Tuesday, January 12, 2010

Pelaburan untuk akhirat

Assalamualaikum,
Saudara, hari ini dunia kelihatan segala-galanya bagi kita manusia, termasuklah orang Islam. Orang yg kaya dan berharta dengan lagaknya, yg miskin dengan caranya untuk mendapat pendapatan lebih sehingga membuat dua atau tiga kerja sehari sehingga terlupa untuk mengerjakan solat dan membiarkan anak-anak remaja mereka bebas tanpa panduan dan bimbingan. Orang politik pula dengan karenahnya mencari kekayaan dengan berbagai cara sehinggakan terlupa tanggungjawabnya membantu semua bukan membela kroni mereka. Para ustaz dan ilmuwan Islam pula, yg diberi tugas mengimarahkan ugama dan mengilmukan manusia supaya terhapus kejahilan terhadap ugama, meninggalkan jawatan kerajaan yg gajinya 'sedikit', mencari peluang untuk mendapat bayaran berceramah yg tinggi dan lumayan, supaya dapat hidup mewah, berkereta dan rumah besar. Berbagai-bagailah lagi lagak manusia dalam mengejar dunia. Kebanyakan manusia, tidak kira siapa dia, taraf dan kedudukan mana dia dalam masyarakat, sering lupa bahawa yg hidup akan mati dan kematian menjemput manusia tanpa mengira kedudukan dan tanpa mengira umur!
Apabila mati seorang manusia itu, sabda Rasulallah (s.a.w), akan terputuslah peluang baginya untuk menyediakan diri untuk akhirat mereka, yg ada hanyalah amal dan ibadah yg telah dikerjakan sepanjang hidupnya. Yg dapat membantunya dalam alam akhirat, selain amal dan ibadahnya semasa hidupnya, jika amalan tersebut diterima Allah (a.w), adalah tiga perkara berikut: [Nota: Amal dan ibadah yg diterima Allah (a.w) hanyalah yg menepati ketetapan Allah (a.w) dalam al-Quran dan ketetapan Rasulallah (s.a.w) dalam as-Sunnah.]

1. Sedekah jariah, i.e. segala sesuatu yg dibelanjakannya untuk membela ugama Allah (a.w) dan membantu manusia dhaif yg memerlukan bantuannya. Termasuklah dalam kategori ini, selain zakat yg dikeluarkannya, infaqnya kerana ugama dan umat Islam;

2. Ilmu mengenai Islam dan syariatnya yg diajarkannya kepada manusia yg diamalkan oleh mereka sebagai panduan hidup serta panduan ibadah dan amalan mereka, i.e. ilmu yg memanfaatkan manusia; dan

3. Doa anak-anaknya yg soleh yg mendoakan kesejahteraan kedua ibubapanya setelah mati kedua-duanya.

Itulah pelaburan akhirat yg dapat memanfaatkan kita sekiranya kita 'laburkan' semasa kita masih hidup.

Saudara, hari ini berapa ramaikah antara kita yg telah membuat pelaburan untuk akhirat? Kita terbaca seringkali bagaimana mereka yg disenaraikan orang yg berharta (i.e. hartawan) dan orang yg mewah hidupnya (i.e. kaya dengan wang ringgit) menderma pada masa-masa ritual tertentu. Malangnya mereka hebah-hebahkan perbuatan sedemikian - mungkin bukan disengajakan dan mungkin disengajakan untuk mendapt sokongan mereka yg berkuasa dan berpengaruh seumpama 'pelaburan dunia' untuk mendapat sesuatu yg lebih banyak. Dengan itu yg dibelanjakan menjadi pelaburan dunia kerana akan menghasilkan pula pulangan dunia jauh lebih banyak dan berbagai dari segi projek, pangkat dan gelaran pula!
Ada para ilmuwan yg mengajarkan manusia di universiti, kolej dan seumpamanya merasa selesa kerana telah melabur untuk akhirat dari segi mengilmukan manusia untuk menjadi manusia yg berjaya di dunianya! Mereka anggapkan itu adalah ilmu dalam konteks sabda Rasulallah (s.a.w) di atas. Dalam blog ini kita telah teliti bahawa ilmu yg wajib diajarkan dan dipelajari oleh manusia dalam konteks Islam adalah ilmu al-Quran dan ilmu as-Sunnah. Hanya ilmu yg dua itu mendapat ganjaran sebagai pelaburan akhirat kita. Kerana pada Allah (a.w) dunia ini tiada nilai bagiNya. Yg ada nilai hanyalah Akhirat, yg lebih baik dan lebih kekal. Maka dengan itulah yg dimaksudkan 'ilmu yg memanfaatkan' adalah dua ilmu tersebut. Berapa ramaikah para ulama' dan ilmuwan Islam yg berilmu telah berusaha mengilmukan manusia supaya terhapus kejahilan dan supaya terpandu dalam amal dan ibadah mereka serta terpandu dunia mereka? Tak ramai. Kalau adapun mereka seolah-olah memperdagangkan ilmu Allah (a.w) demi 'maisya' dunia mereka! Menyampaikan ilmu apabila dibayar. Menulis buku untuk jualan dengan harga yg mahal! Menulis kitab dan buku bertentangan dengan ketetapan al-Quran dn as-Sunnah.
Justeru itu, dalam konteks sedekah jariah (i.e. infaq dan sumbangan), tidak mendapat apa-apa. Tambahan pula apabila diselubungi dengan niat selain fi sabilillah atau lebih tepat dengan niat selain 'wa-yarjuna rahmatahu, wa-yahafuna 'azabahu' (Maksud: Kerana mencari kerahmatan Allah (a.w) dan takutkan azab Allah (a.w)] [Ayat 57, Surah al-Isra'] yg menentukan keikhlasan sesuatu ibadah dan amalan. Dalam konteks ilmupun, tidak kemana kerana yg diajarkan tidak menepati ketetapan Allah (a.w) dalam al-Quran dan ketetapan Rasulallah (s.a.w) dalam as-Sunnah. Ramai diantara kita yg silap mentafsirkan ilmu ini. Ilmu yg kita ajarkan berguna untuk dunia, tetapi tiada nilai untuk akhirat.
Apabila kita lihat pula isu doa anak-anak yg soleh pula kita juga ketandusan! Kerana, berapa ramaikah diantara kita yg telahpun menyediakan anak-anak kita untuk menjadi orang yg soleh dan solehah? Kita sendiri belum tentu orang soleh atau solehah. Ramai ibu bapa tidak memiliki ilmu yg cukup untuk menjadi orang yg soleh. Menyedari hakikat bahawa kita jahil tentang Islam, kita tidak pula mencari orang lain yg berilmu untuk mengajarkan ilmu kepada anak-anak kita supaya, dengan ilmu, mereka boleh menjadi orang yg soleh. Anak-anak yg soleh adalah mereka yg mengerjakan solat dan segala perintah dalam Rukun Islam, menghormati kedua ibubapanya tertib hidupnya dan baik akhlaknya. Hanya anak-anak yg mematuhi Rukun Islamnya dan Rukun Imannya sahaja berpotensi dikira anak-anak yg soleh. Maka, dengan itu, doa mereka baik untuk kita. Namun, berapa lama? Anak-anak kita akan hidup tak lebih dari 60 atau 70 tahun pula. Lepas itu, terputuslan kebaikan dari doanya.
Yg paling utama bagi orang Islam dalam konteks pelaburan untuk akhirat ini adalah ilmu. Ilmu mengenai al-Quran dan as-Sunnah yg membolehkan kejahilan terhapus dan ibadah serta amalan menepati ketetapan Islam serta kehidupan dunia manusia yg Islam itu terpandu, dan menepati ketetapan Allah (a.w) dan ketetapan Rasulallah (s.a.w), adalah pelaburan terbaik bagi setiap kita. Kerana ilmu itu ada 'multiplier effects'. Disini, kita hairan mengapakah agaknya mereka yg bergelar ulama' dan ilmuwan tersohor dalam Islam tidak mengambil kesempatan melabur untuk akhirat mereka, walhal mereka memiliki persiapan yg cukup?
Bagi kita orang biasa, ilmu kita mengenai Islam mungkin tidak sebanyak mana. Tapi kita tidak kedekut ilmu. Tapi orang yg berilmu yg diberi pula kedudukan dalam ugama tidak bersungguh-sungguh memanfaatkan ilmu yg ada padanya. Lebih teruk lagi, mereka tidak pula menggalakkan orang lain yg berilmu menyebarkan ilmu mereka. Malah, mereka melakukan segala sesuatu untuk menghalang ilmu disebarkan dengan mewujudkan pelbagai batasan dan halangan. Sepatutnya, mereka meneliti ilmu mereka yg ingin secara sukarela menyampaikan ilmu. kerana dengan mempermudahkan sesuatu yg baik, mereka juga akan dipermudahkan oleh Allah (a.w) di akhirat kelak. Selain itu, mereka juga dapat imbasan pahala dari kerja-perja pengilmuan orang lain! Mereka, secara tidak langsung, bersama-sama melabur untuk akhirat mereka, walaupun secara tidak langsung.
Hakikatnya adalah 'hidayah'. Soal hidayah ini amat utama dalam Islam. Kita mungkin dilahirkan Islam tetapi 'hidayah Islam' itu mungkin belum sampai kepada kita. Maka dengan itu kita tidak dapat melihat sesuatu yg menguntungkan kita dalam segala tindak tanduk kita. Bagi mereka yg diberi Allah (a.w) hidayah mereka faham dan mereka tidakpun persoalkan usaha murni orang-orang yg secara sukarela berdakwah, kerana usaha mereka tersebut membantu dan meringankan tanggungjawab mereka juga. Tambahan pula ada kalanya mereka yg ingin membantu secara sukarela itu memiliki ilmu yg haq dan lebih faham tentang Islam berbanding mereka sendiri.
Begitulah lumrah kehiduapan dunia. Manusia tidak nampak kebaikan walaupun di depan mata mereka. Begitu jugalah apabila manusia itu buta mata hati. Begitulah juga apabila manusia itu mudah berprangsangka buruk terhadap orang lain atau usaha murni orang lain....
Semoga ramai diantara kita dicelikkan demi kebajikan masa depan kita, terutama masa depan akhirat kita, insya Allah. Amin
Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment