Wednesday, January 6, 2010

Doa - Cara dan Adab (Sambungan ...)

Assalamaualaikum,
Dalam post sebelum ini kita telah teliti firman Allah (a.w) dan sabda Rasulallah (s.a.w0 kaedah dan ketertiban berdoa.
Empat hadith yg kita teliti sebelum ini adalah sebahagian daripada nas dan dalil al-Hadith, menjelaskan lagi bagaimana sewajibnya kita berdoa itu. Apabila kita teliti dan halusi, hadith-hadith tersebut memberikan kita suatu sinario bahawa amalan conventional sekarang ini, iaitu berdoa beramai-ramai dan dengan suara yang lantang atau menyanyi pula, tidak terdapat dalam as-Sunnah. Apakah nasihat atau ketentuan Rasulallah (s.a.w) di dalam hadith-hadith tersebut?

1. Mengikut hadith pertama dan kedua, hendaklah kita berdoa dengan menyebut kalimah doa dengan suara yang perlahan-lahan seolah-olah sebagaimana orang yang meminta-minta dengan lemah lembut;
2. Hendaklah berdoa dengan suara perlahan, lebih baik dengan suara hati yang tidak diketahui oleh orang lain, mendapat ganjaran pahala tujuh puluh (70) kali ganda berbanding berdoa dengan bersuara kuat dan lantang;
3. Cara berdoa yang lebih afdhal atau lebih baik adalah berdoa tanpa diketahui oleh orang lain; dan
4. Hendaklah kita sentiasa ingat bahawa kita berdoa kepada Zat yang sentiasa hampir dan boleh mendengar walaupun tidak dibunyikan dengan suarapun, iaitu Allah (a.w) itu adalah zat yang Maha Mendegar.

Dengan itu, apabila kita teliti peradaban orang Melayu berdoa sekarang ini, jelaslah kita melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w). Bukan sahaja ketika berdoa kita bersuara lantang lagi kuat. Terkadang seolah-olah memaksa pula. Di dalam ketentuan Allah (a.w) dan RasulNya tentang cara dan kaedah berdoa itu, tidak ada nas dan dalil yang menyebutkan bahawa seorang membaca zikir, wirid atau doa dan yang lain mengaminkannya; kecuali doa dalam solat! Tambahan pula, zaman ini dengan pembesar suara (amplifier), maka lagi kuatlah bunyi doa tersebut. Tidaklah menepati ketetapan dan syarat-syarat yang disebutkan oleh Allah (a.w) dalam firman-firmanNya di atas itu. Tetapi, ulama’ sekarang akan berkata bahawa di zaman serba moden ini dengan kecanggihan teknologinya, maka diharuskan. Tambahan pula, kata mereka, jemaah atau makmum begitu ramai jika tidak digunakan pembesar suara (amplifier), maka tidak kedengaranlah doa imam!
Adakah kita secara langsung atau tidak langsung menyatakan bahawa ketentuan Allah (a.w) dan RasulNya itu tidak lagi sesuai di zaman ini? Soalnya: adakah kita disuruh berdoa beramai-ramai? Yang pasti, kita diberitahu melalui hadith di atas, bahawa berdoa dengan suara merendah diri dan nada suara yang lembut. Tambahan pula, jika berdoa dengan suara yang lembu mendatangkan ganjaran pahala 70 kali ganda atau keberkatan doa kita itu! Malah oleh kerana doa itu satu ibadah, maka membuat sesuatu yang tidak dibuat atau diajarkan atau dibawa oleh Rasulallah (s.a.w), yakni membuat ‘pembaharuan dalam perkara ugama’ atau ‘bid’ah’, memcacatkan (otak) ibadah kita. Rasulallah (s.a.w) mengingatkan kita bahawa: Ambillah daripada aku cara mengerjakan segala bentuk ibadah dan amalan. Jika Rasulallah (s.a.w) berdoa dengan suara yang lembut, dengan rasa rendah dan kecil (atau, kerdil) diri, dengan penuh rasa mengharap kepada Allah (a.w) serta rasa penuh bimbang dan curiga kalau-kalau tidak diendahkan oleh Allah (a.w), maka itulah contoh yang wajib kita ikuti. Kalaulah Rasulallah (s.a.w) orang yang telah dibersihkan dari apa jua dosa berbuat sedemikian, mengapakah kita yang begitu banyak doa berbuat sebaliknya pula? Masakan Allah (a.w) perkenankan atau kabulkan doa kita! Jika tidak sedemikian, besar kemungkinan kita melakukan sesuatu yang ditegah oleh Rasulallah (s.a.w). Jika demikian maka amalan sedemikian tergolong dalam istilah ‘bid’ah’ pula. Kalau pula sudah diberitahu oleh Rasulallah (s.a.w) kita masih ketepikan suruhan beliau, maka kita mungkin sekali tergolong sebagai orang yang sombong dan bongkak. Setelah dinasihatkan, meremehkan nasihat. Walhal kita disuruh Allah (a.w) di dalam al-Quran supaya ikuti atau patuhi suruhan Rasulallah (s.a.w), dan jika kita kasihkan Allah (a.w), maka kita hendaklah ikuti Rasulallah (s.a.w) sebagi model dalam segala urusan. Implikasi melakukan perbuatan ‘bid’ah’ itu diperjelaskan dengan panjang lebar dalam Bab 14 Kitab Kuliah Hadith ini. Dan, implikasi kepada sifat-sifat kesombongan dan ketakburan pula adalah seksaan dalam neraka dan tidak mendapat syurga, wal iyazubillah.
[Nota: Jika kita berkesempatan memerhatikan amaln ahli as-sunnah wal-jamah, kita akan dapati selepas bersolat jemaah (solat wajib, kerana solat sunat tidak dijemaahkan), imam dan makmum berzikir, berwirid dan kemudian berdoa tanpa mengeluarkan suara dengan menadah kedua telapak tangan terbuka ke atas. Mereka memohon kepada Allah (a.w) segala sesuatu hajat dihati mereka tanpa diketahui oleh orang lain (dan, dengan cara itu, tidak menjejaskan kekhusyukan orang lain dalam berdoa). Tambahan pula di tempat solat –masjid atau surau – akan ada ahli jemaah lain yang tidak dapat bersolat sama, kerana sesuatu urusan kelambatan, maka mereka perlu solat. Berwirid dan berzikir serta berdoa dengan suara keras mengganggu kekhusyukan mereka mengerjakan solat mereka.]
[Nota: Di dalam sepeotong hadith yang telah ita rujuk di atas, doa itu adalah otak kepada ibadah.
Jazakalalahu khairah

No comments:

Post a Comment