Saturday, December 5, 2009

Adakah semua yang Islam umat Muhammad (s.a.w)?

Assalamualaikum,
Berikutan penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Asri, timbul balik perdebatan di kalangan para ulama' dan ilmuwan Islam semasa tentang tiga perkara atau isu: pertama, konsep atau hakikat 'ahlus sunnah wal-jama'ah'; kedua, fahaman Wahabi; dan ketiga, isu bid'ah. Semua pihak mengakui mereka tergolong dalam golongan 'ahlus sunnah wal-jama'ah', semua mengatakan tidak berbuat atau mengamalkan bid'ah, dan semua menuduh seseorang yang bercakap atau mengajarkan yang berlainan daripada pegangan ulama' arus perdana, dicap sebagai penyokong atau pengikut fahaman Wahabi.
Saya tertarik membaca tulisan saudara Muhamad Yaakub b Mohd Yunus dalam akhbar Suria terbitan Ahad, 29 November yang lalu. Penulis berpendapat, dialah salah seorang yang faham tentang Wahabi dan tentang mazhab. Ramai orang bercakap tentang 'Wahabi', tapi mereka sebenarnya belum tahu apakah ajaran Wahabi sebenarnya. Lebih ramai lagi orang bercakap tentang fahaman kemazhaban, khususnya Mazhab as-Syafie, tetapi sebenarnya mereka juga belum faham apakah ajaran Imam as-Syafie, sebenarnya. Saudara Yaakub, mengakui bahawa dia faham.
Penulis ingin tinjau sepotong hadith Rasulallah (s.a.w) yang menyebut tentang turunnya Surah al-Kauthar [Nota: malangnya, penulis belum berapa pandai menuliskan kalimah-kalimah surah ini dalam tulisan Arab, dgn menggunakan komputer. Jadi penulis minta pembaca rujuk sendiri surah tersebut dalam mana-mana al-Quran, apabila meneliti terjemahan ayat-ayatnya dalam tulisan ini]. Hadith di bawah ini memberi kita tahu bahawa Rasulallah (s.a.w) diwahyukan Surah al-Kauthar ini bersekali dengan turunnya ayat 'Basmalah' al-Quran [iaitu, 'Bismillahir-rahmanir-rahim'] itu, kemudian diikuti dengan Surah al-Kauthar yg mengandungi tiga ayat.

Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a) berkata: ‘Pada suatu ketika antara kumpulan kami mengehendaki bertemu dengan Nabi (s.a.w) ketika itu Nabi (s.a.w) dalam keadaan mengantuk suatu rasa mengantuk yang amat sangat (yakni, kadangkala terjatuh atau terkulai kepalanya), kemudian diangkatnya kepalanya sambil tersenyum. ‘Maka bertanya aku (Anas) kepadanya: ‘Apakah yang (membuatkan) engkau wahai Rasulallah (s.a.w) tersenyum?’ Maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Telah diturunkan oleh Allah (a.w) atasku sebentar tadi satu surah (dan membacanya) [Nota: Lihat Surah al-Kauthar di dalam mana-mana al-Quran] [Maksud ayat: Dengan nama Allah (a.w) yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang [Kalimah 'Basmalah'] @ Sesungguhnya Kami (Allah (a.w)) memberikan kepada engkau (Wahai Muhammad (s.a.w)) telaga al-Kauthar [Ayat pertama]@ Maka bersolatlah engkau kepada Tuhan engkau dan (sembelihlah) qurban [Ayat kedua] @ Sesungguhnya orang yang benci (kepada) engkau itu (yakni, tidak mengikuti syariat yang engkau bawakan)) terputuslah (dari apa-apa hubungan dengan engkau) (yakni, ditolak amalannya)[Ayat ketiga]@’
‘Kemudian (berkata Anas (r.a)): 'Bersabda Nabi (s.a.w) (bertanya kepada para sahabat yang ada): ‘Apakah tahu engkau apa itu al-Kauthar?’ Maka berkata aku (kata Anas): ‘Allah (a.w) dan Rasulnya sahajalah yang tahu.’ Bersabda Nabi (s.a.w): ‘Maka sesungguhnya sungai (telaga) al-Kauthar itu menjanjikan padaku oleh Tuhan dalam Syurga, adapun gayungnya (atau pencedoknya) lebih banyak daripada hitungan bintang-bintang di langit. Akan datang kepadanya (yakni, ke telaga itu) umatku (untuk minum bagi menghapuskan kedahagaan yang amat sangat yang mereka alami semasa mereka berada (yakni, berkumpul) di padang Makhsyar), maka ditolak (oleh Allah (a.w), yakni malaikat yang menjaganya) hamba-hamba (yakni, manusia) darinya (dari diberi peluang untuk minum airnya). Maka bersabda aku (Nabi (s.a.w): ‘Ya Tuhanku (Allah (a.w))! Bukankah mereka (yang ditolak itu) dari umatku?’ Maka berfirman Allah (a.w): ‘Sesungguhnya engkau (Muhammad (s.a.w)) tidak tahu apa-apa yang diperbaharui (yakni, membuat pembaharuan oleh umatmu terhadap syariatmu atau menyeleweng mereka dari syariatmu yg murni, seperti berbuat bid’ah) oleh mereka (tentang syariat ugamamu, yakni Islam) setelah engkau tiada (yakni, sesudah wafat Rasulallah (s.a.w)).’ [Hadith sahih an-Nasa’i & juga Hadith Muslim]

Apabila kita teliti hadith di atas itu, Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita beberapa perkara, iaitu:

Pertama, Rasulallah (s.a.w) dikurniakan oleh Allah (a.w) telaga (kadang-kadang dirujuk sebagai sebatang sungai bernama) al-Kauthar di akhirat kelak;

Kedua, antara keistimewaan telaga al-Kauthar itu adalah ada pencedoknya untuk memudahkan sesiapa yang ingin mencedok dan meminum airnya, lebih banyak daripada bilangan bintang-bintang yang bertaburan dilangit;

Ketiga, orang 'Islam' menghampirinya untuk minum, segolongan diberi kebenaran atau laluan (oleh Allah (a.w) melalui tindak-tanduk malaikat yang menjaganya) kepada manusia yang berhimpun di padang makhsyar, untuk minum airnya. Maka sesiapa yang dapat minum airnya tidak akan haus mereka selama-lamanya sedangkan semua yang menunggu sangat kehausan semasa berhimpun di padang makhsyar itu menunggu Buku Catitan Amalan mereka. Sebaliknya, segolongan dihalangi atau tidak dibenarkan minum airnya;

 Keempat, hanya umat Muhammad (s.a.w), yakni umat Islam zaman Rasulallah (s.a.w) sehinggalah Qiamat dunia sahaja yang boleh mendapat kemudahan minum di telaga al-Kauthar tersebut; dan

Kelima, dan yang terpenting, adalah hanya umat Muhammad (s.a.w) yang mengikuti sunnahnya sahaja yang diberi laluan minum airnya, manakala yang Islam zamannya, dan yg Islam selepas kewafatan Nabi (s.a.w), yang tidak berpandukan sunnahnya, tidak akan diakui oleh Allah (a.w) sebagai umatnya (yakni, tidak diterima Islamnya) dan tidak diberi peluang minum airnya.
Saudara,
Yang wajib dan utama kita ambil perhatian dan fahami adalah: terdapat dua golongan umat Islam, iaitu, satu golongan yang diberi laluan atau kebenaran minum air telaga al-Kauthar itu, dan satu golongan, atau golongan selainnya, tidak diberikan laluan untuk minum air di telaga al-Kauthar. Ini disebutkan di dalam ayat ketiga. Ada umat Islam yang ditegah atau dilarang atau tidak diberi izin oleh Allah (a.w) untuk minum airnya. Mereka dihalau oleh para malaikat yang menjaganya! Siapa yang tidak diberi kebenaran? Disebutkan dalam Ayat 3 itu iaitu mereka yang 'benci' akan Rasulallah (s.a.w). Kita tahu yang bencikan Rasulallah (s.a.w) adalah orang kafir dan musyrik ataupun munafiq. Tetapi, tiga golongan ini tidak berhimpun di padang makhsyar, kerana mereka secara otomatis dihalau atau dibelenggu atau dirantai oleh malaikat, dan dicampakkan ke dalam neraka. Hanya orang yg akui dirinya 'Islam' sahaja yg berhak untuk dihisab dan diberikan Kitab Catatan Amalan masing-masing. Orang yang menerima Islam bersandarkan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah atau 'ahlus sunnah wal-jama'ah' sahaja yg diakui Islamnya! Orang Islam begini anuti Islam menepati as-Sunnah dan mereka dalah berjema'ah. Maka dgn itulah tergolong sebagai 'ahlus sunnah wal-jama'ah' itu. 
Saudara, malah disebutkan dalam al-Quran dan as-Sunnah bahawa seseorang yang mengakui dirinya Islam dan beriman itu sebenarnya tidak beriman sehinggalah dia mengasihi Rasulallah (s.a.w) melebihi kasih sayangnya kepada kedua ibu bapanya dan manusia selainnya. Jika kita terima Islam dan terima Rasulallah (s.a.w) manakah mungkin kita 'bencikan' Rasulallah (s.a.w)? Jika kita kasihi seseorang, mengikut tafsiran logik manusia, semua yang dipinta dan disuruh oleh orang yang disayangi itu kita akur dan terima dan lakukan. Jika begitu, mestinyalah kita kata kita kasihi Rasulallah (s.a.w), tetapi ada perkara yang kita tidak suka atau tidak akur atau tidak terima atau tidak lakukan! Justeru itulah, 'bencikan Rasulallah (s.a.w)' bermaksud, mengikut tafsir oleh ulama' muhaditihn mengenai ayat dan hadith ini, bahawa orang yang benci itu adalah mereka yang membuat perubahan kepada syariat ugama Islam yang dibawakan atau yang dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w) syariatnya. Yang dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w) adalah bentuk-bentuk amalan dan ibadah, cara dan kaedah diamalkan dan diibadahkan, termasuklah ketetapan mengenai amal makruf dan nahi mungkar, yakni amalan dan ibadah umum, sehingga ke perinciannya sekali, yakni rukun-rukunnya seumpama rukun solat. Dengan lain perkataan, segala sesuatu yang diperbaharui oleh manusia yang tiada dalam as-Sunnah atau yang tidak didemokan atau dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w). Mereka yang membuat, mengajar dan mengamalkan serta menyebarkan bentuk-bentuk ibadah dan amalan serta cara dan kaedah beramal atau beribadah yg tidak dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w) adalah terkeluar dari golongan umat Muhammad (s.a.w) itu! Pendeknya sesiapa yang beramal dengan perkara-perkara yang bersifat kurafat, tahyul, taklid dan bid'ah.
Mudah-mudahan Allah (a.w) selamatkan kita dan Allah (a.w) berikan kita hidayah Islam yang haq supaya kita tidaklah tersingkir dan tersisih atau terasing dari golongan mereka yang diberi kemudahan minum air telaga al-Kauthar ini di akhirat kelak. Amin

jazakallahu khairah.

No comments:

Post a Comment