Sunday, March 13, 2011

Orang Yg Bijak (Samb.)

Assalamualaikum,
saudara, di dalam hadith berikut, seorang sahabat Rasulallah (s.a.w) bertanyakan kepada Rasulallah (s.a.w) beberapa panduan hidup yang perlu untuk dirinya. Seperti biasa apa jua nasihat yang datangnya daripada Rasulallah (s.a.w) untuk mana-mana sahabat adalah relevan untuk umat Islam. Begitulah ciri sunnah Rasulallah (s.a.w), kerana Rasulallah (s.a.w) bersabda berpandukan wahyu bukan kerana kehendak nafsu atau dirinya sendiri: 
Diriwayatkan hadith daripada Abu Zarr (r.a) yang bertanya kepada Rasulallah (s.a.w) tentang beberapa nasihat, maka Rasulallah (s.a.w) menyuruh beliau meningkatkan ketaqwaan (yakni, takutkan azab Allah (a.w)) kerana ia (yakni, ketaqwaan) boleh membentuk keperibadian luhur yang menjadi asas segala tindakan dan perlakuan yang menyelubungi jiwa seorang yang beriman
Kemudian Abu Zarr (r.a) meminta lagi nasehat, maka Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Hendaklah sentiasa kamu secara berterusan membaca al-Quran dan mengingati Allah (a.w)(yakni, seperti berzikir kepada Allah (a.w)), kerana ia ‘nur’ (yakni, cahaya keimanan) di dunia dan ‘zakhirah’ (yakni, perhiasan diri) di syurga.’ 
Abu Zarr (r.a) meminta lagi nasihat, maka Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Kurangkan ketawa kerana ia menjadikan jiwa sombong dan menghapuskan seri muka kamu.’ 
Kemudian Abu Zarr (r.a) meminta lagi nasihat, maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Hendaklah kamu teruskan berjihad kerana ia adalah ‘ruhbaniah’ bagi umatku.’ 
Kemudian Abu Zarr (r.a) meminta lagi nasihat, maka Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Biasakanlah dirimu dengan orang-orang yang miskin dan orang-orang yang memerlukan bantuan, berbuat baik kepada mereka dan duduklah bersama-sama mereka.’ 
Kemudian Abu Zarr (r.a) memohon nasihat lagi, maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Lihatlah kepada mereka yang berada di bawah kamu supaya (dengan kerana itu) kamu membiasakan diri merasa syukur terhadap nikmat Allah (a.w), dan janganlah kamu melihat orang yang berada di atas kamu (dengan kerana itu) nanti kamu akan menjadi tidak bersyukur terhadap pemberian Allah (a.w) kepada kamu.’ 
Kemudian Abu Zarr (r.a) memohon nasihat lagi, maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Biarlah salah silap kamu menjadikan kamu tidak mencemuh orang lain. Dan janganlah mencari salah silap orang lain, kerana kamu sendiri melakukan kesalahan sedemikian. Tidak wajar kamu menyatakan salah silap orang lain dengan mencari kesilapannya, kerana salah silap sedemikian itu kamu sendiri memilikinya tanpa kamu sendiri sedari akan wujudnya.’ Kemudian itu Rasulallah (s.a.w) menepuk dada Abu Zarr (r.a) sambil bersabda: ‘Wahai Abu Zarr (r.a)! Tidak ada kebijaksanaan yang lebih baik daripada cermat berbelanja, dan tidak ada keimanan yang lebih baik daripada tidak melakukan kesalahan (atau dosa), dan (tidak ada) sifat ketinggian darjat lebih baik dari akhlak yang baik.’  [Hadith sahih Ibnu Hibban] 
Hadith yang panjang ini memberikan banyak prinsip utama yang wajar diberi perhatian oleh seorang Islam yang mengaku mereka beriman dan bertaqwa Sekiranya prinsip dan panduan tersebut sentiasa dijadikan panduan hidup sudah pastilah kita menjadi orang yang baik kepada sesiapa sahaja yang kita bergaul saban hari di mana saja kita berada. Apakah sifat-sifat tersebut yang wajib menjadi panduan perlakuan dan peribadi kita? Terdapat sebelas perkara yang dinasihatkan oleh Rasulallah (s.a.w) kepada Abu Zarr (r.a), yakni umat Islam: 
Pertama sekali hendaklah kita berusaha meningkatkan ketaqwaan kerana ketaqwaan ini akan membentuk keperibadian yang luhur kepada seseorang itu kerana ketaqwaan itu melibatkan hubungannya dengan Allah (a.w) dan RasulNya serta hubungannya dengan manusia lain, termasuk kedua ibu bapanya, suami isteri, kaum kerabat, sahabat handai dan rakan taulan. Kedua, umat Islam itu digalakkan membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah (a.w), kerana membaca al-Quran dan berzikir itu adalah perbuatan memuji-muji dan mengingati Allah (a.w) yang telah memberikan kita pelbagai nikmat yang kita seringkali tidak ambil peduli atau ‘take for granted’.  Zaman ini manusia itu seringkali dalam kesebokan maka tidak ada masa untuknya membaca al-Quran dan tidak ada masa juga untuk berzikir. Sebenarnya mereka mempunyai masa tetapi mereka meremehkan kepentingan akhirat mereka. Sebagai contoh mereka boleh berzikir semasa mereka menguruskan hal ehwal dunia mereka. 
Ketiga, seseorang Islam yang beriman dan bertaqwa itu tidak membiasakan dirinya ketawa – terutama ketawa sampai terbahak-bahak – kerana ketawa itu adalah perbuatan syaitan dan perbuatan orang yang takbur terhadap Allah (a.w). Orang yang ketawa itu akan lupa dia akan tanggung jawabnya sebagai manusia dalam hidupnya dan lupa dia akan tanggung jawabnya sebagai hamba Allah (a.w) terhadap Allah (a.w). Di dalam sepotong hadith lain disebutkan oleh Rasulallah (s.a.w) bahawa sekiranya kita berpeluang melihat apa yang berlaku dalam neraka, sabda beliau, kita tidak akan mampu ketawa! 
Keempat, seseorang Islam itu hendaklah dia sentiasa berjihad demi ugamanya dan demi ketaqwaannya. Di dalam sepotong hadith disebutkan bahawa selepas hijrah ke Madinah, tidak ada lagi hijrah bagi manusia, selain berhijrah melawan nafsunya. Malah dalam sepotong hadith lain pula Rasulallah (s.a.w) menyebutkan hijrah dari Mekah ke Madinah itu adalah hijrah yang kecil berbanding dengan hijrah melawan nafsu itu kerana hijrah melawan nafsu itu yang terbesar dan terpayah sekali dikerjakan. Berhijrah adalah satu bentuk jihad, dan berjihad melawan kehendak duniawi diri adalah jihad yang berat kepada manusia. Dalam zaman moden ini hijrah melawan nafsu atau kehendak diri itu semakin besar dan rumit untuk dilaksanakan. Yang kaya akan sebok dengan kekayaannya. Yang miskin akan sebok juga dengan kemiskinannya. Semuanya, kalau tidak berhati-hati, akan terjerumus mencari ‘keperluan’ dunia tanpa henti-henti dan tanpa jemu-jemu dan sentiasa merasai kekurangan dan tidak cukup walaupun sudah lebih daripada cukup. Kelima, keperibadian yang baik yang menunjukkan orang Islam yang benar-benar beriman dan bertaqwa itu adalah seseorang itu sentiasalah dia tidak membesar dan membangga diri, bersifat sombong dan merasai mulia diri berbanding dengan orang lain atau apabila melihat orang lain. Untuk membolehkan seseorang itu tidak dihayun oleh ombak takbur dan membesar diri hendaklah dia berbuat baik dan sering bergaul dengan orang miskin, maka dengan itu dia ingat dan syukur terhadap nikmat kurniaan Allah (a.w) kepadanya apabila dibandingkannya keadaannya, timbul perasaan perikemanusiaan dan belas kasihan serta keinginan sentiasa ingin untuk membantu mereka yang lebih dhaif daripada dia. Orang yang berkedudukan lebih baik dalam hal ehwal dunianya sering sukar menjadi baik apabila berhubung dengan orang-orang miskin dan melarat. Jarang sekali kita temui orang yang kaya raya sering berhubungan atau menjalin hubungan silatur rahim yang kerap lagi erat dengan mereka yang fakir dan miskin. Inilah satu-satunya sifat yang amat sukar dijadikan panduan oleh ramai golongan manusia. 
