Tuesday, December 1, 2009

Menghidupkan as-Sunnah & Mengajar Bid'ah

Assalamualaikum,

Segala sesuatu yang kita pelajari dalam Islam memberikan ganjaran pahala yang besar. Mempelajari al-hadith, walaupun sedikit, ganjaran pahalanya begitu banyak. Mengapa? Kerana, tanpa ilmu as-Sunnah kita tidak boleh menjdi umat Islam yang mengabdikan diri kita sejajar dengan tuntutan Allah (a.w). Allah (a.w) beritahu kita bahawa Rasulallah (s.a.w) iti 'uswatun hasanah' - model orang iman terbaik untuk kita jadikan ikutan. Maka dengan ketiadaan Rasulallah (s.a.w), as-Sunnah yang diwariskannya pada kita melalui hadith, sahajalah kita dapat panduan. Mempelajari as-Sunnah menghilangkan kejahilan kita dan memberikan cahaya Islam dan iman yang haq, kerana kita dapat mencontohi Rasulallah (s.a.w) walaupun beliau telah meninggalkan kita lebih dari 1,430 tahun.
Bagi kita yang inginkan ganjaran pahala sebanyak mungkin sebagai bekalan kehidupan di akhirat, hendaklah kita mempelajari as-Sunnah. Dengan ilmu as-Sunnah kita tahu betapa banyak dan berbagainya ganjaran pahala yang kita perolehi. Kita seumpama melabur untuk mendapat dividennya di akhirat. Tambahan pula, jika kita sebarkan secebis ilmu as-Sunnah yang kita tahu dan dipelajari serta diikuti dan diamalkan oleh orang lain, kita juga menerima ganjaran pahala. Semakin ramai yang memanfaatkan secebis ilmu yang kita sebarkan dan kembangkan semakin banyaklah dividen akhirat yang kita terima. Kiriman pahala itu seumpama kita menjalankan suatu usaha 'direct selling' sesiapa yang menjadi ahli di bawah kita mengirimkan komisyen. Begitulah dengan ilmu. 'Komisyen' ilmu adalah 'dividen' pahala akhirat untuk kita yang tidak akan habis-habis sampai kiamat dunia, asalkan ilmu tersebut menjadi panduan manusia sampai akhir zaman! Adakah suatu pelaburan lain yang lebih baik? Kita tengok hadith ini:
Menceritakan hadith daripada Kathir ibn Abdullah (r.a), hadith daripada bapanya, hadith daripada datuknya berkata: ‘Aku mendengar Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Barangsiapa menghidupkan sunnah dari sunnahku (yang) sungguh-sungguh (telah) dimatikan (yakni, dilupakan) sesudahku (yakni, setelah ketiadaanku), maka bahawasanya baginya pahala seperti pahala barangsiapa yang beramal dengannya dari kalangan manusia, tidak dikurangi (atau mengurangi) dari pahala manusia yang beramal dengannya sedikitpun. Dan barangsiapa membuat dan mengajarkan bid’ah tidak redha atasnya Allah (a.w) dan RasulNya, maka sesungguhnya diberatkan (atau dipertanggungkan) atasnya dosa seumpama dosa barangsiapa yang beramal dengannya dari kalangan manusia, tidak mengurangi (atau dikurangi) dosa manusia yang mengamalkannya sedikitpun.’ [Hadith sahih Ibnu Majah]
Ada dua situasi kontra dalam hadith di atas itu: satu, kebaikan, dan satu lagi, keburukan.
Jika kita ajarkan suatu ilmu as-Sunnah yang kebetulan telah diketepikan oleh para ulama' atau ilmuwan Islam, kerana sesuatu sebab, kemudian kita pelajarinya dan kita hidupkan dengan mengajarkan atau memberitahu saudara sesama Islam lain, dan diamalkan pula oleh mereka, maka orang tersebut mendapat pahala, dan kita pula dikirimkan olehnya pahala, tanpa sedikitpun menjejaskan pahala yang diterimanya kerana beramal dengan ilmu yang kita ajarkan. Kalau dia pula mengajarkan orang lain, dan orang lain itu mengajarkan pula orang lain, dan seterusnya 'ad infinitum', yang mengajar mendapat kiriman pahala, kitapun dapat kiriman pahala, bayangkanlah kiriman pahala kepada kita yang bertambah secara 'exponential' (mengambil konsep ilmu hisab/statistics)! Apakah saudara tak mau?
Sebaliknya, kalaulah kita mendapat suatu bid'ah, kemudian kita ajarkan orang lain atau kita kembangkan, dan orang yang kita ajarkan atau beritahu kembangkan pula, dan seterusnya, kita berdosa kerana mengerjakan yang batil, orang yang kita ajarkan itu mendapat dosa bila diamalkannya dan kerana mengamalkannya, dia mengirim dosa pula kepada kita, dan begitulah seterusnya 'ad infinitum'! Alangkah malangnya kita kalaulah kita menganjurkan sesuatu yang bersifat bid'ah? Tidak berbaloi. Betompok-tompok dosa yang kita terima, walaupun kita lama sudah tiada di dunia!
Oleh itu, saudara pilihlah sendiri. Hendakkan pelaburan akhirat yang menjamin kiriman pahala yang berterusan sehingga kiamat dunia, atau, kita mengundang kiriman dosa sampai kiamat?
Berhati-hatilah menyampaikan ilmu. Janganlah sampaikan ilmu yang batil. JIka kita kurang ilmu, galakkan orang lain sampaikan ilmu yang haq, sekurang-kurangnya kita dapat tempias pahalanya.
Mudah-mudahan, kita diberi kesempatan oleh Allah (a.w) membantu diri kita sambil membantu saudara Islam yang lain. Amin

Jazakallahu khairah.

No comments:

Post a Comment