Assalamualaikum,
Saudara, di dalam hadith di bawah ini, Rasulallah (s.a.w) mengajarkan kepada kita supaya tinggalkan atau kikis dua sifat, iaitu persaan hasad dan dengki dan pertingkatkan keimanan dengan mengasihi saudara sesama Islam, dan hidupkan silatur rahim atau persaudaraan sesama Islam dengan memperbanyakkan ‘salam’:
Diriwayatkan hadith daripada Yahya bin Abi Kathir, hadith daripada Ya’isy ibni Walid, iaitu hamba bebas kepada Zubeir, menceritakan hadith bahawa Zubeir bi Awam menceritakan hadith bahawasanya Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Telah menular (yakni, merebak) penyakit di kalangan kamu penyakit umat-umat yang terdahulu, iaitu (penyakit) ‘hasad dan dengki’, ia (yakni, ‘hasad dengki’ itu) pencukur; bukan aku berkata ‘pencukur rambut’, dan akan tetapi pencukur ugama (yakni, mencukur pahala segala amalan dan ibadah). Demi diriku di tanganNya! (yakni, bersumpah Rasulallah (s.a.w)) demi Allah (a.w)) Tidak akan masuk syurga sehingga beriman kamu, dan tidak beriman kamu sehingga kasih kamu (akan saudara sesama Islam). Apakah tidak aku ceritakan kepada kamu dengan apa-apa yang menetapkan demikian (keimanan dan kasih sayang) kepada kamu? (Iaitu) Saling menyebarkanlah oleh kamu ucapan ‘salam’ antara kamu.’ [Hadith sahih at-Termidzi]
Apakah pengajaran yang disampaikan oleh Rasulallah (s.a.w) di dalam hadith ini? Jelaslah ada tiga perkara:
Pertama, sifat ‘hasad dengki’ itu satu sifat yang tercela dan merugikan orang yang beriman dan bertaqwa, kerana ia menjadi pencukur kepada segala pahala dan kebaikan dari amalan dan ibadahnya. Maksudnya, tidak ada gunanya beramal dan beribadah jika memiliki sifat-sifat tersebut kerana segala pahala lesap atau hilang;
Kedua, tidak masuk syurga seseorang yang Islam itu jika tidak beriman (yakni, mendokong Rukun Iman dan mengerjakan Rukun Islam), dan tidak dikira beriman seseorang yang Islam itu jika dia tidak mengasihi saudara sesama Islam; dan
Ketiga, pra-syarat untuk mendapat keimanan dan perasaan kasih sayang yang sepontan oleh seseorang yang Islam dan beriman itu ialah sentiasalah dia berusaha menyebarkan atau memperbanyakkan ‘salam’ kepada saudara seIslam.
Dalam kita memperbaiki amalan dan ibadah demi akhirat kita, wajiblah kita ikut nasihat Rasulallah (s.a.w) itu.
Kita sering kali mendengar cemohan orang bahawa orang Melayu memang sebati dengan persaan ‘hasad dan dengki’. Malah ada yang mangatakan bahawa orang Melayu tidak perlu belajar tinggi untuk mendapatkan ‘PHD’ (Perasaan Hasad dan Dengki), kerana mereka sudahpun dilahirkan mempunyai sifat PHD itu. Bagi mereka yang inginkan satu iajazah tertinggi, maka mereka belajar di menara gading untuk mendapat PhD pula, walhal PHD yang ada padanya kekal dengannya, melainkan dikikisnya. Perasaan sedemikian itu wujud di kalangan pemimpin, pegawai tinggi, dalam persatuan atau pertubuhan, dalam menara gading, dan di mana-mana sahaja.
Disebabkan persaan hasad dan dengki ini jugalah menjadikan Yahudi kafir dan Nesrani kafir, kerana walaupun mereka beriman sebelum Islam, orang Yahudi yang menerima syariat ugama Allah (a.w) yang dibawakan oleh Musa (a.s) adalah dianggap ‘Islam’ yakni menerima syariat ugama Allah (a.w), kemudian apabila diturunkan Injil dan diutus Allah (a.w), Isa (a.s), mereka wajib beriman dan mengikuti Isa (a.s), supaya kekal beriman kepada Allah (a.w). Yg tidak mahu menerima Isa (a.s) maka mereka kafir. Begitu jugalah dengan golongan Nesrani. Golongan Nesrani pada zaman Isa (a.s) yang beriman dengan syariat Isa (a.s) dan Injil, adalah dianggap beriman dengan ugama Allah (a.w), tetapi apabila Muhammad (s.a.w) diutus sebagai Rasul dan membawakan al-Quran, orang Yahudi dan Nesrani tidak menerima Rasulallah (s.a.w) dan tidak menerima Islam dan al-Quran, maka kafir mereka. Kerana perasaan iri hati, hasad dan dengkilah, maka Yahudi dan Nesrani tidak mahu menerima Islam, Rasulallah (s.a.w) dan al-Quran.
Begitulah juga manusia biasa. Selagi ada orang yang tidak senang hati dengan kejayaan orang lain, dan berusaha dia melalui pelbagai ragam dan cara untuk menjatuhkan orang yang dia tidak suka, ada sifat dengki dan hasad serta khianat di dalam hati sanubarinya. Mereka itu, mengikut ketetapan hadith di atas itu, tidak memperolehi sebarang ganjaran pahala walau banyak mana sekalipun amalan dan ibadahnya. Kerana setiap kali dia berusaha untuk mendapatkan pahala, akan terhakis pahala tersebut kerana perasaan ‘hasad dan dengki’ yang kekal dalam dirinya. Perasaan hasad dan dengki itu bertindak seumpama pisau cukur, mencukur atau mengikis apa-apa pahala yang diperolehinya atau patut diperolehinya daripada amalan dan ibadahnya atau amal ma’rufnya.
Hadith di atas itu memberikan kita satu pengajaran dan prinsip yang amat utama sebagai panduan kita setiap masa, iaitu walau apa sekalipun amalan dan ibadah kita hendaklah betul niat dan tujuannya. Niat dan tujuan setiap amalan itu adalah semata-mata keikhlasan terhadap Allah (a.w). Kita lakukan kerana itulah yang diperintahkan Allah (a.w). Apabila kita kerjakan kita mematuhiNya dan kita akur dan tidak engkar terhadapNya. Malah bukan sahaja keikhlasan, tetapi sebenarnya adalah semata-mata untuk mencari keridhaan dan kerahmatan Allah (a.w) dengan penuh berharap agar mendapat syurgaNya dan untuk menghindarkan diri daripada mendapat kemurkaan Allah (a.w) dan terhindar dari terkena seksaanNya. [Nota: Ucapan ‘salam’ itu adalah menyebut sekurang-kurangnya ‘Assalamu alaikum’ kepada saudara sesama Islam, sama ada kita kenal atau tidak kenal akandia, ketika bertemu di mana-mana.]
Jazakallahu khairah
No comments:
Post a Comment