Assalamualaikum,
Saudara, kita teruskan penelitian kita mengenai tajuk di atas itu, supaya kita sentiasa beringat dan tidaklah kita tergolong dari kalangan mereka yg rugi dan membahayakan akhiratnya.
Terdapat banyak peringatan Allah (a.w) di dalam al-Quran mengenai peringatan supaya jangan terlalu mengutamakan dunia, sehingga lupa bersedia untuk akhirat yang lebih kekal. Semua yang kita miliki di dunia akan meninggalkan kita. Malah hak kita semasa di duniapun sekadar apa yang kita makan dan minum dan pakai atau gunakan. Apa-apa yang tidak dipakai dan digunakan walaupun hakikatnya milik kita, tetapi sebenarnya milik orang lain. Yang kekal menjadi milik kita dari harta kekayaan yang kita kumpulkan adalah apa yang kita zakatkan, sedekahkan dan infaqkan. Kesemua yang demikian itu akan mengalirkan kebaikan dan pahala di akhirat kelak. Zakat, sedekah dan infaq adalah pembersihan kepada rezki dan penghapus kepada dosa. Justeru itu, apa-apa harta dan kekayaan yang kita manfaatkan demi Islam (yakni, fi sabilillah) adalah akan baik untuk kita. Yang lainnya tidak berguna.
Maka dengan itulah Rasulallah (s.a.w) seringkali mengingatkan umatnya, umat Islam, bahawa sesiapa yang mengutamakan dunianya maka dia memfakirkan akhiratnya. Ini disebutkan di dalam banyak hadith, antaranya berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Aisyah (r.ah) berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Dunia ini rumah bagi orang yang tiada mempunyai rumah di akhirat, dan harta orang yang tidak berharta di akhirat, dan yang mengumpulnya hanya mereka yang tidak berakal (kerana pasti akan ditinggalkannya dan tidak akan menolongnya di akhirat).’ [Hadith Imam Ahmad]
Yang penting adalah akhirat. Mereka yang mengumpulkan harta dan kekayaann semasa di dunia sebenarnya memfakirkan dirinya di akhirat. Kerana, sering kali manusia yang kasihkan dan cintakan dunianya, akan pasti melalaikan akhiratnya. Malah dia akan melakukan serba sesuatu untuk menganianya dirinya di akhirat apabila dia mempebanyakkan usaha untuk dunia, berbuat segala sesuatu untuk dunia, melalaikan amal dan ibadah wajib dan sunatnya, dan menghabiskan masa, dan seringkali pula wang ringgitnya, untuk kenikmatan dunia, lupa dia akan tanggungjawabnya terhadap Allah (a.w) dan RasulNya dan manusia lainnya dan diabaikannya persiapan untuk hari akhiratnya.
Diriwayatkan hadith daripada Abu Musa asy-Syaari (r.a) berkata Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Sesiapa yang cintakan dunia berbahaya terhadap akhiratnya, dan sesiapa yang cintakan akhiratnya berbahaya terhadap dunianya, maka utamakanlah yang kekal (yakni, kehidupan akhirat) daripada yang fana (yakni, dunia) yang akan rosak binasa.’ [Hadith Imam Ahmad]
Nasihat Rasulallah (s.a.w) di atas itu amat penting kita yang Islam ini jadikan pedoman hidup setiap masa. Jika kita utamakan dunia pastilah tidak akan kita lakukan sesuatu untuk akhirat kita. Atau, kita sering lupakan tanggungjawab mengenai amalan dan ibadah, atau kita kerjakan sambil lewa atau tergesa-gesa. Sebaliknya, apabila kita utamakan dunia terabailah akhirat kita kerana kita melakukan pelbagai perbuatan dan perlakuan serta segala sesuatu untuk menikmati nikmat dunia yang mudah dirasai dan difahami. Walhal, nikmat akhirat adalah sesuatu yang ghaib dan sukar difahami bagi mereka yang jahil tentang akhiratnya dan bagi mereka yang sangsi tentang akhirat tersebut. Rasulallah (s.a.w) menasihatkan supaya kita yang Islam hendaklah utamakan yang kekal. Allah (a.w) menyebut dalam firmanNya pada Ayat 30, Surah an-Nahl: 'Dan negara akhirat itu lebih baik'.
Jazakallahu khairah
No comments:
Post a Comment