Tuesday, December 8, 2009

Kekayaan dan kewajipan menginfaq

Assalamualaikum,
Adakah saudara terbaca berita tentang kekayaan orang Melayu dalam akhbar baru-baru ini? Mungkin ada dan mungkin tidak.
Kita sering membaca lapuran Phorbes dan sebagainya tentang orang-orang yang terkaya di dunia. Contoh Bill Gates (pemilik Microsofts). Di Malaysia, ramai bukan Melayu yang kaya, spt TS Teh pemilik terbesar kepentingan dalam Public Bank, TS Ananda Khrisnan, pemilik Maxis, Astro, Measat dan sebagainya; TS Goh pemilik Genting Highlands dll. Orang Melayu yang kaya disebutkan antaranya Tun Daim, Tan Sri Syad Mohktar al-Bukhari, Tan Sri Abu Sahib pemilik Maju Holding dan beberapa yg lain.
Dalam New Straits Times terbitan Jum'at 4 Disember 2009, penulis terbaca cerita perbalahan antara adik simati dengan anak simati yang dikatakan meninggalkan harta dan wang ringgit dalam simpanan bernilai RM 47.0 juta! Itu betul-betul kaya kerana hartanah yang semakin meningkat nilainya dan wang simpanan dalam simpanan yg juga mendatangkan pulangan yang tinggi kerana disimpan dalam PNB dan Tabung Haji, yang risikonya amat rendah. Ramai orang kaya tapi banyak pula hutang - sama ada hutang syarikat miliknya atau hutang pribadi dan sebagainya.
Sikaya itu adalah Allahyarham Tan Sri Jaffar Abdul, yg sebelum bersara adalah Timbalan IGP, meninggal Sept. 1. Yang berbalah di mahkamah nanti adalah adiknya, Ahmad (70 tahun) dan anaknya, Jeffri (39 tahun).
Allahyarham benar-benar kaya kerana dilapurkan dalam akhbar tersebut memiliki 36 hartanah di Johor dan Melaka bernilai RM 9.7 juta dan 'harta cair' bernilai RM 37.3 juta dalam Tabung Haji dan PNB dalam ASM, ASW2020, BSN, Bank Rakyat dan beberapa bank lagi. Dalam Tabung Haji katanya RM 3.8 juta, ASW RM 6.5 juta, ASDidik RM 2.0 juta dan RM 3.0 juta dalam FD dengan Bank Rakyat. Pendeknya lapuran itu menunjukkan simpanan dalam bentuk 'tunai' (atau boleh ditunaikan dengan mudah) sejumlah RM 37.3 juta!
Yang sedihnya, pada penulis, beliau begitu kaya tetapi tak sempat menggunakan kekayaannya semasa hidupnya dan mungkin tidak berkesempatan memanfaatkan kekayaannya untuk kesejahtraan akhiratnya, kerana begitu banyak sumber kekayaan miliknya yang sebahagian, katalah 10% (kira-kira minimum RM 4.7 juta) boleh diinfaqkannya untuk membela ugama Allah (a.w), yakni fi sabilillah yang merupakan pelaburan akhirat baginya, yang mendatangkan dividen akhirat yg tidak putus-putus pula sehingga kiamat dunia, apabila memanfaatkan Islam dan umat Islam. Mungkin semasa hidupnya dia telah berbuat sedemikian, wallahu 'alam. Mungkin beliau telah menggunakan sebahagian untuk kesenangan dirinya dan keluarganya. Kini telah berlebih, tak sempat dibelajakan. Mungkin sengaja tersimpan untuk dimanfaatkan oleh anak-anaknya yang tinggal, selepas kematiannya. Tidak pula kita diberitahu.
Apakah pelajaran yang kita boleh dapat dari peristiwa ini?
Kita umat Islam yang berharta dan kaya diperingatkan oleh Allah (a.w) dalam al-Quran dan oleh Rasulallah (s.a.w) dalam as-Sunnah bahawa ketika dihisab ibadah dan amalan anak Adam di akhirat kelak kita akan disoal banyak perkara. Antaranya, berapa banyakkah kekayaan kita, untuk apakah atau bagaimanakah kita belanjakannya, dan dari manakah dan bagaimanakah kita memperolehinya. Adakah kita telah menyahut seruan Allah (a.w) untuk membela ugamaNya? Itupun apabila harta itu di bawah kawalan kita semasa hidup kita. Itupun kalaulah kita berilmu, maka kita tahu. Jika kita jahil, mungkin diberitahu. Jika diberitahu, dan kita seorang yang Islam yang beriman, betul-betul yakin pertemuan dengan Allah (a.w), maka kita boleh melakukan sesuatu yang tidak memudaratkan kita kelak di akhirat.
Saudara, kita diperingatkan jangan bakhil. Allah (a.w) berfirman kebakhilan itu tidak menguntungkan kita, malah menyusahkan akhirat keta nanti [Ayat 37, Surah an-Nisa']. 
Malangnya, apabila kita sudah mati, kita tidak dapat mengawal harta kita lagi, dikawal oleh orang lain. Tetapi, kita masih bertanggungjawab terhadapnya. Maka jika diuruskan secara batil oleh yg menerimanya pula, maka buruklah padahnya pada kita. As-Sunnah menyebutkan juga bahawa orang yang kaya akan lambat mendapat keizinan Allah (a.w) untuk masuk syurga, jikalah setelah disoal, kita berjaya! Orang lain yang faqir dan miskin, segera mendapat syurga. Apabila kita kaya, soalannya panjang dan berkait-kait dengan pelbagai perkara pula. Maka hisaban yang terperinci dikenakan kepada kita. Kita mungkin lepas sebahagian hisaban, tetapi mungkin tersangkut sebahagian lain pula!
Bagi saudara yang faham serba sedikit tentang Islam dan syariatnya mungkin tahu apabila seseorang ilmuwan dan ulama' bercakap tentang zakat. Tetapi, yang lebih utama adalah tanggungjawab menginfaq. Infaq adalah suatu tajuk yg jarang sekali disebut atau diolah oleh para ulama' di Malaysia. Zakat selalu disebutkan. Yang lebih utama bagi seseorang yang kaya itu adalah infaq. Infaq adalah membelajakan sebahagian daripada rezki (i.e. harta dan kekayaan) yg ada pada kita demi membela ugama Allah (a.w) dan membantu umat Islam yg lain, terutama yg memerlukan bantuan, seperti ibu tunggal yang berat menanggung anak-anak yang ramai, anak yatim, fakir dan miskin, orang yang dalam keberatan menanggung hutang yg bukan kerana kesilapannya, atau dibelajakan untuk membangunkan prasarana bagi tujuan mengimarahkan Islam dan mengilmukan umat Islam dan sebagainya.
Kita akan teliti kemudian nanti pentingnya infaq ini dalam Islam. Infaq ini awal-awal lagi disebutkan di dalam al-Quran, i.e. Ayat 3, Surah al-Baqarah: '(orang-orang yg bertaqwa itu) Adalah orang-orang yang ... daripada apa-apa yang direzkikan atas mereka (oleh Allah (a.w)) diinfaqkannya.' [Ayat 3, Surah al-Baqarah]
Kita juga akan teliti infaq untuk tujuan apakah yg terbaik demi kesejahteraan akhirat kita, insya Allah, dalam post akan datang.
Mudah-mudahan jika kita diberi anugerah harta dan kekayaan, diberi kelebihan melebihi keperluan kita, kita tidaklah lupa menginfaq sebahagian demi keakuran kita terhadap perintah Allah (a.w) dan suruhan Rasulallah (s.a.w). Dan, lebih penting, demi kebajikan akhirat kita. Amin

Jazakallahu khairah

1 comment:

  1. Di satu seminar agama yang saya hadiri, terdapat seorang dari penal sesi ( seorang professor ) membuat kenyataan yang beliau terpaksa "tukar mazhab" untuk mengeluarkan infaq kerana tak ada hukum jelas dalam mazhab Al-Shafei. Bukankah itu mengelirukan.

    Apa kata orang yang bermazhab Al-Shafei? Kan jadi satu masaalah tu. Olih itu rujuklah balik kepada hadith pesanan Nabi SAW " Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, Quran & Sunnahku, jika kamu rujuk kepada dua perkara ini, akan selamat kamu selama2nya, dunia dan akhirat".

    ReplyDelete