Keenam, hendaklah kita melihat ke bawah yakni melihat kedudukan (terutama, kedudukan ekonomi atau taraf hidup) mereka yang jauh lebih dhaif daripada kita walau di mana sekalipun status dan kedudukan kehidupan kita sekarang. Apabila kita melihat mereka yang kurang daripada kita maka barulah kita terasa yang kita sebenarnya lebih bernasib baik daripada mereka yang dibawah kita. Allah (a.w) telah mengurniakan kita nikmat yang jauh lebih banyak daripada mereka yang di bawah kita. Ini akan membentuk keimanan kita dan akan menjadikan kita lebih bersyukur akan nikmat yang kita telah terima. Jika kita melihat kepada mereka yang lebih tinggi kedudukan dan taraf hidupnya dengan kita maka kita akan sentiasa tidak berpuas hati dan kita merasa kita telah tidak dibantu atau dibela oleh orang lain, malah seringkali kita menjadi kufur akan nikmat Allah (a.w) apabila kita merasa bahawa Allah (a.w) menyusahkan kita dan tidak membantu kita dengan memurahkan rezki kita! Mereka yang melihat kepada mereka yang lebih tinggi daripadanyalah yang menjadikan manusia itu bertungkus lumus mencari dunia dan sentiasa tidak merasai puas dan cukup. Di dalam al-Quran dan beberapa potong hadith disebutkan bahawa sesiapa yang terlalu inginkan dunia maka Allah (a.w) akan mempermudahkannya, malah mendorongkannya lagi mencari dunia, dan kerana itu Allah (a.w) juga akan menyesatkannya lebih jauh daripada akhiratnya, kerana mereka akan terlupa dengan tanggung jawabnya terhadap Allah (a.w) dan terhadap manusia lain. 
Ketujuh, sebagai seorang Islam Rasulallah (s.a.w) menyebutkan pula bahawa tidak wajar kita mencemuh atau mengata-ngata atau memperkecil-kecilkan orang lain. Kita diberitahu bahawa umat Islam itu saudara se Islam, maka tidak wajarlah seorang saudara mencaci dan menghina dan menghamun saudaranya. Dalam sepotong hadith lain disebutkan bahawa sesiapa yang menutupi keaipan saudaranya dalam dunia maka Allah (a.w) akan menutupi aipnya di akhirat kelak. Di dalam hadith lain disebutkan pula bahawa hendaklah kita menghebah-hebahkan kebaikan seseorang itu kepada orang lain, dan hendaklah kita tidak menceritakan keburukan atau keaipan seseorang itu kepada orang lain. Malah kita disuruh menutup keaipan orang lain, kalaupun ia wujud dan kita ketahui kewujudannya. 
Kedelapan, kita hendaklah jangan mencari-cari keburukan atau kesilapan atau keaipan orang lain, kerana kita sendiri ada keburukan atau kesilapan atau keaipan tersebut tanpa kita ketahui.  Kita adalah manusia, ciri-ciri manusia itu serupa sahaja. Yang membezakan antara seseorang itu dengan seseorang yang lain adalah keimanan dan ketaqwaannya yang mencorakkan tindak tanduknya di dunia. Lebih keimanan dan ketaqwaannya maka kuranglah sifat-sifat kejinya seperti sifat atau tabiat suka mencari salah silap orang lain atau mendedahkan keburukan dan keaipan orang lain. 
Kesembilan, hendaklah kita menjadikan darah daging kita sifat berjimat dan tidak boros berbelanja. Rasulallah (s.a.w) menyebutkan bahawa kebijaksanaan yang paling tinggi pada manusia adalah berjimat cermat. Nasihat ini pastilah jelas dan tidak mengelirukan. Kita tidak tahu bilakah agaknya kita akan susah atau sakit atau kehilangan sesuatu. Jadi jika kita tidak bersedia untuk perkara-perkara tersebut maka pastilah kita akan melarat dan merempat kelak apabila berlaku perkara itu. Maka dengan itulah seseorang yang paling bijak dalam hidupnya adalah dia berjimat cermat sentiasa demi menyediakan dirinya sesuatu untuk mengatasi kesulitann di masa depan, jika berlaku. 
