Tuesday, December 1, 2009

Akibat beramal dengan sesuatu yang 'bid'ah'

Assalamualaikum,
Rasulallah (s.a.w) melarang umatnya berbuat, menyebar dan mengajarkan 'bid'ah'. 'Bid'ah' adalah sesuatu bentuk 'amalan' atau 'ibadah' atau sesuatu cara atau kaedah beribadah atau mengerjakan amalan, yang tidak dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w). Yakni sesuatu yang tiada dalam as-Sunnah. Rasulallah (s.a.w) memberi kita tahu, jika kita mengamalkan sesuatu amalan atau mengerjakan sesuatu ibadah yang tidak dibawakan oleh beliau atau tidak diajarkan atau dicontohkan oleh beliau, maka amalan atau ibadah tersebut adalah batil. Tidak diterima Allah (a.w). Jadi sia-sia sajalah kita kerjakan!
Lebih buruk lagi padahnya disebutkan di dalam hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abdillah bin ad-Dalamii hadith daripada Khuzaifah bin Abu Yamani (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Tidak diterima Allah (a.w) ahli-ahli bid’ah (yang mencipta, yang mengajar, yang menganjurkan dan yang mengamalkan bid’ah) amalan puasanya, tidak diterima amalan solatnya, tidak diterima amalan sedekahnya, tidak diterima amalan haji dan tidak (juga) amalan umrahnya, dan tidak diterima amalan jihadnya, dan tidak diterima amalan-amalan fardu dan tidak (juga) amalan-amalan sunatnya (yang lain). Maka keluar dia dari Islam seperti keluarnya sehelai rambut (yang ditarik) dari adunan (tepong) roti.’ [Hadith sahih Ibnu Majah]
Sekiranya sesuatu amalan atau ibadah kita itu tercemar atau dicemari oleh bid'ah atau langsung bersifat suatu bid'ah, maka bukan sahaja amalan atau ibadah tersebut ditolak atau tidak diterima Allah (a.w), malah lebih besar padahnya! Semua amalan dan ibadah kita yang bukan tercemar oleh bid'ah atau bukan bersifat bid'ah tidak diterima Allah (a.w)! Seolah-olah kita melabur, tidak mendapat sebarang untung atau dividen, malah modal kita lebur pula. Sudahlah begitu, kita dipenjara pula seumur hidup kerana melakukannya.
Berpenat kita mencari pahala, tetapi dapat kosong semata-mata. Itu taklah seburuk apa yang disebutkan di akhir hadith tersebut. Hadith tersebut menyatakan bahawa kita, tanpa kita sedari, terkeluar dari Islam, yakni menjadi kafir. Rasulallah (s.a.w) memberi perumpamaan seumpama sehelai rambut yang termasuk dalam ulian adunan tepung roti. Jika ditarik rambut tersebut keluar dari adunan tepung tersebut, tidak ada bekas atau kesan tepung pada rambut. Rambut itu bersih tanpa sebarang kesan tepung padanya. Demikianlah dengan amalan dan ibadah yang tercemar oleh bid'ah, tidak mendapat ganjaran kebaikan apa-apapun. Malah, tanpa kita sedari, kita terkeluar dari Islam! waliya zubillah.
Sehubungan itulah Allah (a.w) peringatkan kita dalam firmanNya: 'Wa-la taqfu ma laisa bihi ilmun' (yg bermaksud: janganlah kamu kerjakan atau buat sesuatu amalan atau ibadah tanpa kamu tahu ilmu mengenai pa yg dikerjakan (yakni, amalan atau ibadah) tersebut) [Ayat 36, Surah al-Isra'], dan, Rasulallah (s.a.w) nasihatkan umatnya: 'Al-ilmu qabla 'amal' (maksud: Beramallah hanya dengan sandaran ilmu).
Dalam hubungan ini juga, ramai antara kita yang melihat atau ketemui orang-orang Melayu yang rajin beramal dan beribadah dengan harapan untuk mengimbangi dosa-dosa yang mereka lakukan ketika muda kerana alpa dalam bersolat dan berpusa, sebagai contoh. Mereka mengerjakan puasa tiga bulan berturut-turut - mulai bulan Rejab, terus ke Sya'ban dan akhirnya puasa fardu ramadhan - kerana mencari pahala dan kerahmatan Allah (a.w). Apabila kita semak as-Sunnah, kita dapati Rasulallah (s.a.w) tidak pernah amalkan dan tidak pula ajarkan atau suruh umatnya supaya berpuasa sedemikian. Adakah amalan berpuasa tiga bulan berturut-turut itu suatu bid'ah? Saudara fikirlah sendiri berpandukan definasi 'bid'ah' itu. Ditakuti amalan itu termasuk dalam amalan bid'ah, jika dinilai dalam konteks ketetapan al-Quran dan as-Sunnah.
Sebenarnya, menyentuh tentang puasa sunat, tidak susah untuk memaksimumkan pahala dalam Islam. Ada puasa yang paling disukai oleh Allah (a.w) hambaNya yang Islam dan beriman kerjakan, iaitu puasa Nabi Daud (a.s). Nabi Daud (a.s) mengerjakan puasa selang sehari, yakni sehari puasa dan sehari tidak, sepanjang hidupnya. Bagi mereka yang mampu dan memiliki katahanan serta kekentalan iman yang kuat, eloklah ikuti dan amalkan puasa Nabi Daud (a.s) itu.

Jazakallahu khairah.

No comments:

Post a Comment