalimah 'Bismillah'
3. Membasuh kedua-dua tangan, dimulai dengan tangan kanan kita, sampai ke pergelangan tangan (tiga kali), kemudian yang kiri
4. Berkumur-kumur bersekali dengan menghisap atau memasukkan sedikit air ke dalam hidung kemudian menghembuskan air keluar dari mulut dan hidung (tiga kali)
5. Membasuh muka kita sehingga rata bahagian muka termasuk bahagian bawah dagu kita (sekali atau dua kali atau tiga kali)
6. Membasuh kedua-dua tangan kita, mulai dengan yang kanan, hingga ke paras siku (lebih baik melebihi paras siku) (sekali atau dua kali atau tiga kali), kemudian yang kiri
7. Menyapu kepala atau rambut seluruhnya dengan menjalankan kedua-dua tangan yang dibasahi air dari bahagian dahi ke belakang hingga ke bahagian tengkuk dan dikembalikan kedua-dua tangan ke depan sampai ke bahagian dahi semula (sekali)
8. Membasuh kedua-dua kaki sampai ke paras bahagian atas kedua-dua buku lali, dengan dipastikan supaya tumit kena air (sekali)
9. Membaca dua kalimah syahadah setelah selesai (dan boleh ditambah dengan satu doa pendek. Nota: Jika membaca doa angkatlah kedua-dua tangan sebagaimana kita berdoa)
Alhamdulillah, itulah proses dan kaedah berwudu' mengikut ketetapan as-Sunnah. Itulah juga cara yang diberitahu oleh Imam as-Syafie. Soalnya: kalau Imam as-Syafie ajarkan kita lakukan sedemikian mengapakah hari ini para ulama' dan ilmuwan menyebutkan berlainan dari itu?
Insya Allah, kita akan teliti hadithnya satu persatu dalam post yang akan datang sebagai membuktikan nas dan dalil as-Sunnah setiap sesuatu perlakuan tersebut.Semoga dengan secebis ilmu ini kita benar-benar pasti bahawa kita telah berwudu' menepati ketetapan as-Sunnah. Amin
Demikianlah proses wudu' yang disebutkan dalam hadith yang kita telah rujuk dalam post sebelum ini, mengikut hadith riwayat Imam as-Syafie dalam kitab Sunan an-Nasa'i.
Jazakallahu khairah
No comments:
Post a Comment