Assalamualaikum,
Kita sambung sedikit lagi komen kita tentang tajuk di atas itu. Kali ini kita lihat isu sama ada pengikut mazhab as-Syafie sebenarnya benar-benar faham tentang ajaran Imam as-Syafie atau tidak. Atau, adakah pandangan mereka tentang beberapa perkara itu adalah pandangan tradisi - warisan turun temurun tanpa landasan ilmu?
Ketetapan Imam as-Syafie dan Amalan Pengikut Mazhab
Tidak ramai umat Islam, termasuk para ulama’ dan para ilmuwan Islam di Malaysia ini benar-benar mengkaji ajaran sebenar Imam as-Syafie. Imam as-Syafie adalah salah seorang daripada seramai 49 ulama’ muhadithin (yakni, pengumpul hadith). Sejajar dengan apa yang kita fahami dengan sifat-sifat ulama’ muktabar, yang faqih tentang as-Sunnah, dan tinggi ketakwaannya, sudah pastilah dia tidak mengajar sesuatu yang berbeza atau bertentangan dengan ketetapan as-Sunnah. As-Syafie, sebagaimana imam Ahmad ibnu Hanbal, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, yang kesemuanya dikatakan sebagai pengasas fahaman mazhab, pastilah lebih berwaspada supaya tidak mengajar atau menyuruh sesuatu yang berlainan daripada ketetapan al-Quran dan as-Sunnah.
Dalam pada itu, bolehkah kita rumuskan bahawa para ulama’ atau ilmuwan Islam arus perdana di Malaysia khatam dan faqih dengan kitab-kitab karangan Imam as-Syafie, terutama kitab utama beliau, ‘al-Umm’? Ajaran Imam as-Syafie terkandung dalam kitab-kitab beliau, terutama ‘al-Umm’. Bagi mereka yang telah meneliti kitab-kitab as-Syafie pasti mereka boleh menilai bahawa ajaran beliau tidak bercanggah dengan as-Sunnah dan al-Quran. Mungkin ada pandangan beliau yang mungkin mengelirukan tentang sesuatu, tetapi beliau telah membuat pengistiharan bahawa jikalah ada sesuatu yang beliau anjurkan atau katakan bertentangan dengan ketetapan as-Sunnah, hendaklah dibuang pandangan beliau dan diambil ketetapan as-Sunnah! Jelasnya, ajaran haq Imam as-Syafie pasti menepati as-Sunnah.
Jika begitu, mengapakan banyak perkara yang dikatakan pegangan mazhab as-Syafie itu berlainan dari ajaran Imam as-Syafie sendiri? Atau, mungkinkah apa-apa yang kita jadikan amalan lazim kini bukanlah ajaran Imam as-Syafie tetapi dianjurkan oleh orang lain, dan kerana kejahilan kita tentang ajaran Imam as-Syafie, kita terima bulat-bulat tanpa soal, kata-kata penganjurnya? Soalnya: adakah apa-apa yang kita amalkan hari ini sejajar pula dengan ajaran Imam as-Syafie? Adakah apa-apa yang kita amalkan dan ibadahkan dan kerjakan hari ini sejajar dengan as-Sunnah? Jika tidak bukanlah kita tergolong sebagai ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’!
Di dalam akhbar Sinar keluaran 29 November 2009, saudara Mohd Yaakub b Mohd Yunus, menulis cetusan pandangannya dengan tajuk: ‘Usah menuduh seseorang sebagai Wahabi’. Beliau memberikan beberapa contoh perlakuan atau amalan yang beliau dapati bukanlah ketetapan Imam as-Syafie, tetapi dikatakan oleh para ulama’ dan ilmuwan di Malaysia sebagai ajaran as-Syafie. Saudara Yaakub juga menyebut, walaupun secara rengkas, beberapa amalan yang sebenarnya ada dalam as-Sunnah, dikatakan oleh para ulama’ arus perdana sebagai amalan fahaman Wahabi! Jelaslah, apabila ulama-ulama’ mainstream bercakap terhadap segelintir pendakwah yang berbeza pendirian dari ulama’ mainstream, mereka itu dilabel Wahabi atau dituduh sengaja mencetuskan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam dengan ‘amalan-amalan yang tiada dalam amalan mazhab’.
Membincangkan isu pematuhan kepada al-Quran dan as-Sunnah ini, kita wajib berpandukan pesanan Rasulallah (s.a.w) dalam hadith berikut:Sabda Nabi (s.a.w): (Taraktu fikum amraini ma in tamasaktum bihima lan tadillu, kitaballahi wasunnati nabiyi) [Maksud: Aku tinggalkan kepada kamu sekelian dua perkara yang jika kamu berpegang kepada kedua-duanya, tidak akan sesat kamu selama-lamanya (dalam mencari dan mendapat serta mengikuti siratul mustaqim, yakni mendapatkan syurga) (iaitu): Kitab Allah (a.w) (yakni, al-Quran) dan sunnah nabiNya (yakni, sunnah Rasulallah (s.a.w)) . [Hadith sahih at-Termidzi, Ahmad ibnu Hanbal, Ibni al-Asim, al-Hakim, at-Tobrani, ad-Dalamii dan al-Thahawi]
Sesiapa atau mana-mana golongan atau perkumpulan umat Islam yang memenuhi ketetapan hadith di atas itu adalah tergolong dalam golongan ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’. Sesiapa yang berpandukan selain dua khazanah ilmu serta panduan hidup tersebut, pastilah terkeluar dari golongan ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’. Kerana, mereka yang berpandukan kedua-duanya pasti dapat syurga, yakni pasti tidak sesat. Counter factualnya, mereka yang berpandukan dengan selain kedua-duanya pasti sesat. Itu kenyataan Rasulallah (s.a.w) yang benar kerana Rasulallah (s.a.w) menyampaikan perintah Allah (a.w), mengajarkan al-Quran dan as-Sunnah serta menunjukkan bagaimana mengabdikan diri kepada Allah (a.w) menepati ketetapan Ayat 13, Surah an-Nisa’ dan Ayat 80, Surah an-Nisa itu. Beliau bercakap dengan wahyu.
Allah (a.w) berfirman:[Maksud: Barangsiapa taatkan Rasulallah (s.a.w) (yakni, ikuti as-Sunnah) sungguh-sungguh mereka telah mentaati Allah (a.w) (yakni, ikuti al-Quran)’ [Ayat 80, Surah an-Nisa’]
Kita semenjak kecil lagi diajarkan bahawa Rasulallah (s.a.w) itu berkata benar. Beliau diwahyukan untuk bercakap atau membuat sesuatu sebagai mendemokan kepada manusia yang Islam dan beriman (malah semua manusia sampai kiamat) apa yang wajar dan apa yang tidak wajar dalam Islam. Rasulallah (s.a.w), sebagaimana firman Allah (a.w) dalam Ayat 3 dan 4, Surah an-Najmi, bercakap tidak kerana lain-lain pertimbangan strategis, tidak mengikut keinginan atau hawa nafsunya tetapi atas yang diwahyukan Allah (a.w) kepadanya.
Rasulallah (s.a.w) memperingatkan kita yang Islam dalam hadith berikut, sebagai mengulangi perintah Allah (a.w) di dalam al-Quran:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Barangsiapa mentaati aku maka sungguh-sungguh dia mentaati Allah (a.w). Dan, barangsiapa engkar (atau, melanggar) perintahku, maka sesungguhnya dia derhaka kepada Allah (a.w)...’ [Hadith Bukhari]
Justeru itu, untuk mempastikan kita dan pengikut mana-mana fahaman, termasuklah fahaman kemazhaban, itu tergolong sebagai ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’, kita atau golongan yang berfahaman sedemikian, telah mengikuti as-Sunnah, dan bukanlah mengikut ajakan atau pandangan mazhab ataupun orang lain, sama ada ulama’ ataupun tidak. Atau, kita ikuti as-Sunnah tetapi pada masa yang sama kita juga ikuti ketetapan manusia. Ini diperjelaskan lagi oleh Rasulallah (s.a.w) dalam hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Setiap umatku masuk syurga, selain (atau, kecuali) orang yang ‘aba’ (maksudnya, enggan).’ Mereka (para sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Siapakah yang ‘enggan’ itu?’ Rasulallah (s.a.w) menjawab: ‘Sesiapa yang mematuhi (atau, taatkan) perintahku (yakni, as-Sunnah) masuk syurga, dan sesiapa yang melanggar perintahku , maka sesungguhnya orang itu ‘enggan’ (yakni, mereka yang ‘enggan’ itu adalah mereka yang tidak mematuhi perintah Rasulallah (s.a.w) tidak masuk syurga, yakni masuk neraka).’ [Hadith Bukhari]
Ketetapan hadith di atas itu jelas sekali. Sehubungan itu juga, sesiapa atau mana-mana golongan, termasuklah mereka yang mengikuti mana-mana mazhab atau aliran atau fahaman, yang berbuat sesuatu yang bercanggah dengan ketetapan as-Sunnah, adalah ‘aba’ (yakni, menentang Rasulallah (s.a.w)), tidak termasuk dalam golongan ‘Ahlus sunnah wal-jama'ah’ itu. Dalam konteks ini, kita telah diperingatkan oleh Rasulallah (s.a.w) jangan buat apa yang disebutkan di dalam hadith berikut. Jika kita buat, maka kita sebenarnya menentang as-Sunnah. Sebagaimana yang kita telah bincangkan di atas tadi, imam yang empat adalah ulama’ as-Sunnah yang hebat zamannya. Kesemua mereka adalah juga tergolong dalam senarai muhadithin, penghimpun hadith, seperti Imam Ahmad ibni Hanbal, Imam Malik, Imam as-Syafie, sebagaimana Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Termidzi, an-Nasa’i dan Ibnu Majah. Mereka menyanjungi dan mengikuti sepenuhnya ketetapan Rasulallah (s.a.w) dalam as-Sunnah. Pastilah mereka tidak melakukan sesuatu yang bercanggah dengan ketetapan Rasulallah (s.a.w). Ini tidak bererti bahawa pengikut-pengikut mereka mengikuti acuan mereka seratus peratus! Masa sudah berlalu dan temadun manusia semakin ‘maju’ dan ‘hebat’ dan mereka dipengaruhi oleh banyak faktor, termasuklah pengaruh pemikiran manusia yang berbangga dengan penemuan-penemuan sains, yang tidak akui wujudnya kuasa ketuhanan. Oleh itu kemungkinan besar ajaran asal imam yang empat telah berubah dan lari dari spesifikasi asal yang diajarkan oleh imam yang empat tersebut. Malah, mungkin sekali majoriti pengikut mereka tidak boleh dianggap menepati ajaran imam yang empat lagi kerana sudah dicemari oleh ‘pembaharuan dalam fikiran manusia’.
Jazakallahu khairah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment