Assalamualaikum,
Saudara, kita teruskan lagi perbincangan kita mengenai isu atau tajuk yg penting ini. Kita lihat seterusnya apakah lagi berita buruk terhadap kebajikan akhirat kita mengikut pesanan Rasulallah (s.a.w) apabila kita belajar dan mengajarkan ilmu kerana tujuan yg batil.
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Meminta perlindungan mereka (iaitu neraka) dengan Allah (a.w) dari ‘Hubbul Huzzan’.’ Berkata mereka (para sahabat): ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Dan apa itu ‘Hubbul Huzzan’?’ Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Jurang (lubuk) di dalam neraka jahanam, meminta perlindungan darinya (kepada Allah (a.w)) neraka jahanam tiap-tiap hari 400 kali (supaya tidak masuk manusia ke dalamnya).’ Berkata sahabat: ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Dan siapa yang masuk ke dalamnya?’ Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Disediakan (Hubbul Huzzan) bagi ahli al-Quran yang mempamir-pamirkan atau menunjuk-nunjuk dengan amalan mereka (yakni, orang yang riak, yakni menunjukkan kepandaiannya membaca al-Quran, mengajar al-Quran dan mengolah tafsir al-Quran, supaya orang menganggap mereka ‘qari’ dan ‘alim’ dan sebagainya). Dan sesungguhnya dari (yakni, antara golongan orang-orang yang) lebih dimurkai oleh Allah (a.w) (ialah) ahli al-Quran (maksudnya, ahli ilmu) yang datang mereka (yakni, berjumpa mereka) pada beberapa amir (yakni, kepada pemimpin, pemerintah atau orang-orang yang berkuasa seperti pemerintah, memohon kedudukan dunia bagi dirinya).’
Berkata Abu Hassan (r.a) (seorang perawi), menjelaskan bahawa amir (pemimpin) yang mereka temui itu: ‘Beberapa amir yang buruk (atau jahat, yakni amir atau imam atau pemimpin yang sangsi terhadap al-Quran dan al-Hadith atau secara umumnya syariat Islam itu, dan yang jahil tentang ugamanya atau yang nipis imannya dan melebihkan dunianya)’. [Hadith Ibnu Majah]
Saudara,
Hadith di atas menjelaskan akibat mereka yang mencari dan menuntut ilmu, malah mengajarkan ilmu, kerana ingin menunjukkan betapa alim atau berilmunya dia. Kemudian kerana kealimannya itu menjadikan dia riak, menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Berbagai-bagai cara dia boleh mendemokan kealiman itu, seperti berdebat dihadapan khalayak ramai, menunjukkan kehebatan ilmu dan amalannya pula. Atau, mereka yang menuntut ilmu, mengajar dan mengembangkan ilmunya dengan niat supaya orang mengetahui kehebatannya. Dan, kerana penonjolan atau penampilannya itu, pemerintah atau orang yang berkuasa mengenali dia, diangkat atau diiktiraf oleh mereka, diberikan jawatan dan kedudukan. Atau, dia menjadi orang-orang yang rapat dengan pembesar atau pemimpin, kemudian kerana penampilan dirinya dengan ilmunya menjadi penasihat pemimpin pula dalam aspek-aspek pengurusan syariat Islam dan masyarakatnya. Kedudukan mereka semakin bertambah menyerlah dan berpengaaruh memungkinkan mereka mudah terjerumus ke arah kebatilan apakala dia berjinak-jinak dengan amir atau pemimpin yang jahil, jahat dan kufur pula. Kerana ilmunya pula dia dapat menyokong segala sesuatu yang diutamakan oleh pemimpin yang jahil, buruk dan batil tersebut. Berjaya dia di dunia tetapi tergadailah akhiratnya.
Bagi orang-orang sedemikian itu, kata Rasulallah (s.a.w), neraka jahanamlah tempatnya. Bukan itu sahaja. Ditempatkan di jurang yang paling dalam di dalam neraka, yang paling azab lagi seksaannya berbanding dengan bahagian-bahagian selainnya di dalam neraka itu. Oleh kerana hebatnya azab di tempat tersebut, iaitu ‘hubbul huzzan’ itu, neraka jahanam itu sendiri sentiasa berdoa kepada Allah (a.w)) sebanyak 400 kali sehari meminta supaya janganlah Allah (a.w) masukkan manusia ke dalam ‘Hubbul Huzzan’ itu! Jurang atau lubuk neraka jahanam ini dikhususkan kepada orang yang belajar al-Quran (yakni, ilmu ugamanya) bukan kerana keikhlasannya kepada Allah (a.w) atau kerana suruhan ugamanya, atau untuk menolong saudara seIslam yang jahil tentang ugamanya, atau untuk menegakkan syariat yang haq selaras dengan as-Sunnah, tetapi untuk menunjuk-nunjuk atau menonjol atau menampilkan diri supaya mendapat pengiktirafan oleh manusia, terutama pemimpin yang jahil, maksiat, zalim, engkar dan bersifat berat sebelah atau pilih kasih, dalam pentadbiran atau pengurusannya dan mengutamakan pertimbangan duniawi dalam pentadbiruruskan orgnisasinya bukan kerana Islam. Juga, semata-mata untuk mendemokan yang dia itu ahli al-Quran (yakni, ahli ilmu) atau mereka berilmu (yakni, faqih dan ‘alim) mengenai ugamanya, kemudian menunjuk-nunjukkan kepada orang lain kepandaiannya, supaya disanjung mereka, dan memberi petua dan pandangan dan memberi nasihat yang bertentangan dengan syariat Islam yang haq. Jurang nereka ini juga dikhususkan bagi mereka yang ahli al-Quran (ahli ilmu) kemudian dia menonjolkan dirinya kepada pemerintah atau orang yang berkuasa terhadap umat Islam meminta-meminta, kerana ilmunya itu, diberikan tempat atau diberikan jawatan atau diberikan kedudukan atau taraf yang dihormati oleh orang awam, yakni masyarakat.
Jazakallahu khairah
No comments:
Post a Comment