Thursday, December 3, 2009

Wudu' mengikut as-Sunnah

Assalamualaikum,
Dalam post ini kita akan teliti ketetapan as-Sunnah tentang Wudu'. Bagaimana berwudu' dan wudu' yang sah, yakni menepati cara dan kaedah berwudu' yang dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w). Maka dengan itulah juga wajib kita mempelajari as-Sunnah untuk mengetahi bagaimana Rasulallah (s.a.w) lakukan sesuatu itu, termasuklah cara dan kaedah berwudu'. Yang utama kita ingatkan adalah, semua solat (fardu dan sunat) hanya boleh dikerjakan hanya dengan ada wudu'. Jika tidak sah wudu' maka tidak sahlah solat. Selain itu, semua amalan dan ibadah yang mensyaratkan ada wudu' tidak sah, jika tanpa wudu', seperti Tawaf tujuh kali mengelilingi Ka'abah dalam ibadah Haji dan Umrah.
Rasanya antara ajaran menyentuh ugama yang diajarkan kepada kita semasa kecil, setelah mencapai umur 7 tahun, adalah bagaimana berwudu'. Kerana umur 7 tahun adalah waktu mulanya seseorang anak itu sepatutnya mula belajar atau diajarkan bagaimana bersolat. Ketika umur anak itu 10 tahun, jika tidak bersolat, wajib di'pukul' (atau dirotan) jika dia tidak mahu bersolat.
Kita diajarkan oleh nenek moyang dan tok guru kita apabila hendak memulakan wudu' membaca seumpama 'Nawaitu wudu'i ...' atau 'Nawaitu raf'al hadathil asghari ...' dan seumapamnya. Yakni, kita diajar supaya melapazkan niat ketika hendak berwudu'. Kemudian kita diajarkan bahawa ketika menyapu kepala kita, satu anggota wadu', kita tidak perlu sapu kesemua bahagian kepala atau keseluruhan kepala, memadai beberapa bahagian kepala atau beberapa helai rambut. Soalnya: Betulkah itu yang disebutkan dalam as-Sunnah? Yakni, betulkah itu kaedah dan cara Rasulallah (s.a.w) demokan bagaimana berwudu'? Hendaklah memulakan proses berwudu' itu dengan membaca kalimah 'Bismillah' dahulu. Tidak ada nas atau dalil al-Quran ataupun as-Sunnah bahawa kita perlu menzahirkan niat.
Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a) berkata: ‘Mencari-cari segolongan para sahabat Nabi (s.a.w) akan air untuk berwudu’, maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Adakah beserta salah seorang daripada kamu air?’ (Setelah dibawakan air). Maka diletakkannya (yakni, dimasukkannya) tangan ke dalam air (yang diberikan kepadanya), dan bersabda dia: ‘Wudu’lah dengan (membaca) 'Bismillah'. Maka dilihat (oleh para sahabat) air keluar dari celah-celah jari tangannya sehingga berwudu’ di sisinya (yakni, dengan air tersebut) sampai kepada (sahabat) yang terakhir. Maka berkata Thabit (r.a): ‘Berkata aku kepada manusia (yakni, jemaah sahabat yang ada ketika itu): ‘Berapa orangkah kamu lihat (berwudu’)?’ Berkata sahabat: ‘Kira-kira tujuh puluh (70) orang.’ [Hadith sahih an-Nasa’i]
Hadith di atas itu memberitahu kita bahawa wudu' itu hendaklah dengan memulakannya dengan menyebut 'Bismillah'. Tanpa bacaan itu wudu' tidak sah. Hadith tersebut juga menunjukkan satu daripada mukjizat yang Allah (a.w) kurniakan kepada Rasulallah (s.a.w), iaitu dengan air sedikit membolehkan air mengalir dari celah-celah jari Nabi (s.a.w) sehingga membolehkan seramai 70 orang sahabat, mengikut riwayat ini, berwudu'. Kemudian, hadith berikut pula menunjukkan proses yang sempurna, sebagaimana diriwayatkan oleh Imam as-Syafie.
Diriwayatkan hadith oleh Muhammad ibnu Idris as-Shafie (r.k) (iaitu Imam Shafie) berkata telah memberitahu kepadanya hadith ini daripada Malik bin Anas (r.a), yang mendapat hadith daripada ‘Amru bin Yahya (r.a), yang mendapat hadith daripada bapanya, bahawasanya telah berkata dia (bapa ‘Amru bin Yahya) kepada Abdullah bin Zaid (r.a), iaitu datuk kepada ‘Amru bin Yahya, bertanya: ‘Adakah dapat bahawa engkau menunjukkan kepadaku bagaimana ada Rasulallah (s.a.w) berwudu’?’ Maka berkata Abdullah bin Zaid (r.a): ‘Ya.’ Maka (kata ‘Amru bin Yahya) dimintanya (yakni, datuknya) air untuk berwudu’ supaya ditunjukkannya. Maka (datuknya) (menunjukkan cara dan kaedahnya) menuang air atas kedua tangannya, maka membasuh kedua tangannya dua-dua kali, kemudian berkumur-kumur serta memasukkan air ke hidungnya, kemudian menyemburkan (air kumur-kumur serta dalam hidungnya) tiga kali, kemudian membasuh mukanya tiga kali, kemudian membasuh kedua-dua tangannya dua-dua kali sehingga ke dua-dua sikunya. Kemudian mengusap kepalanya dengan memulakan dengan menarik kedua tangannya (yang dibasahi air wudu') dari bahagian hadapan (di bahagian atas dahinya) ke belakang kepalanya hingga ke bahagian tengkoknya, kemudian mengembalikan kedua tangannya (dari tengkoknya) hingga kembali kepada tempat yang mula-mula diletakkan kedua-dua tangannya tadi (iaitu bahagian atas dahinya). Kemudian membasuh dia akan kedua kakinya sampai kedua-dua buku lalinya.’ [Hadith sahih Ibnu Majah]
Cuba saudara perhatikan bahawa Imam as-Syafie memberitahu kita dalam hadith di atas itu bahawa anggota wudu' kepala hanya disapu atau diusap dengan tangan yang dibasahi dengan air wudu'. Kedua, hendaklah diusap atau disapu seluruh bahagian kepala, bukan sebahagian sahaja atau bukan beberapa helai rambut sahaja. Jelaslah, perlakuan kita sekarang sebagaimana diajarkan oleh para ulama' dan ilmuwan yang kononnya mengikut ajaran fahaman Mazhab as-Syafie itu bertentangan atau berlainan dengan apa yang diberitahu oleh Imam as-Syafie. Anggota wudu' kepala diusap dengan kedua-dua belah tangan yang dibasahi dengan air wudu' mula dari atas dahi, dilalukan ke belakang sehingga ke paras tengkuk, kemudian dikembalikan kedua tangan ke depan sehingga bahagian dahi pula. Dengan lain perkataan, hendaklah disapu dengan air seluruh bahagian kepala (atau rambut).
Hadith itu menyebutkan anggota-anggota wudu' seperti muka, kedua tangan dibasuh dua-dua kali. Kedua-dua kaki pula dibasuh sampai ke buku lali, sekali. Yang penting kita ambil ingatan adalah, wudu' hanya sah jika kita mulakan dengan menyebut 'Bismillah' dan kepala disapu dengan air wudu' seluruhnya. Basuhan angggota wudu' itu boleh dibuat sekali atau dua kali atau tiga kali. hanya kepala dan kaki diusap/dibasuh sekali sahaja sudah memadai.
Kita akan teliti lagi dalam post akan datang proses dan kaedah wudu' ini secara tererinci dengan sejelas-jelasnya, insya Allah.

Jazakallahu khairah
[Bersambung ...]

No comments:

Post a Comment