Monday, January 31, 2011

Solat-solat Sunat: Solat Witir (Samb.)

Assalamualaikum,
Saudara, dalam post yg lalu menyentuh tajuk ini kita telah tahu berpandukan as-Sunnah begitu banyaknya 'keuntungan akhirat' yg kita dapati mengerjakan Solat Witir dan bahawa Solat Witir itu wajib. Kita juga telah maklum pesanan Rasulallah (s.a.w) kpd Abu Hurairah (r.a). [Nota: Abu Hurairah yg tidak tahu membaca dan menulis adalah salah seorang perawi yg banyak meriwayatkan hadith. Seorang lain yg banyak meriwayatkan hadith adalah Abdullah b Mas'ud, tetapi Ibnu Mas'ud, pandai menulis dan membaca, maka dia menulis hadith-hadith yg diriwayatkan oleh beliau].
Saudara, kita lihat pula apakah pesanan Rasulallah (s.a.w) kpd seorang sahabat yg lain, iaitu Abu dardak (r.a). 
Diriwayatkan hadith dari Jubair bin Nufair hadith daripada Abi Darda’ (r.a) berkata: ‘Kekasihku Rasulallah (s.a.w) telah berpesan kepadaku tiga perkara. Aku tidak boleh meninggalkannya kerana sesuatupun. Iaitu beliau berwasiat padaku tiga perkara: (Pertama) berpuasa tiga hari setiap bulan (yakni, puasa putih), (kedua) aku tidak boleh tidur kecuali setelah bersolat Witir, dan (ketiga) mengerjakan solat Duha, baik semasa di rumah atau semasa dalam perjalanan (musafir). [Hadith Abu Daud]
Dalam post yg lalu kita diberitahu bahawa Solat Witir itu adalah 'wajib'. Namun Ali b Abi Thalib (r.a) menjelaskan bahawa bukanlah Solat Witir itu wajib seumpama wajibnya solat-solat fardu, tetapi seakan-akan wajib kerana  Allah (a.w) menyukai orang yg mengerjakannya.
Diriwayatkan hadith daripada Abi Ishak, hadith daripada ‘Asim bin Dhamrat as-Saluli, berkata: ‘Telah berkata ‘Ali bin Abi Thalib (r.a): ‘Sesungguhnya solat Witir itu tidaklah diwajibkan. Dan tidaklah seperti solat-solat fardu yang disuruh kamu sekelian kerjakan. Akan tetapi Rasulallah (s.a.w) bersolat Witir dia, kemudian telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Wahai ‘Ahli al-Quran’ (yakni, orang Islam yang taat mengerjakan ibadat dan amalan digelar ‘Ahli al-Quran’)! Witirlah kamu! Maka sesungguhnya Allah (a.w) itu ganjil dan Dia (Allah (a.w)) suka kepada orang yang bersolat Witir.’ [Hadith sahih Ibnu Majah & Hadith Abu Daud].
Didalam hadith berikut, Rasulallah (s.a.w) memberitahu nilai Solat Witir itu di sisi Allah (a.w). Juga diberitahu waktunya untuk mengerjakan solat tersebut.
Diriwayatkan hadith daripada Kharijah Ibni Khuzafah al-‘Adawii (r.a) berkata: ‘Keluar Nabi (s.a.w) atas kami, (yakni, datanglah Nabi (s.a.w) kepada mereka) maka bersabda dia: ‘Bahawasanya Allah (a.w) sungguh menambah pada kamu sekelian dengan (urusan) solat, dan adapun solat (yang ditambah) itu baik bagi kamu sekelian daripada unta merah, iaitu solat Witir, dijadikan bagi kamu sekelian oleh Allah (a.w) di dalam waktu antara solat Isya’ hingga apabila keluar (terbit) fajar (yakni, solat Subuh).’ [Hadith Ibnu Majah & Abu Daud].
Di dalam hadith ini Rasulallah (s.a.w) memberitahu para sahabat (yakni, umat Islam amnya) bahawa:
·                       Allah (a.w) memerintahkan umat Islam untuk mengerjakan solat Witir sebagai solat tambahan;
·                        Rasulallah (s.a.w) menyatakan bahawa solat yang ditambah itu adalah baik sekali bagi umat Islam. Digambarkan secara bidalan lebih baik daripada unta merah, yakni ganjaran pahalanya begitu besar; dan
·                       Waktunya adalah selepas solat Isya’ dan sebelum tibanya waktu solat Subuh. Rasulallah (s.a.w) di dalam hadith ini, membandingkan kebaikan solat Witir dengan nilai seekor unta merah.
[Nota-1‘Unta merah’ adalah perumpamaan bagi menunjukkan betapa banyaknya ganjaran pahala kerana mengerjakan Solat Witir itu. Dalam zaman awal Islam atau amnya sebelum manusia mencipta kencederaan yang berbagai dan canggih, kenderaan yang paling utama dan paling bernilai adalah unta. Dan, unta termahal atau yang amat tinggi nilainya dalam zaman jahiliah adalah unta merah. Nota-2Pada zaman sebelum Islam dan awal Islam, ketika tiada kenderaan sebagaimana sekarang ini, maka masyarakat Arah menganggapkan unta merah adalah kenderaan mewah yang melambangkan kedudukan dan status sosial masyarakat seolah-olah seumpama ‘billionaires’ zaman sekarang. Tidak berapa ramai orang terkaya Arab zaman tersebut memilki unta merah. Malah di dalam al-Quran disebutkan dalam Surah al-Baqarah bahawa denda (fidyah) kepada orang Yahudi yang melakukan kesalahan engkar perintah Allah (a.w) zaman Musa (a.s) adalah mendapatkan seekor unta merah sebagai kurban. Begitulah besar pahala mengerjakan solat Witir itu].


Jazakallahu khairah


No comments:

Post a Comment