Kesepuluh, Rasulallah (s.a.w) menyebutkan keimanan yang terbaik adalah tidak melakukan dosa. Barangsiapa mampu menjaga dirinya daripada berbuat apa jua dosa (yakni, melakukan kesalahan-kesalahan – melanggar perintah Allah (a.w) dan perintah Rasulallah (s.a.w) – adalah orang yang paling tinggi taraf iman atau keimanannya. Di dalam sepotong hadith lain disebutkan oleh Rasulallah (s.a.w) setiap manusia yang baik perangai dan budi pekertinya akan melakukan paling minimum 2,500 jenis dosa setiap hari. Apatah lagi orang yang perangai dan budi pekertinya jauh lebih rendah, pastilah berganda dan berbagai pula dosa yang dilakukannya. Itu adalah dosa-dosa kecil. Dosa-dosa besar tidak disebutkan. Dosa-dosa kecil itu boleh terhapus sebahagian dengan mengambil wudu’ dan bersolat dan sebahagian dengan melakukan pelbagai ibadat sunnat lain (spt amal makruf) dan berdoa. 
Kesebelas, Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita bahawa tidak ada darjat kemuliaan yang paling tinggi dalam Islam selain dari mereka yang memiliki akhlak yang tinggi dan terbaik (akhlak karimah).  Ini adalah salah satu pencapaian yang amat sukar bagi kita dalam meningkatkan taraf dan mertabat keIslaman, keimanan dan ketaqwaan kita. Barangsiapa dapat mengamalkan keperibadian dan akhlah yang luhur dan tinggi sudah pastilah dia mempunyai darjat kemuliaan yang tertinggi. Orang yang mempunyai akhlak sedemikian pastilah dia mencapai kejayaan mendapat syurga Allah (a.w) yg terbaik. 
[Nota-1: Maksud hadith ini jelas di dalam al-Quran, mengikut kata para ulama’. Di dalam al-Quran, Allah (a.w) dalam firmanNya menyebut kalimah atau ungkapan ‘Kitab’ dan ‘hikmah’. Mengikut Imam as-Shafie, setelah meneliti pendapat dan pandangan para ulama’ yang faqih dengan Ilmu al-Quran, ‘hikmah’ bermaksud ‘sunnah Rasulallah (s.a.w)’ atau as-Sunnah. Rujuk Surah al-Baqarah (Ayat 129, 151 & 231), Surah ali-Imran (Ayat 164), Surah an-Nisa’ (Ayat 113), Surah ad-Dhuhan (Ayat 34) dan Surah al-Jum’at (Ayat 2) mengenai ungkapan ‘kitab’ dan ‘hikmah’ tersebut. 
Nota-2: Di dalam sepotong hadith lain pula, Rasulallah (s.a.w) menasihatkan kita bahawa hendaklah kita melihat dunia kita kepada orang atau golongan yang lebih dhaif hidupnya daripada kita, dan untuk tujuan melihat akhirat kita, hendaklah kita melihat orang atau golongan yang lebih tinggi daripada kita dari segi amalan dan ibadahnya, yakni keimanan dan ketaqwaannya, supaya kita tahu akan kekurangan kita dan dimana kita berada dan apakah yang perlu kita lakukan untuk menandingin mereka.
Nota-3Mungkin ramai orang Islam yang tidak sedar bahawa melanggar perintah dan suruhan Rasulallah (s.a.w) itu berdosa atau mendatangkan dosa. Memang jelas bahawa melanggar perintah Allah (a.w) sudah pasti berdosa. Melanggar perintah dan suruhan Rasulallah (s.a.w) juga berdosa. Sebab, di dalam al-Quran disebutkan bahawa hendaklah kita ‘Taatkan Allah (a.w)’ dan ‘Taatkan Rasulallah (s.a.w)’.  Allah (a.w) berfirman di dalam al-Quran (Ayat 7, Surah al-Haysr) bahawa apa-apa yang disuruh oleh Rasulallah (s.a.w) hendaklah kita ambil dan apa-apa yang ditegahnya hendaklah kita tinggalkan; sesiapa taatkan Rasulallah (s.a.w) maka dia telah mentaati Allah (a.w) (Ayat 80, Surah an-Nisa'); sesiapa yang sayangkan Allah (a.w) hendaklah dia ikuti perintah dan suruhan Rasulallah (s.a.w), dan banyak lagi firman Allah (a.w) sedemikian. 
Nota-4Allah (a.w) berfirman di dalam al-Quran bahawa orang yang baik di sisi Allah (a.w) adalah orang yang tinggi ketaqwaannya terhadap Allah (a.w).]

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment