Friday, December 4, 2009

Puasa (Sunat) Asyura

Assalamualaikum,
Alhamdulillah, kita baru saja mengerjakan Puasa Arafah, suatu puasa sunat yang banyak ganjaran pahalanya, iaitu diampunkan Allah (a.w) dosa-dosa kita (kecuali dosa-dosa besar) setahun sebelumnya dan setahun yang akan datang, yakni tahun kemudiannya. Alhamdulillah, kita juga telah dapat menunaikan Solat Aidul Adha pula. Dan, bagi mereka yang 'mampu', kita juga digalakkan mengerjakan ibadah Qurban - dengan menyembelih haiwan kurban, seperti unta, lembu, kerbau ataupun kambing, pada pagi Aidil Adha atau dalam hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah).
Tidak lama lagi, bagi mereka yang inginkan pahala besar selanjutnya sebagai bekalan akhirat, kita berpeluang sekali lagi meraih pahala besar pula dengan mengerjakan Puasa (sunat) Asyura, sehari atau dua hari, iaitu pada 9 dan 10 Muharram. Tahun ini insya Allah, tanggal 9 dan 10 Muharram itu dijangka jatuh pada 26 (Sabtu) dan 27 Disember 2009 (Ahad). Kita digalakkan mengerjakan Puasa (sunat) Asyura ini, sebagai menampung lompang-lompang puasa fardu (Ramadhan) yang kita telah abaikan atau tertinggal di masa-masa lalu. Cuba kita teliti as-Sunnah mengenainya. Kita teliti empat potongan hadith mengenai ibadah ini, seperti berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Qatadah (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Puasa hari ‘Asyura bahawasanya aku kira atas Allah (a.w) bahawa mengkifarahkan (dosa-dosa) tahun dahulunya (yakni, puasa Asyura itu menghapuskan dosa tahun dahulu)’ [Hadith sahih at-Termidzi]
Hadith ini memberitahu kita bahawa Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita bahawa Puasa Asyura itu mengkifarahkan atau menghapuskan dosa-dosa kecil (selain, dosa-dosa besar) yang terkena kepada kita sepanjang tahun yang lalu.
Diriwayatkan hadith daripada Aisyah (r.ah) bekata: ‘Adalah ‘Asyura itu hari yang puasa akan dia orang Quraisy di dalam zaman jahiliah, dan adalah Rasulallah (s.a.w) berpuasa dia akandia, maka tatkala datang dia ke Madinah berpuasa dia akandia dan menyuruh orang dengan puasa itu, maka tatkala difardukan puasa Ramadhan adalah Ramadhan itu puasa wajib (fardu), dan ditinggalkannya (puasa) ‘Asyura. Maka barangsiapa berkehendakan (puasa itu) puasalah akandia, dan barangsiapa meninggalkannya tinggalkanlah.’ [Hadith sahih at-Termidzi]
Aisyah (r.ah) memberitahu dalam hadith di atas itu bahawa orang Quraisy dalam zaman sebelum datangnya Islam (yakni, zaman jahiliah) mengerjakan puasa tersebut. Rasulallah (s.a.w), sebelum diangkat menjadi Rasul, juga mengerjakannya. Tradisi mengerjakan Puasa Asyura ini dikerjakan sebagai puasa sunat sebelum syariat puasa wajib (fardu) dimaktubkan Allah (a.w), yakni puasa dalam bulan Ramadhan. Namun, Rasulallah (s.a.w) tidak melarang umatnya teruskan tradisi mengerjakan Puasa Asyura itu selepas Allah (a.w) wajibkan puasa fardu bulan Ramadhan itu.
Diriwayatkan hadith daripada Hakam bin ‘A’raj (r.a) berkata: ‘Sampai aku kepada Ibni Abbas (r.a), dan dia menyelindangkan selindangnya di dalam (yakni, ketika berada di telaga) zamzam. Maka berkata aku: ‘Khabarkanlah kepadaku daripada hari ‘Asyura. Apakah dia puasa aku akandia?’ Berkata Ibni Abbas (r.a): ‘Ketika engkau nampak satu haribulan Muharram maka hitunglah, kemudian jadilah kamu daripada yang kesembilan (harinya) puasalah.’ Berkata Hakam: ‘Berkata aku: ‘Adakah begini adanya berpuasa Muhammad (s.a.w)?’ Berkata (Ibni Abbas): ‘Ya.’ [Hadith at-Termidzi]
Walaupun dalam hadith sebelum hadith di atas itu, Aisyah (r.ah) menyebutkan bahawa Rasulallah (s.a.w), setelah menerima perintah Allah (a.w) (yakni, disyariatkan) mengerjakan puasa fardu Ramadhan, meninggalkan Puasa Asyura itu, di dalam hadith di atas itu, Ibnu Abbas (r.a) mengesahkan bahawa Rasulallah (s.a.w) mengerjakannya pada 9 haribulan Muharram. [Nota: Rasulallah (s.a.w) mendemokan bahawa Puasa Asyura ini adalah ibadah sunat, maka dengan itulah ada ketikanya beliau tidak mengerjakannya.]
Diriwayatkan hadith daripada Ibni Abbas (r.a) berkata: ‘Telah diperintahkan oleh Rasulallah (s.a.w) dengan puasa ‘Asyura pada hari yang kesepuluh (Muharram).’ [Hadith hasan sahih at-Termidzi]
Di dalam hadith di atas pula, Ibnu Abbas (r.a) memberitahu bahawa Rasulallah (s.a.w) menyuruh umatnya mengerjakan Puasa Asyura itu pada 10 Muharram juga. Justeru itu, Puasa Asyura itu boleh dikerjakan sehari atau dua hari. Ganjaran pahalanya? Disebutkan di dalam hadith yang awal tadi bahawa Allah (a.w) mengkifarahkan dosa-dosa (selain dosa-dosa besar) yang kita lakukan tahun lalu.
Oleh yang demikian, bagi kita yang pastinya banyak melakukan pelbagai dosa-dosa kecil, eloklah kita kerjakan sehari atau dua hari. Sekurang-kurang Kitab Catatan Amalan kita yang tertulis dosa-dosa kecil yang berlaku sepanjang tahun lalu dipadamkan oleh Allah (a.w). Di dalam sepotong hadith, Rasulallah (s.a.w) menyebutkan orang yang terbaik akhlak dan istiqamah amalannya pasti melakukan sekurang-kurangnya 2,500 dosa-dosa kecil setiap hari! Fikirkanlah, kita yang tidak begitu alim dan istiqamah menjaga diri dari melakukan dosa pastilah lebih banyak gandaan dosanya pula! Alangkah baiknya, jika kita mengerjakan dua hari Puasa Asyura itu, demi kebajikan akhirat kita?

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment