Assalamualaikum,
Kita telah meneliti sepotong hadith riwayat Ibnu Majah mengenai tajuk di atas. Cuba kita tengok pula sepotong hadith lain yang sama mesejnya, yang diriwayatkan oleh at-Termidzi pula:
Diriwayatkan hadith daripada ‘Amru bin ‘Auf al-Muzanni (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Nabi (s.a.w) bersabda kepada Bilal bin Harith (r.a), sabdanya: ‘Ketahuilah kamu!’ Maka berkata Bilal: ‘Apa yang hamba ketahui wahai Rasulallah (s.a.w)?’ Bersabda Nabi (s.a.w) (mengulangi sabdanya): ‘Ketahuilah hai Bilal!’ Berkata Bilal (bertanya semula): ‘Apa yang hamba ketahui wahai Rasulallah (s.a.w)?’ Bersabda Nabi (s.a.w): ‘Bahawasanya barangsiapa menghidupkan satu jalan (as-sunnah) dari jalanku (as-sunnahku) (yang) sesungguhnya telah dimatikan dia (yakni, tidak lagi menjadi panduan umat Islam ) kemudian daripadaku (yakni, tidak lagi menjadi amalan umat Islam selepas wafatnya Rasulallah (s.a.w)), maka bahawasanya baginya daripada pahala seumpama orang yang mengamalkannya dengannya dengan tidak dikurangi daripada pahala-pahalanya (orang yang mengamalkan) sesuatu. Maka barangsiapa berbuat satu bid’ah tiada memberi redha Allah (a.w) dan RasulNya; (dan) adalah atas mereka daripada segala dosa orang yang ber’amal dengannya (yakni, bid’ah tersebut), tiada kurang (dosa) demikian itu daripada dosa-dosa mereka itu sesuatupun (yakni, dosa mereka yang mengamalkannya).’ [Hadith sahih at-Termidzi]
Hadith ini memberikan dua ketetapan yang kontra: satu bahagian menyebutkan sesiapa yang menghidupkan (yakni, mengajarkan, mengembangkan) satu ketetapan atau panduan as-Sunnah, maka dia mendapat pahala dan orang yang diajarkannya mendapat pahala serta mengirimkan pahala pula kepadanya. Jika yang diajarkannya mengajarkannya pula orang lain,orang itu mendapat pahala, dan mengirimkan pahala kepadanya dan kepada orang yang mengajarkannya terdahulu, tanpa sedikitpun menjejaskan pahala orang terebut yang menerimanya dan mengamalkannya atau mengembangkannya, dan demikianlah seterusnya 'ad infinitum'. Bahagian kedua pula menyebutkan sesiapa yang mengajarkan suatu yang batil, seumpama bid'ah, kepada orang lain, orang yang diajarnya mendapat dosa dan mengirimkan pula dosa kepada orang yang mengajar atau menyebarkannya, tanpa mengurangkan dosa orang yang mengamalkannya, dan yang menyebarkannya, dan demikianlah seterusnya 'ad infinitum', jikalah pula orang yang diajarkan oleh anak muridnya, mengajar pula orang lain, dan seterusnya bertali-talilah dosa yang diterimanya sampai kiamat dunia!
Oleh itu, wajarlah kita berhati-hati dalam perkara ini. Maka dengan itulah kita wajib berilmu sebelum berbuat sesuatu atau berkata sesuatu supaya tidaklah kita menyemarakkan yang batil yang menyebabkan kita menerima kiriman dosa bersambungan tanpa putus, sehinggalah hari kiamat, walaupun kita sudah lama meninggal dunia! Dengan ilmu kita tahu yang haq dan yang batil. Maka kita akan tetap berwaspada.
Mudah-mudahan setelah faham akibat perlakuan kita itu, jika kita terlibat dalam menyebarkan yang batil (bid'ah) bertaubatlah. Mintalah ampun pada Allah (a.w) supaya dosa-dosa kita diampunNya. Dan, mintalah perlindungan padaNya agar kita tidak terjebak dengan kelakuan batil yang disebutkan dalam hadith tersebut.
Wajarlah kita waspada dan ingat sesuatu yang telah terhebah, yakni diajarkan kepada orang lain, tidak mudah dihapuskan kesilapan atau keterlanjuran kita itu. Kerana pastilah ramai orang yang mengikutinya dan beramal dengan yang kita ajarkan walaupun batil, kerana kemungkinan besar yang menerima ajaran itu jahil pula!
Mudah-mudahan Allah (a.w) memberi kita petunjuk dan melindungi kita dari sifat mudah menerima ajakan orang tanpa ilmu. Maka dengan itulah Rasulallah (s.a.w) berpesan: 'Al-ilmu qabla amal' (maksud: berilmulah dahulu baru beramal). Amin
Jazakallahu khairah
No comments:
Post a Comment