Saturday, January 23, 2010

Hari Jum'at & Solat Jum'at: Keutamaannya (Samb...)

Assalamualaikum,
Kita teruskan lagi penelitian kita tentang tajuk di atas dengan melihat apakah lagi ganjaran pahala yg diberikan Allah (a.w) kepada kita kerana mengerjakan Solat Jum'at itu.
Mengikut hadith berikut banyak sekali pahalanya bagi orang yang ke masjid bersolat Jum’at, iaitu mendapat ganjaran pahala sejumlah pahala orang yang berpuasa dan bersolat setahun. Dengan syarat dia bersegera ke mesjid, duduk di saf-saf terawal (yakni, terdepan), tidak melakukan perbuatan atau percakapan yang sia-sia, dan sebagainya. Begitu banyaknya kurniaan Allah (a.w) kepada kita umat Islam pada hari Jum’at sekiranya syarat-syarat yang disebutkan itu kita patuhi dan jagai. Malangnya, ramai di antara kita yang tidak tahu atau tidak diberitahu ilmunya, maka kita jahil mengenai pelbagai kurniaan Allah (a.w) itu. Dan jikapun diberitahu atau mengetahuinya, ramai di kalangan kita tidak mengambil berat atau hiraukan pula.
Maka dengan itulah kita dapati ramai umat Islam datang selambat yang mungkin ke mesjid, seolah-olah kerana keterpaksaan! Kemudian ketika berada dalam masjid, membuat bermacam-macam perlakuan lain, termasuklah berjual beli, sehingga bilal azan. Ada yang sesudah azanpun masih berkeliaran, menunggu habisnya khutbah. Apakala habis atau hampir akan habis baru naik ke mesjid untuk solat. Maka tidalah mendapat apa-apa ganjaran pahala, terutama pahala bonos yang dikrniakan Allah (a.w).
1. Diriwayatkan hadith daripada Aus bin Ausin hadith dari as-Sakafi berkata: ‘Aku mendengar Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Barangsiapa berjunub pada hari Jum’at maka mandi junublah, dan paginya berpagilah (ke masjid), dan berjalan kaki tidak menaikki kenderaan dan mendekati imam (yakni, duduk di saf-saf terdepan), mendengarkan (khutbah), dan tidak lahan (yakni, bercakap dengan sia-sia atau yang tidak berfaedah), ada bagi orang itu dengan sebab langkahnya (berjalan ke masjid itu) mendapat (pahala seumpama orang) amalan setahun puasanya dan solatnya.’ [Hadith Ibnu Majah]
Di dalam hadith di atas itu, Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita umat Islam tentang keberkatan besar yang lain pula pada hari Jum’at dan kerana bersolat Jum’at. Syarat-syaratnya adalah:

· Mandilah (seumpama bermandi junub) sebelum ke mesjid untuk solat Jum’at;

· Berpagi-pagilah, yakni bersegeralah ke mesjid untuk solat Jum’at;

· (Sebaik-baiknya) berjalan kakilah ke mesjid tanpa menggunakan kenderaan;

· Ambil tempat pada saf yang terhampir kepada imam, yakni saf terkedepan sekali;

· Duduklah diam dan dengarlah khutbah dengan penuh khusyu’ dan tawadu’; dan

· Semasa imam atau khatib berkhutbah tidak membuat perbuatan dengan perbuatan atau bercakap-cakap dengan kata-kata yang sia-sia (maupun cakap-cakap yang tidak berfaedah) kerana hendaklah mendengar khutbah.
Maka Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita bahawa jika kita lakukan kesemua itu, maka ganjaran pahalanya seumpama pahala seseorang yang berpuasa dan bersolat setahun. Begitu banyak ganjaran pahalanya, masya Allah, tanpa bersusah payah pula. Alangkah beruntungnya kita?
2. Diriwayatkan hadith daripada Ibnu Omar (r.a) berkata: ‘Aku mendengar Nabi (s.a.w) bersabda di atas mimbar: ‘Barangsiapa datang (ke mesjid untuk) solat Jumat maka mandilah (seumpama mandi junub).’ [Hadith Ibnu Majjah]
Hadith di atas itu menyatakan bahawa mandi pada hari Jum’at itu diberatkan, seolah-olah wajib. Namun begitu, kelonggaran diberikan mengikut hadith-hadith berikutnya. Pada hakikatnya, mandi pada pagi Jum’at bukan sekadar amalan yang afdhal, diberatkan dan digalakkan, malah seumpama diwajibkan, bagi orang Islam yang hendak bersolat Jum’at.
3. Diriwayatkan hadith daripada Abu Said al-Khudri (r.a) berkata: ‘Sesungguhnya Rasulallah (s.a.w) telah bersabda: ‘Mandi pada hari Jumat itu wajib bagi setiap mukallaf (orang dewasa).’ [Hadith Ibnu Majah]
Mungkin ramai orang Islam diajarkan atau diberitahu bahawa hadith tersebut tidaklah ‘mewajibkan’ walaupun dalam kalimah hadith itu dikatakan ‘wajib’ bagi setiap yang mukallaf, wallahu a’lam. Tidak ada hadith lain yang membatalkan ketetapan Rasulallah (s.a.w) dalam hadith ini. Justeru itu, sekurang-kurangnya seumpama ‘wajib’ mandi pada hari Jum’at itu. Maka dengan itulah sewajarnya hari Jum’at itu dijadikan hari kelepasan am kepada umat Islam supaya mereka lebih mampu bersedia untuk menetapi ketetapan dan akur dengan ketentuan syariat Islam, seperti mandi hari Jum’at ini.
[Nota: Seperti biasa ramai cerdik pandai Islam mentakwilkan atau mentafsirkan hadith mengikut kebijaksanaan masing-masing. Di dalam hadith tersebut, amat jelas dan tidak menglirukanpun, tetapi tetap dipertikaikan oleh orang Islam.]
Semoga dengan ilmu tambahan ini kita dapat berusaha memperbaiki kalbu dan fikiran kita untuk memanfaatkan segala sesuatu yg dapat menguntungkan kita di akhirat kelak. Amin
Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment