Tuesday, February 15, 2011

Mengajarkan Kebaikan vis-a-vis Mengajarkan Kejahatan


Assalamualaikum,
saudara, Rasulallah (s.a.w) suruh kita sampaikan sesuatu ilmu yg kita dapati dari beliau, i.e. as-Sunnah, walaupun sekadar sepotong hadith. 
Rasulallah (s.a.w) memberikan panduan amalan dalam hadith berikut, iaitu sesiapa yang menolong seseorang Islam yang lain atau meminta seorang lain menolong seseorang Islam, kerana dia tidak mampu membantu, mendapat pahala seumpama orang yang menolong atau membantu. Jelaslah, begitu mudah mendapat pahala dalam Islam. 
Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a) berkata: ‘Datang kepada Nabi (s.a.w) seorang lelaki meminta kenderaan kepadanya maka tiada didapatnya disisinya barang yang boleh menanggung akan dia, maka ditunjukkannya atas orang lain, maka ditanggongkannya. Maka datang dia kepada Nabi (s.a.w) lalu diceritakannya, maka bersabda Nabi (s.a.w): ‘Bahawasanya orang yang menunjuk (yakni, memberi panduan atau bantuan atau mengajari ke arah kebaikan) atas kebajikan itu seperti yang memperbuatnya.’ [Hadith gharib at-Termidzi] 
Hadith ini menjelaskan bahawa sesiapa yang mengajar orang lain sesuatu yang baik, dan diamalkan oleh orang yang diajarkannya perbuatan kebaikan itu, maka mendapat pahala dia dan mendapat pahala orang yang mengerjakan perbuatan atau amalan baik itu, dan yang mengajarkannya juga mendapat pahala orang yang diajarkannya tanpa mengurangi pahala orang yang diajarkannya itu. Begitulah sebaliknya: 
Diriwayatkan hadith dari Munziri bin Jariri (r.a), hadith daripada bapanya berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Barangsiapa membuat kelakuan (amalan) maka diamalkannya dan diajarkannya (orang lain) dengan kebaikan itu baginya pahala, seperti orang yang mengamalkan dari amalan yang dia beramal dengannya tidak mengurangi dari pahala mereka (yang mengamalkannya) sedikitpun. Dan barang siapa membuat kelakuan yang jelek (tidak baik) maka beramal dengannya ada atasnya dan mengajarkan orang lain (diberatkan atasnya) dosa dan dosa barangsiapa yang mengamalkannya dengan kelakuan tidak baik itu tidak mengurangi dari dosa (orang lain yang beramal) tersebut sedikit pun.’ [Hadith Ibnu Majah] 
Hadith di atas dan hadith berikutnya mengajar seseorang Islam itu supaya berusaha mengajarkan kebaikan kepada orang lain dan tidaklah dia mengajarkan kejahatan kepada orang. Kedua-dua perbuatan tersebut mendapat dividen akhirat kepadanya, dividen pahala (amalan baik) atau dividen dosa (amalan jahat), yang berterusan di terimanya sampai akhir zaman, selagi ada orang yang beramal dengan apa yang diajak atau ditunjukkan olehnya. Dalam pada itu pahala atau dosa yang melakukan perbuatan atau amalan yang diajarkannya itu tidak pula dikurangkan atau terjejas.

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment