Assalamualaikum,
Seperti biasa orang Melayu dikatakan kesemuanya 100% Islam. Malah apabila dirujuk Melayu, sudah barang pasti mereka 'synonimous' dengan 'Islam'. Tiada orang Melayu yang tidak Islam. Berlainan dengan situasi di Indonesia. Di sana tidak semua orang Indonesia itu Islam. Bagi kita di Malaysia, ada desas desus bahawa ada orang Melayu yang 'murtad' (i.e. keluar dari Islam dan menjadi kafir, sama ada masuk ugama lain, seumpama Kristian atau Budha, atau tidak berugama langsung).
Semua orang Melayu diajarkan oleh nenek moyang mereka bahawa Islam sahaja ugama yang diterima Allah (a.w). Mereka juga diberitahu bahawa hanya jika dia Islam barulah mungkin masuk syurga. Lazimnya, segolongan kecil (walaupun semakin membesar) orang Melayu yang mengakui diri mereka Islam, tetapi tidak mengerjakan segala kewajipan mereka sebagai seorang Islam yang beriman. Dalam solat, sebagai contoh, semakin ramai orang Melayu tidak mengerjakan solat, puasa dan sebagainya. Hakikatnya, walaupun mereka tidak bersolat, tidak berpuasa, namun mereka amat marah jika dikafirkan atau dikatakan menentang sesetengah syari'at Islam atau menentang as-Sunnah atau menentang fahaman kemazhaban, khususnya as-Syafie!
Firman Allah (a.w): [yg maksudnya: Dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat, dan ruku’lah (yakni, bersolatlah) bersama-sama dengan orang yang ruku’ (yakni, bersolatlah secara berjemaah).’ [Ayat 43, Surah al-Baqarah]
Itulah perintah Allah (a.w) kepada mereka yang mengakui dirinya Islam, iaitu kerjakan solat fardu, keluarkan zakat dan apabila bersolat hendaklah disolatkan solat fardu secara berjema'ah.
Kemudian Rasulallah (s.a.w) memberitahu pula yang membezakan orang-orang Islam dengan orang yang tidak Islam adalah ibadah solat. Maksudnya, jika mereka Islam hendaklah mereka bersolat. Jika tidak bersolat, mereka bukan Islam tetapi sama dengan orang yang tidak Islam, maksudnya kafir.
Diriwayatkan hadith daripada Abi Zubir hadith daripada Jabir (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w):(Bainal-‘abdu wa-bainal-kufra tarkus-solati) [Yg bermaksud: (Yang membezakan) Diantara hamba (i.e. manusia) yang beriman (yakni, Islam dan beriman) dengan hamba (i.e. manusia) yang kafir (yakni, bukan Islam) adalah meninggalkan solat.] [Hadith at-Termidzi, Kitab Iman]
Ramai orang Islam, kerana tidak mengerjakan solat, masih selesa merasakan diri mereka Islam, walhal hadith tersebut jelas memberitahu mereka, jika mereka tahu, yakni berilmu, bahawa mereka sebenarnya kafir. Ada para ulama' menyebutkan perbuatan meninggalkan solat hanyalah menjadikan kita pasik (i.e. orang yang ingkar). Konsep 'fasiq' merujuk kpd orang Islam sahaja. Yg kafir atau syirik adalah sudah pasti, kerana aqidah mereka tidak mengakui dan meyakini wujudnya Allah (a.w) Tuhan manusia. Yang jelasnya adalah sebagaimana ketetapan hadith di atas itu. Justeru itu, meninggalkan solat jatuh kafir pada hakikatnya. Yang nampak lahiriah Islam tetapi dari segi batiniahnya kafir. Malah dalam sepotong hadith disebutkan sesiapa yang meninggalkan satu waktu solatpun sudah menjadi kafir. Dia Islam semula apabila dia bersolat.
Solat fardu itu adalah ibadah yang amat utama menentukan sama ada seseorang itu Islam atau sebaliknya. Malah dalam sepotong hadith lain disebutkan bahawa ibadah solat fardulah ibadah yang pertama-tama dan terawal dihisab di akhirat kelak. Jika hisaban solatnya baik, maka baiklah hisaban amalan dan ibadah lainnya. Jika buruk hisabannya, maka buruklah hisaban amalan yang lain, walaupun begitu berkualiti amalannya yg lain itu!
Semoga Allah (a.w) terus membimbing kita dalam kehidupan kita agar kita tidaklah menjadi orang yang lalai dengan tanggungjawab kita kepada Allah (a.w), demi kesejahteraan akhirat kita. Amin.
Jazakallahu khairah
No comments:
Post a Comment