Sunday, January 3, 2010

Solat: Cara Rasulallah (s.a.w) bersolat (Samb.)

Assalamualaikum,
Sujud mengikut as-Sunnah (Sambungan)
Kita teliti lagi panduan tambahan bagaimana Sujud mengikut as-Sunnah itu dengan meneliti hadith-hadith berikut pula:
1. Telah diriwayatkan hadith daripada Abdullah bin Iqram al-Khuzai (r.a) katanya: ‘Adalah aku beserta bapaku di tempat bernama Qa’ daerah tempat Samurat, di dalam itu maka lalu sedikit daripada kenderaan, maka tiba-tiba Rasulallah (s.a.w) berdiri solat dia’. [Kata Abdullah:] ‘Maka aku memandang kepada warna lebuh (yakni, bahagian) dua ketiak Rasulallah (s.a.w) pada masa Ruku’nya kerana tiada berapa dibukanya (yakni, direnggangkannya sedikit sahaja) dua sikunya waktu Ruku’ itu. Apabila Sujud ia aku lihat putih ketiaknya (kerana lebih terbuka, yakni, lebih besar direnggangkannya) dua sikunya daripada waktu Ruku.’ [Hadith sahih at-Termidzi]
Hadith di atas memberitahu kita kaedah Ruku’ dan Sujud Rasulallah (s.a.w). Semasa Ruku’ direnggangkannya sedikit kedua tangannya supaya ternampak sedikit bahagian ketiaknya. Semasa Sujud dibesarkan lagi renggang kedua tangannya daripada tubuh atau perutnya. Kita telah sentuh serba sedikit larangan Rasulallah (s.a.w) bahawa semasa Sujud, jangan kita menghamparkan tangan atau lengan ke tempat solat (sebagaimana seekor anjing meletakkan lengannya kebumi semasa tidur atau baring). Ini dijelaskan di dalam sepotong hadith berikut:
2. Diriwayatkan oleh Jabir (r.a): ‘Bahawasanya Nabi (s.a.w) telah bersabda: ‘Apabila Sujud seorang daripada kamu maka hendaklah betulkan didalam Sujudnya dan jangan hamparkan dua lengannya sebagaimana anjing menghampar lengannya di bumi (yakni, ketika anjing itu tidur).’ [Hadith sahih at-Termidzi].
Kita bayangkan bagaimana seekor anjing itu baring. Bila kita lihat anjing tidur ia akan meletakkan lengannya ke bumi supaya tapak tangan, lengan dan sikunya selari (parallel) dengan permukaan bumi. Mungkin kita pernah ternampak orang berbuat sedemikian. Kerana kejahilan ilmu as-Sunnah, kita akan terlihat perbuatan sedemikian di kalangan orang yang pada luarannya nampak berilmu dalam ugama Islam, melakukannya.
3. Diriwayatkan hadith daripada Anas (r.a) berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Sempurnakanlah Sujud kamu dan jangan bentangkan (atau hamparkan) dua (lengan) tangan (yakni, lengan) kamu seperti tiarap anjing.’ [Hadith Muslim]
4. Diriwayatkan hadith daripada Barra’ (r.a) berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Ketika Sujud kamu maka letakkanlah dua telapak tangan kamu dan angkat (atau renggangkan) kedua siku kamu (dari tubuh).’ [Hadith Muslim]
5. Diriwayatkan hadith daripada Said bin Abi Wakas (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Nabi (s.a.w) menyuruh dia (yakni, Said) dengan menghampar kedua (telapak) tangannya dan mendiri akan hujung kakinya pada Sujud, [yakni didirikan jari-jari kakinya semasa Sujud itu] [Hadith sahih at-Termidzi].
6. Diriwayatkan hadith daripada Abdullah bin Malik (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) adapun ketika solat direnggangnya kedua-dua sikunya sehingga kelihatan putih ketiaknya.’ [Hadith Muslim]
Hadith-hadith di atas menjelaskan bagaimana kaedah atau cara Sujud atau kedudukan atau letak anggota-anggota Sujud itu, khususnya tangan atau lengan. Di dalam hadith berikut disebutkan oleh Rasulallah (s.a.w) bahawa semasa Sujudlah manusia itu paling hampir dengan Tuhan mereka.
7. Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Sedekat-dekat hamba kepada Tuhannya, (ketika) dia Sujud. Maka perbanyakkanlah doa (ketika Sujud).’ [Hadith Muslim]
Hadith ini menjelaskan bahawa manusia itu paling hampir kepada Tuhannya ketika mereka Sujud semasa solat. Oleh yang demikian, Rasulallah (s.a.w) menyuruh membanyakkan berdoa ketika Sujud. Kita akan teliti beberapa doa yang dibaca oleh Rasulallah (s.a.w) semasa Sujud.
Yg utama kita perhatikan ketika Ruku' dan Sujud itu adalah kedua-dua tangan kita. Ketika Ruku' tidaklah direnggangkan sangat, maka dengan itu hanya kelihatan sedikit sahaja bahagian ketiak kita, manakala ketika Sujud itu kita renggangkan kedua-dua tangan (i.e. lengan) kita supaya renggang dari tubuh kita, dan boleh kelihatan bahagian kedua-dua ketiak kita.
Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment