Monday, March 21, 2011

Peringatan: Bersedia Untuk Mati (Samb.)

Assalamualaikum, 
Saudara, siapakah orang yang paling bijak? Orang yang bijak atau pandai itu mengikut sabda Rasulallah (s.a.w) adalah orang yang menghisab dirinya sebelum datang ajalnya. Yakni, dilihatnya sentiasa perlakuannya semasa hidupnya, supaya memperbaiki amalan dan ibadahnya, supaya dikirimnya sebanyak-banyak pahala yang mungkin untuk bekalan akhiratnya sebelum dia mati. Orang yang lemah itu adalah orang-orang yang menurut nafsu syahawatnya dan akan tetapi tetap berharapkan mendapat syurga daripada Tuhannya. Ini disebutkan di dalam hadith berikut: 
Diriwayatkan hadith daripada Syadad bin Ausin (r.a) berkata hadith ini daripada Nabi (s.a.w) yang bersabda: ‘Orang yang pandai (atau bijak) itu adalah barangsiapa mengira-ngira pada dirinya (yakni, menghisab dunianya sebelum matinya) dan beramal dengan apa-apa sesudah matinya (yakni, menyiapkan sebanyak mungkin bekalan untuk akhiratnya), dan (orang) yang lemah adalah orang yang mengikuti dirinya (yakni, menghisab kesedapan dunianya), hawa nafsunya dan berangan-angan dia atas Allah (a.w) (yakni, tetap inginkan kerahmatan Allah (a.w) untuk mendapat syurga).’ Berkata at-Termidzi bahawa hadith ini hadith hasan (baik). 
Berkata (Syadad): ‘Dan makna (atau maksud) sabda Rasulallah (s.a.w) ‘Barangsiapa mengira dirinya’, bersabda (Rasulallah (s.a.w): ‘Mengira-ngira (atau menghitung) dirinya di dalam dunia sebelum bahawasanya dihisab (atau dihitung) akan dia pada hari Qiamat.’ 
Dan dilihatkan daripada Omar bin Khattab (r.a) berkata: ‘Hitunglah (atau hisablah) diri kamu sekelian sebelum bahawasanya dihitung (atau dihisab), dan menghiasi (yakni, diperlihatakan atau dipertunjukkan) (segala perlakuan semasa di dunia) pada hari perhimpunan agung (yakni, di padang makhsyar); dan sesungguhnya apa-apa yang seringan-ringan hisaban pada hari Qiamat (adalah) atas barangsiapa yang menghitung (atau menghisab) dirinya di dalam dunia.’ [Hadith at-Termidzi] 
Di dalam hadith ini Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita bahawa di padang makhsyar kelak setiap seseorang akan mempamirkan atau dipamirkan oleh Allah (a.w) segala perbuatannya atau amalannya di dunia untuk dipertontonkan oleh semua yang hadhir. Dan diberitahu oleh Rasulallah (s.a.w) bahawa sesiapa yang berusaha menghitung atau menghisab dirinya semasa masih hidup di dunia demi akhiratnya akan diringankan hisaban terhadap dirinya di akhirat kelak. 
Apakah pengajaran daripada hadith ini? Jadilah kita seorang yang bijak. Hitunglah sendiri amalan baik (pahala) dan amalan jahat (dosa) semasa kita masih hidup supaya dipastikan bahawa kita mengirim sebanyak yang mungkin amalan (yakni, memaksimumkan) yang baik untuk bekalan akhirat kita. Seseorang yang sentiasa menghitung dirinya pasti akan berwaspada supaya tidaklah dia mengirimkan dosa tetapi mengirim pahala untuk akhiratnya. Orang yang lemah itu pula sentiasalah dia mengira-ngira dunianya (yakni, kesenangannya, harta dan kekayaannya, kedudukan dan mertabatnya, dan lain-lain yang tinggi nilainya semasa di dunia), tidak dihiraukannya amalan dan ibadahnya (yakni, bekalan akhiratnya), tetapi dia mengharap atau menaruh harapan agar diberikan juga ganjaran terbaik baginya, yakni syurga, di akhirat nanti! 

Jazakallahu hairah

No comments:

Post a Comment