Saturday, January 22, 2011

Solat Subuh, Doa Qunut dan as-Sunnah

Assalamualaikum,
saudara dalam beberapa post yg lalu kita telahpun demokan contoh solat yg menepati ketetapan Rasulallah (s.a.w) 'Sollu kama ra-aitumuni usalli' itu. Kita juga telah tahu bahawa sesiapa yg mengerjakan solat yg tidak menepati sabda Rasulallah (s.a.w) itu, yakni yg berlainan dari apa yg dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w), maka solatnya batal atau tidak diterima Allah (a.w), kerana perbuatan sedemikian adalah termasuk dalam perkara 'pembaharuan dalam perkara ugama' atau 'bid'ah.' Dalam konteks Solat Subuh, majoriti umat Islam membaca Doa Qunut. Amalan membaca Doa Qunut itu tiada di dalam as-Sunnah. Lebih dua tahun lalu - ketika blog ini dimulakan - kita telahpun bincangkan perkara ini. Untuk memudahkan saudara merujuk kita salinkan dan tuliskan semula.

Qunut Dalam Solat Subuh?

Assalamualaikum,
Berikutan dengan penangkatan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri, baru-baru ini [Nota: bulan Oktober 2009] pihak-pihak penjawat dan pentadbir organisasi Islam bercakap. Ada yang mengatakan bahawa orang-orang seumpama beliau adalah pengikut atau penyokong fahaman Wahabi kerana mereka telah menuduh golongan Islam mainstream sebagai membuat sesuatu yang 'bid'ah' kerana ketika bersolat Subuh membaca Doa Qunut. Mereka berkata Wahabi tidak membaca Doa Qunut dalam Solat Subuh.
Kita semua tahu bahawa masyarakat Islam di Malaysia dan negara-negara di rantau ini bersolat Subuh dengan membaca Qunut. Malah mereka juga membuat berbagai-bagai lagi ritual selepas solat atau untuk sesuatu majlis, seperti Majlis Doa Selamat, Majlis Tahlil Arwah dan seumpamanya, secara berjemaah. Ini adalah amalan tradisi dan juga amalan yang sudah dibuadayakan oleh orang Islam arus perdana di Malaysia. Mereka berkata inilah amal makruf yang dianjurkan oleh fahaman Mazhab as-Syafie.
Cuba kita teliti Islam dan syariatnya? Islam dan syariatnya ditetapkan oleh Allah (a.w) (yakni, ketetapan al-Quran) dan ditetapkan serta dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w) (yakni, yang ditetapkan oleh as-Sunnah). Sesuatu yang tiada sandaran nas dan dalil al-Quran dan as-Sunnah bukanlah termasuk dalam syariat Islam, maka itu adalah amalan kelainan yang tidak dituntut oleh Islam umat Islam yang digolongkan sebagai 'Ahlus sunnah wal-jama'ah' amalkan.
Rasulallah (s.a.w) tidak membaca Doa Qunut dalam Solat Subuh. Sesiapa yang belajar Ilmu al-Hadith akan tahu bahawa inilah kedudukannya, iaitu Rasulallah (s.a.w) tidak membaca Doa Qunut dalam Solat Subuh.
Rasulallah (s.a.w) membaca Qunut khas yang dinamakan Qunut Nazilah dalam kesemua solat fardu lima waktu suatu masa dan ini dibuat selama sebulan kemudian beliau meninggalkannya atau menghentikan amalan tersebut. Ini bukanlah Qunut yang kita baca sekarang ini, tetapi Qunut yang mengandungi kalimah-kalimah yang khusus mendoakan kecelakaan kepada orang-orang munafiq di empat wilayah tanah Arab masa itu. Qunut ini dibaca selama sebulan dalam semua lima waktu solat, bukan setakat Subuh sahaja suatu masa. Rasulallah (s.a.w) memerintahkan jema'ah Islam zamannya yang bertempat dimana-mana sahaja supaya membacanya selama sebulan untuk mendoakan kehancuran kepada pendudukan munafiq dalam empat qariah tersebut.
Di bawah ini penulis turunkan beberapa hadith menyentuh Qunut Nazilah tersebut yang menjadi sandaran dalil hadith mengenainya.
Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a) berkata: ‘Membaca Qunut Rasulallah (s.a.w) sebulan lamanya selepas Ruku’ dan berdoa (Rasulallah (s.a.w)) atas (kehancuran kaum musyrikin dan munafiq di) desa-desa Ri’lin dan Zakwan dan ‘Usoiyah yang menentang Allah (a.w) dan RasulNya.’ [Hadith sahih an-Nasa’i]
Diriwayatkan hadith daripada Anas (r.a) berkata: ‘Nabi (s.a.w) pernah berqunut (qunut nazilah) sebulan mendoakan dia (Nabi) (akan musibah) atas desa Ri’lin dan Zakwan.’ [Hadith Bukhari]
Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a): ‘Sesungguhnya Rasulallah (s.a.w) ada membaca qunut pada Solat Subuh, mendoa dia pada desa-desa Arab (yang membunuh mubaligh-mubaligh Islam) perkara-perkara keburukan, selama sebulan. Kemudian beliau memberhentikannya.’ [Hadith Ibnu Majah]
Penduduk di empat qariah tersebut telah membunuh 69 daripada 70 orang muabligh Islam yang dihantar Rasulallah (s.a.w), atas permintaan mereka, untuk mengajarkan Islam dan syariatnya. Kesemua dibunuh kecuali seorang yang parah, sempat melarikan diri dan dia melaporkan kejadian tersebut kepada Rasulallah (s.a.w). Ketika mendengar laporan tersebut beliau tertawa kepada yang melapor dan berkata bahawa dia rugi kerana tidak dibunuh. Kerana jikalah dia terbunuh bersama sudah pastilah dia mati syahid. Kerana dia hidup maka belum pasti dia akan masuk syurga.
Setelah menerima laporan tersebut, maka rasulallah (s.a.w) memerintahkan umat Islam membaca Doa Qunut (Nazilah) ketika mengerjakan solat fardu yang lima selama sebulan. Doa Qunut ini bukanlah doa yang dibacakan sekarang ketika solat Subuh yang menjadi amalan lazim orang Islam (Melayu) di Malaysia dan Nusantara. Doa Qunut Nazilah ini disebutkan dalam hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman bin Auf berkata mendengar hadith daripada Abu Hurairah yang berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) berdoa semasa solat Subuh (doa Qunut Nazilah) ketika sudah takbir selepas Ruku’ dengan bersabda (yakni, membaca): ‘Sami-allahu liman hamidah’, kemudian semasa berdiri (yakni, Iktidal) dia (Nabi) berdoa: ‘Selamatkanlah al-Walid bin Walid, Salamah bin Hisyam, Ayasy bin Rabia’, dan orang-orang yang lemah di kalangan umat Islam. Ya Allah (a.w) ya Tuhan kami! Engkau azablah (kaum) Mudar dan turunkanlah kemarau panjang sebagaimana Engkau turunkan (kemarau panjang) kepada kaum Nabi Yusof (a.s). Ya Allah (a.w) ya Tuhanku! Engkau laknatlah (kaum) Lihyan, Ri’lin, Zakwan dan Usyaya kerana mereka derhaka kepada Allah (a.w) dan RasulNya.’ [Hadith ibnu Majah, juga Abu Daud dan Muslim]
Selepas itu, amalan membaca qunut tersebut dihentikan. Tidak ada sandaran nas al-Quran mahupun dalil al-Hadith mengenai Doa Qunut yang dibacakan oleh umat Islam Malaysia sekarang ini. Adapun Doa Qunut yang dibaca sekarang sebenarnya adalah kalimah-kalimah Doa Qunut untuk Solat Witir selepas 15 Ramadhan sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulallah (s.a.w) kepada cucunda beliau (yakni, para sahabat zamannya), Husin bin Ali. Kita rujuk kepada hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Husin bin Ali (r.a) berkata: ‘Mengajar akan aku oleh datukku (yakni, Rasulallah (s.a.w)) beberapa kalimah yang dibacanya pada qunut solat witir ‘Allahumma ‘afini fiman ‘afait, watawallani fiman tawallait, wahdini fiman hadait, waqini syarama qadait, wabarikli fima ‘atait. Innaka taqdi wala uqda ‘alaik. Innahu la yazillu man walait. Subhanaka rababana tabarakta wata’alait.' [Maksud doa: Ya Allah (a.w) ya Tuhan kami semoga memberi kesihatan Engkau atas aku dengan orang yang Engkau kurniakan kesihatan, dan semoga mengatur Engkau akan daku dalam orang-orang yang mengaturkan akan Engkau, dan semoa memberi petunjuk Engkau padaku dalam orang-orang yang Engkau beri petunjuk (hidayah), dan semoa menjauhkan Engkau keburukan yang Engkau hukumkan, dan semoga memberkati Engkau akan daku dalam apa-apa yang Engkau berikan, sesungguhnya Engkau menghukumi dan tidaklah Engkau menghukumi daku, sesungguhnya tidak menjatuhkan Engkau orang-orang yang Engkau sayangi, maha suci Engkau Tuhanku dan memberi berkat Engkau dan maha luhur Engkau.] [Hadith Ibnu Majah & Abu Daud]. Hadith ini diriwayatkan oleh Husain, iaitu anak Ali Abi Thalib (r.a), yang juga merupakan cucunda Rasulallah (s.a.w).
Hari ini kalimah-kalimah inilah yang digunapakai oleh kita dalam membaca Doa Qunut ketika bersolat Subuh. Kalaulah ada amalan membaca Doa Qunut dalam Solat Subuh dan kalimah-kalimah doanya adalah ini, pastilah ada hadith menyebutkan bahawa Rasulallah (s.a.w) menyuruh sahabat baca dalam Doa Qunut solat Subuh! Tidak diketahui siapakah yang memulakan amalan berqunut dalam Solat Subuh itu dan doa yang diajarkan kepada Husin oleh Rasulallah (s.a.w), datuk beliau.
Jelasnya, amalan tidak membaca Qunut dalam Solat Subuh itu bukanlah ajaran Wahabi tetapi adalah ketetapan as-Sunnah.
Dalam tulisan yang akan datang penulis akan muatkan nas dan dalil al-Quran dan as-Sunnah tentang tuntutan as-Sunnah bahawa semasa Solat Subuh itu tiada doa Qunut.
Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment