Friday, January 22, 2010

Hari Jum'at & Solat Jum'at: Keutamaannya

Assalamualaikum,
Hari ini adalah Hari Kebesaran umat Islam, yg akan datang seminggu sekali. Muslimin (i.e. lelaki Islam) akan hadhir di masjid untuk bersolat Jum'at, manakala Muslimat pula digalakkan mengerjakan pelbagai amalan dan ibadah bagi mengingatkan kebesaran dan keagungan Allah (a.w). Wanita Islam tidak bersolat Jum'at, kerana tidak ada sandaran nas dan dalil al-Quran dan as-Sunnah mengenainya. Muslimin (i.e. lelaki Islam) yg bersolat Jum'at tidak diperlukan lagi mengerjakan solat fardu (i.e. Zohor).
Hari Jum'at itu penting bagi Islam, terutama bagi mereka yg bersolat Jum'at kerana Imam akan memberi nasihat dalam Khutbah, menasihatkan umat Islam yg hadhir apakah mereka sudah menunaikan tanggung jawabnya sebagai ornag Islam seminggi yg lalu? Apakah mereka telah berusaha meningkatkan keimanan dan ketaqwaan mereka kepada dan terhadap Allah (a.w)?
Perintah Allah (a.w) mewajibkan umat Islam mengerjakan solat Jum’at itu disampaikan kepada Rasulallah (s.a.w) melalui wahyu. Rasulallah (s.a.w) membuat pengumuman mengenai syariat solat Jum’at itu melalui hadith qudsi berikut:
1. Diriwayatkan hadith daripada Jabir bin Abdullah (r.a) berkata: ‘Telah berkhutbah Rasulallah (s.a.w) pada suatu hari, dengan sabdanya: ‘Wahai sekelian manusia! Bertaubatlah kamu kepada Allah (a.w) sebelum sesungguhnya dimatikan kamu. Dan cepatlah kamu sekelian beramal soleh sebelum sebok kamu. Dekatkanlah antara kamu sekelian dan antara Tuhan kamu. Perbanyakkanlah ingatkan (yakni, berzikir dan sebagainya) oleh sekelian kamu kepadaNya. Dan perbanyakkanlah oleh sekelian kamu akan sedekah di dalam senyap-senyap (yakni, tanpa diketahui orang) dan secara terang-terang (yakni, diketahui oleh orang sekalipun tetapi tanpa perasaan riak diri), memberi rezki pada kamu (oleh Allah (a.w)) dan semoga ditolongNya kamu dan ditampalnya (kekurangan amalan dan pahala kamu kerana sedekah itu). Ketahuilah sesungguhnya Allah (a.w) telah memfardukan atas kamu sekelian solat Jum’at di dalam tempat ini, di dalam hari ini, di dalam bulan ini, dari tahun ini sehinggalah ke hari Qiamat. Maka barangsiapa meninggalkannya di dalam hidupnya atau sesudah tiada aku (yakni, setelah wafat aku), dan baginya (kamu diperintahkan oleh) Imam yang ‘adil ataupun menyeleweng (yakni, yang tidak adil atau zalim mereka)(terus mengerjakannya), (sesiapa yang) meremehkannya (yakni, mengambil ringan atas solat Jum’at itu), atau menentangnya (yakni, tidak mengerjakannya), maka tidak akan dikumpulkan oleh Allah (a.w) bagi mereka pada hari huruhara (yakni, hari Akhirat), dan tidak diberkati (oleh Allah (a.w)) dalam perkara-perkara ugamanya. Ingatlah, (mereka yang sedemikian itu, yakni, yang tidak mengerjakannya atau meremehkannya atau menentang syariat solat Jum’at itu) tidak diterima (oleh Allah (a.w)) solatnya, tidak zakatnya, tidak hajinya, dan tidak puasanya, dan tidak amalan baiknya sehingga dia bertobat. Maka barangsiapa bertobat dia, Allah (a.w) zat yang Maha Penerima Tobat atas kamu sekelian. Ketahuilah, tidak boleh seorang perempuan mengimamkan lelaki. Dan tidak boleh mengimamkan orang Arab (yang tidak beriman) orang-orang yang berhijrah (yakni, muhajir). Dan tidak boleh mengimamkan orang yang derhaka (yakni, orang yang banyak dosanya) akan orang yang beriman, kecuali dipaksa dengan menggunakan kekerasan (yakni, kekuasaan kerajaan, kerana khuatirkan pedangnya dan cemetinya)’. [Hadith Ibnu Majjah]
Hadith di atas ini merupakan khutbah pertama bilamana syariat solat Jum’at itu difardukan oleh Allah (a.w). Perintah Allah (a.w) tersebut disampaikan oleh Rasulallah (s.a.w) kepada para sahabat dan jema’ah Islam zaman itu (dan zaman kini sebagai lanjutan syariat solat Jum’at). Ketetapan yang disebutkan di dalam hadith tersebut melibatkan beberapa perkara. Dan, dalam ketetapan Rasulallah (s.a.w) tersebut, disebutkan beberapa ancaman besar terhadap umat Islam yang tidak mengerjakan atau meremehkan atau mengambil ringan solat Jum’at ini dari diamalkan olehnya. Antara yang wajib kita ingatkan adalah sekiranya kita abaikan dan ringankan solat Jum’at itu, kesemua amalan kita (fardu dan sunat) tidak diterima Allah (a.w), wal iyazubillah.
Cuba kita teliti satu persatu ketetapan dalam khutbah ini. Oleh kerana Rasulallah (s.a.w) hanya bercakap dengan panduan wahyu, maka ketetapan tersebut adalah ketetapan Allah (a.w).

Pertama, Solat Jum’at itu telah difardukan oleh Allah (a.w) sehinggalah terjadinya Qiamat (yakni, wajib dikerjakan, tetapi hanya kepada lelaki sahaja);

Kedua, barangsiapa yang tidak mengerjakan Solat Juma’atnya, atau yang mengambil ringan solat Jum’at itu, tidak dikumpulkan Allah (a.w) pada hari qiamat, yakni di padang makhsyar (yakni, terus dicampakkan ke dalam neraka);

Ketiga, barangsiapa yang tidak mengerjakannya atau meremehkan atau mengambil ringan Solat Jumat itu, tidak diberkati Allah (a.w) hidupnya dan tidak diterima Allah (a.w) kesemua amalannya, yang fardu mahupun yang sunat;

Keempat, mereka yang tidak mengerjakan Solat Juma’at itu tidak ditolong Allah (a.w) di hari Qiamat kelak (yakni, masuk neraka);

Kelima, di dalam perkara solat, orang perempuan tidak boleh megimamkan orang lekaki (yakni, menjadi imam dalam solat berjemaah); dan

Keenam, orang yang derhaka (pasiq), yakni ingkarkan perintah Allah (a.w), tidak boleh mengimamkan atau menjadi imam kepada orang yang taat dan beriman, kecuali dipaksakan berimam dengannya.

Di dalam hadith tersebut, Rasulallah (s.a.w) juga menasihatkan serta mengingatkan umat Islam beberapa perkara, iaitu:

Pertama, bertaubatlah sebelum mati dan Allah (a.w) itu Maha Penerima Taubat;

Kedua, bersegeralah membuat amal ibadat ketika senang sebelum datang kesibokan dunia;

Ketiga, beramallah untuk mendekati diri kepada Allah (a.w) dengan melakukan pelbagai amalan seumpama berzikir, berwirid, bersolat sunat, berpuasa sunat, membaca al-Quran, belajar syariat Islam, dan sebagainya;

Keempat, banyakkanlah sedekah (yakni, menginfaqkan sebahagian rezki yang dikurniakan oleh Allah (a.w) sama ada secara senyap atau diam-diam ataupun secara terbuka (asalkan tidak dengan niat menunjuk-nunjuk atau riak) fi sabilillah;

Kelima, sedekah menampal atau menutup atau mengkifarahkan dosa-dosa yang dilakukan semasa hidup; dan

Keenam, perbanyakkanlah berzikir mengingati Allah (a.w) sebagai tanda dan bukti bersyukur kepadaNya

[Nota: Hadith qudsi adalah hadith yang merujuk kepada firman Allah (a.w) yang disampaikan melalui lisan atau sabda Rasulallah (s.a.w). Ibnu Majah menyatakan bahawa isnad hadith ini dhaif, kerana salah seorang daripada perawi dalam urutan perawi tersebut tidak begitu terkemuka. Tetapi yang utama adalah panduannya. Jikalah hadith ini sebenarnya sahih, maka kita abaikan ketetapannya kitalah yang rugi. Sebagai panduan hidup amat wajar diteliti, hanya sebagai hukum kita tidak boleh sandarkan atas hadith ini. Namun ketetapan dalam hadith tersebut di sahkan oleh hadith-hadith lain, seperti Solat Jumat itu fardu, perempuan tidak boleh mengimami lelaki, bertaubatlah sebelum tiba waktu taubat tidak diterima, perbanyakkan amalan dan ibadah semasa senang, seringlah berzikir mengingatkan Allah (a.w), bersedah dan menginfaqkan harta, dan sedekah dan infaq itu mengikis dosa-dosa. Hanya orang Islam sahaja yang dikumpulkan di padang makhsyar untuk menerima Kitab atau Buku Catitan Amalannya untuk dihisab. Orang kafir terus dimasukkan ke dalam neraka tanpa dihisab. Maksudnya, jika tidak mengerjakan solat Juma’at jatuh kafir. Yang Islam, walaupun masuk neraka kerana dosa-dosanya, pasti akan mendapat syurga juga akhirnya, setelah dibersihkan dosa-dosanya semasa dalam neraka. Orang kafir sama sekali tidak mencium bau syurga. Tidak lama dahulu dilaporkan dalam akhbar bahawa seorang bekas pensyarah perempuan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), bukan warganegara Malaysia, telah mengimamkan suatu solat di sebuah masjid di Amerika Syarikat. Terdapat lelaki menjadi sebahagian makmumnya. Jelaslah perbuatan tersebut telah melanggar ketetapan as-Sunnah, yakni ketetapan Alah (a.w). Di dalam sepotong hadith lain, Rasulallah (s.a.w) membuat ketetapan bahawa solat fardu itu wajib dijemaahkan. Dan, tidak salah yang menjadi imam solat tersebut orang yang jahat, atau orang yang sering melakukan dosa-dosa besar sekalipun, dibolehkan orang yg baik-baik bermakmum kepadanya.]
Yg penting diingatkan di sini adalah walaupun Ibnu Majah menyebutkan 'kedhaifan' hadith ini kerana status seorang perawinya, namun kita semua maklum bahawa Solat Jum'at itu telah diwajibkan atas kita mengikut firman-firman Allah (a.w) dalam Surah aj-Jumu'ah.
Di dalam al-Quran kita dapati ada satu surah yang khusus dinamakan Surah al-Jumuah (Jum’at) dalam mana diceritakan turunnya ayat mencela umat Islam yang meninggalkan Rasulallah (s.a.w) yang sedang membaca khutbah Jum’at kerana mereka ingin melihat barangan dagangan yang dibawa kabilah dagang yang sampai ke kawasan masjid ketika itu, khususnya ayat berikut:
2. Firman Allah (a.w):'Ya aiyuhallazi na amanu iza nudiati solati min jum’ati fas’au illa zikrillahi wa zarul ba’i; zalikum khairul lakum in kuntum ta’lamuna @ Faiza qudiatis solatu fantasyiru fil ardhi wabtaghu min fadlilahi wazkurullaha kathiral la’allakum tuflihuna @ Waiza ra atu tijaratan au lahyanin faddu ilaiha wa tarakuka qaima; qul ma ‘indallahi khairum minal lahwi wa minat tijarati; wallahi khairur raziqina.'[Maksud: Wahai orang-orang yang beriman! Ketika dipanggil (yakni, diazankan) solat Jum’at maka hendaklah bersegera kamu mengingatkan Allah (a.w) (yakni, pergi ke masjid untuk bersolat) dan tinggalkanlah jualbeli (atau dagangan, yakni urusan dunia). Demikian itu (kelakuan) lebih baik bagi kamu jika kamu adalah orang yang mengetahui (keutamaan solat Jum’at itu). Maka ketika selesai solat maka bertaburanlah kamu di bumi Allah (a.w) mencari kurniaan Allah (a.w) (yakni, mencari rezki), dan hendaklah kamu bersyukur sebanyak-banyaknya (tentang kurniaan Allah (a.w), termasuk rezki), mudah-mudahan kamu mendapat kejayaan (dunia dan akhirat). Dan ketika melihat kamu akan dagangan (yang banyak dipaparkan kepada kamu) atau keseronokan dunia maka kamu bergegas mendapatkannya sambil kamu bangun dan berdiri; katakanlah olehmu wahai Muhammad (s.a.w) apa-apa yang ada di sisi Allah (a.w) itu lebih baik daripada kelalaian (yakni, keseronokan dunia dari mengingatkan Allah (a.w)) dan jualbeli (atau dagangan); dan bahawasa sesungguhnya Allah (a.w) itu adalah zat dan Maha Baik memberi rezki kepada kamu.] [Ayat 9 hingga 11, Surah al-Jumu’at]
Manusia itu sering mengutamakan dunianya berbanding akhiratnya. Dalam kes yang disebutkan oleh Allah (a.w) di dalam surah tersebut, jemaah yang sedang mendegar Rasulallah (s.a.w) berkhutbah, apakala mendengar riuh rendah kabilah dagangan sampai ke masjid membawa dagangan yang banyak, para jemaah, kecuali 12 orang, meninggalkan beliau di atas mimbar kerana ingin melihat apakah dagangan yang dibawa oleh kabilah dagangan tersebut. Maka turun ayat ini mencemoh perbuatan umat Islam (yakni, jemaah) yang berbuat sedemikian serta memperingatkan mereka yang tidak berbuat sedemikian.
Hari ini kita dapati ramai umat Islam yang berjualbeli di pagi Jum’at sehingga sampai imam berkhutbah meraka masih berjual beli. Perlakuan mereka itu samalah dengan perbuat kaum Arab pada masa turunnya ayat-ayat tersebut. Mereka juga merupakan manusia yang remehkan ketetapan Allah (a.w) dan tidak mensyukuri nikmat Allah (a.w). Malah boleh ditafsirkan sebagai ingkarkan perintah Allah (a.w) supaya berada di masjid mendengar khutbah. Ramai orang Islam kerugian pada hari Jumat apakala mereka tidak menyiapkan dirinya sebaik mungkin untuk ke mesjid bersolat. Khutbah Jumat adalah sebenarnya sebahagian daripada solat Jum’at. Tidak wajar diremehkan dan abaikan.]
Elok kita teliti selanjutnya ketetapan as-Sunnah mengenai keutamaan hari Jum’at dan solat Jum’at itu seterusnya. Cuba kita lihat hadith berikut.
3. Diriwayatkan hadith daripada Ibnu Abdil Munzir (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Nabi (s.a.w): ‘Sesungguhnya hari Jumat itu adalah Penghulu segala hari (Saidul Aiyam), dan lebih diagungkan di sisi Allah (a.w). Dan lebih besar di sisi Allah (a.w) dari Hari Raya Qurban dan Raya Puasa. Di dalam hari itu ada lima perkara penting (berlaku). (pertama) Keluar Adam (a.s) dari syurga. Dan (kedua) diturunkan Allah (a.w) Adam (a.s) ke bumi pada hari itu. Dan (ketiga) pada hari itu juga Adam (a.s) dimatikan. Dan (keempat) pada hari itu ada waktu tidak diminta oleh hambanya daripada Allah (a.w) sesuatu kecuali diberikanNya, selagi tidak dimintanya apa-apa yang haram. (Dan, kelima) Pada hari itu didirikan Qiamat. Barangsiapa dari golongan malaikat yang dekat dengan Allah (a.w), dan tidak langit, dan tidak bumi, dan tidak angin, dan tidak gunung, dan tidak laut kecuali kesemuanya khuatir (yakni, takut) dari hari Jum’at itu.’ [Hadith Ibnu Majah]
Di dalam hadith di atas itu Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita beberapa keistimewaan hari Jum’at itu, seperti yang disebutkan di atas. Selain menjelaskan mengapa hari Jum’at itu penting kepada Allah (a.w) dan pada umat Islam dan ugamanya.
Elok kita teliti selanjutnya ketetapan as-Sunnah menegnai keutamaan hari Jum’at dan solat Jum’at itu seterusnya. Cuba kita lihat hadith berikut. Hadith ini menjelaskan bahawa dalam Islam (yakni, syariat Islam itu), Solat Jum’at itu lebih utama daripada dua hari raya, iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha. Kerana, lbanyak peristiwa penting dalam Islam berlaku (dan akan berlaku) pada hari Jum’at:

1. Hari Jum’at itu paling utama pada Allah (a.w);

2. Hari Jum’at itu digelar ‘saidul aiyam’, atau ‘penghulu segala hari’;

3. Nabi Adam (a.s) di keluarkan dari Syurga dan diturunkan ke Dunia[1] pada hari Jum’at;

4. Diwafatkan Nabi Adam (a.s) pada hari Jum’at;

5. Pada hari itu ada ketika yang mustajab doa kerana diberikan atau dimakbulkan oleh Allah (a.w) sesuatu yang diminta oleh hambaNya yang berdoa waktu atau ketika tersebut;

6. Qiamat itu berlaku pada hari Jum’at; dan

7. Oleh kerana itu, hari itu digeruni oleh langit, bumi, angin, gunung dan lautan (yakni, segala makhluk Allah (a.w)) kerana akan berlaku Qiamat pada hari Jum’at.
[Nota: Di dalam hadith lain disebutkan bahawa Nabi Adam (a.s) dijadikan pada hari Jum’at (yakni, rohnya dimasukkan ke dalam jasadnya pada hari Jum’at).]
Hadith di bawah ini pula menjelaskan bahawa digesa dan digalakkan seseorang itu sering berselawat ke atas Nabi (s.a.w) supaya di hari Akhirat kelak (khususnya di padang mahsyar) mendapat pertolongan Nabi (s.a.w) dan syafaat beliau.
4. Diriwayatkan hadith daripada Syadad bin Ausin (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Sesungguhnya dari kefadhalan dalam hari-hari kamu adalah hari Jum’at. Pada hari itu dikeluarkan Adam (a.s) (dari Syurga). Dan, pada hari itu ditiupkan Sangka kala pertama. Dan, padanya ditiupkan sangka kala kedua pengsan segala makhlok. Maka memperbanyakkanlah kamu sekelian akan selawat atasku padanya; sesungguhnya selawat-selawat kamu akan didatangkan kepadaku pada hari Qiamat.’ Maka berkata seorang lelaki: ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Bagaimana didatangkan selawat atasmu dan sesungguhnya setelah wafat engkau?’ Maka menjawab Rasulallah (s.a.w): ‘Sesungguhnya Allah (a.w) sungguh telah mengharamkan akan bumi sungguh memakan jasad para Nabi (yakni, jasad para nabi tidak reput oleh tanah).’ [Hadith Ibnu Majjah]
Hadith di atas ini menjelaskan beberapa aspek lain mengenai keistimewaan hari Jum’at itu, iaitu:

· Nabi Adam (a.s) dikeluarkan dari syurga;

· Sangkakala pertama (yang mematikan semua makhlok) ditiupkan pada hari Jum’at; dan

· Sangkakala kedua juga (yang menghidupkan semua makhlok) ditiupkan pada hari Jum’at.

Selain itu, hadith ini menyebutkan bahawa Rasulallah (s.a.w) menyuruh umat Islam memperbanyakkan selawat ke atas beliau pada hari Juma’at, kerana selawat itu akan didatangkan kepada Rasulallah (s.a.w) di padang makhsyar kelak. Mereka yang berselawat berpeluang mendapat syafaat Rasulallah (s.a.w). Di dalam hadith tersebut disebutkan bahawa jenazah para rasul dan nabi tidak dimakan oleh bumi, yakni tidak hancur atau reput. Di dalam hadith lain disebutkan bahawa tempoh sangkakala pertama dengan sangkakala kedua itu adalah selama empat puluh (40) tahun. Jadi, semua yang hidup akan meraai berada di dalam alam barzah. Melainkan manusia yang terlarangmendapat syafaat Rasulallah (s.a.w) yang disebutkan di dalam beberapa ayat dalam al-Quran, termasuk Surah al-Kauthar (Ayat ketiga) dan ketetapan beberapa hadith yang telah kita muatkan dalam post yg lalu. Kita pernah mendengar cerita-cerita bahawa ada orang alim ulama’ yang mati lama dahulu tetapi apabila digali kuburnya di dapati jenazah mereka masih tidak berubah, yakni tidak reput, wallahu 'alam. Kata orang, mereka itu orang yang alim dalam Islam, wallahu ‘alam. Hadith ini menjelaskan bahawa dalam Islam (yakni, syariat Islam itu), hari Jum’at itu lebih utama daripada dua hari raya, iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha. Kita telah lihat beberapa peristiwa penting Islam berlaku pada hari Jum'at. Oleh kerana kiamat berlaku pada hari Jum'at, semua makhlok Allah (a.w) akan gentar menunggu kedatangan hari Jum’at itu. Tapi manusia bagaimana? Ramai umat Islam, khususnya orang Melayu, tidak mengendahkan hari Jum’at dan lebih-lebih lagi solat Jum’at.]
Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment