Sunday, January 3, 2010

Solat: Cara Rasulallah (s.a.w) bersolat (Samb.)

Assalamualaikum,
Bacaan Tasbih ketika Duduk antara Dua Sujud
Kita teruskan penelitian kita tentang Duduk antara Dua Sujud, khususnya Tasbih yang dibaca oleh Rasulallah (s.a.w), mengikut apa yg ditunjukkan oleh Rasulallah (s.a.w) dalam as-Sunnah.
Perkara-perkara yang utama adalah isu:

§ Tama’ninah (berdiam sebentar secara sempurna);
§ Kaedah duduk semasa duduk di antara dua Sujud (yakni, bagaimana cara duduk Rasulallah (s.a.w)); dan
§ Tasbih semasa duduk di antara dua Sujud (yakni, apakah kalimah yang dibaca oleh Rasulallah (s.a.w)?).

Kita sering diperingatkan oleh para ulama’ bahawa pada setiap rukun fe’li (perlakuan atau perbuatan) dalam solat itu, perlu ada tamaninah, yakni berhenti sebentar atau seketika, sebelum meneruskan rukun yang lain.
[Nota: Berhubung perkara tama’ninah semasa Ruku’, Sujud dan Duduk antara dua Sujud itu, berapa lamakah perlu mengikut as-Sunnah? Berpandukan sepotong hadith berikut, kata al-Barra’ sama sahaja masanya untuk Ruku’, Sujud dan Duduk di antara dua Sujud itu:
1. Diriwayatkan hadith daripada al-Bara’ bin ‘Azib (r.a.), Nabi (s.a.w) berbuat seperti katanya: ‘Adalah solat Rasul (s.a.w) itu apabila Ruku’ dia, dan apabila mengangkat kepalanya daripada Ruku’, yakni Iktidal dia, dan apabila Sujud dia, dan apabila mengangkat akan kepalanya daripada Sujud, yakni duduk di antara dua Sujud dia, maka empat perkara itu hampir bersamaan panjang masa perhentian kesemuanya.’ [Hadith sahih at-Termidzi]
Jika kita teliti perlakuan orang Islam semasa melakukan duduk di antara dua Sujud, kita pasti dapat lihat kepelbagaian perbuatan, cara dan kaedah. Bagaimanakah perlakuan Rasulallah (s.a.w) selaras dengan suruhan beliau: ‘Sollu kama ra-aitumuni usalli' [Hadith Bukhari] itu? Hadith menyebutkan supaya duduk diantara dua Sujud itu duduk ‘iftirasy’, yakni bahagian kiri ponggong diletakkan di atas tumit kaki kiri yang dilipatkan, manakala bahagian kanan ponggong tidak diletakkan di atas tumit kaki kanan, tetapi diletakkan di atas tikar atau sejadah, dengan kaki kanan ditegakkan di atas jari-jari kaki kanan. Semasa Tahiyat Awal juga kaedah duduk yang diamalkan semasa duduk di antara dua Sujud itu.
Apakah bacaan Tasbihnya semasa duduk di antara dua Sujud itu? Mengikut as-Sunnah, Nabi (s.a.w) semasa duduk dintara dua Sujud itu, membaca salah satu daripada Tasbih berikut: iaitu, satu cara membaca ‘Rabbi’-firli’ (dua kali)[Hadith Riwayat Khuzaifah, Sunan Ibnu Majah]’. Inilah sebutan yang paling rengkas. Ada juga Tasbih yang lebih panjang pula. Namun begitu, dari segi pahala tidaklah banyak bezanya.
2. Diriwayatkan hadith daripada Khuzaifah (r.a) berkata: ‘Bahawasanya datang kepada Nabi (s.a.w) (seorang lelaki dari Habsyi) maka berdiri di sebelah Nabi (s.a.w) (bersolat). Maka berkata dia 'Allahu akbaru zulmalakuuti waljabaruuti walkibiriyai wal’azamati' kemudian membaca Surah Baqarah, kemudian Ruku’ dia, maka adapun Ruku’nya kira-kira sama masa dia berdiri, maka membaca dia dalam Ruku’nya 'subhanarabbial a’zimi, subhana-rabbial a’zimi), dan membaca dia ketika mengangkat kepalanya 'lirabbial hamdu, lirabbial hamdu', adapun dia membaca (ketika duduk) antara dua Sujudnya ‘rabbighfirli, rabighfirli'. [Hadith sahih an-Nasa’i]
Hadith ini menjelaskan satu cara bacaan yang lain semasa Ruku’, Sujud dan Duduk di antara dua Sujud itu yang diamalkan oleh seorang. Dia bersolat di sebelah Rasulallah (s.a.w). Kalimah-kalimah yang dibacanya tidak pula ditegor oleh Rasulallah (s.a.w). Jelaslah, kalimah-kalimah tersebut boleh juga diamalkan.
Dan, cara kedua, membaca 'Rabbigh-firli, warhamni, wajburni, warzukni, warfa’ni.'[Riwayat Kamil Abi ‘Ala, Sunan Ibnu Majah]. Justeru itu ada dua pilihan bacaan duduk antara dua Sujud itu seperti yang dibuat oleh Rasulallah (s.a.w). Tidak ada lain-lain kaedah bacaan.
Ada juga terdapat versi tasbih semasa duduk diantara dua Sujud yang jarang-jarang kita dengar tetapi adalah juga sunnah Nabi (s.a.w) yang boleh kita amalkan. Rasulallah (s.a.w) pernah membacanya:
3. Diriwayatkan hadith daripada Khuzaifah (r.a) berkata: ‘Sesungguhnya aku datang kepada Nabi (s.a.w) untuk bersolat, maka berdiri aku disisi Nabi (s.a.w) (bersolat bersamanya), maka membaca Nabi (s.a.w) 'Allahu Akbar zulmalakuti wal jabaruti wal kibriai wal ’azamati).' (yakni, sebagai Takbiratul Ikhram) kemudian diapun (teruskan solatnya) membaca Surah al-Baqarah, kemudian dia Ruku’ maka adapun Ruku’nya itu kira-kira (sama masanya, yakni panjangnya) dari berdirinya (yakni, berdiri sebelum turun untuk Sujud), maka membaca dia pada Ruku’nya 'Subhana rabbial a’zimi) dan membaca dia ketika mengangkat kepalanya (selepas Ruku’ semasa bangun dari Ruku’nya, yakni I’ktidal) 'Larabbial hamdu, lirabbial hamdu', dan adapun membaca dia di dalam Sujudnya 'Subhana rabbial ‘ala, subhana rabbial ‘ala', dan adapun bacaannya antara dua Sujud adalah 'Rabbighfirli, rabbighfirli'. [Hadith sahih an-Nasa’i]
[Nota: Apabila kita meneliti definisi al-Hadith kita diberitahu hadith adalah ucapan dan perbuatan atau perlakuan Rasulallah (s.a.w) dan percakapan dan perbuatan para sahabat yang didengar oleh Rasulallah (s.a.w) tidak ditegurnya. Dalam kes sedemikian, Rasulallah (s.a.w) mengiyakan perbuatan sahabat beliau. Maka kesemua ini menjadi khazanah as-Sunnah dalam syariat Islam.]
Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment