Saturday, January 2, 2010

Perintah 'ulil amri' dan 'bid'ah'

Assalamualaikum,
Menyentuh tentang 'pembaharuan dalam perkara ugama' atau pendeknya 'bid'ah', ada sesetengah para ulama' dan ilmuwan Islam mengatakan bahawa umat Islam wajib 'taatkan ulama' (i.e mereka menyebutkan bahawa 'ulama' adalah 'ulil amri', seperti tulisan saudara Uthman al-Muhammady dalam suatu akhbar tidak lama dahulu). Mereka merujuk kepada Ayat 59, Surah an-Nisa'. Isunya: Siapakah 'ulil amri' yg disebutkan Allah (a.w) dalam Ayat 59, Surah an-Nisa' itu? Dalam blog ini penulis telah jelaskan bahawa 'ulil amri' itu adalah pemimpin jema'ah Islam yg dikenal dengan beberapa nama seperti Khalifah (zaman sahabat), dan kemudian disebut oleh Rasulallah (s.a.w) mereka yg, kemudian dari zaman itu, digelar 'al-malik' (atau Raja), Imam atau Amir. 'Ulil amri' termasuklah mereka yg menjalankan sebahagian daripada tugas Imam atau Amir seperti para ulama' dan ilmuwan yg menasihati 'ulil amri.
Benar. Allah (a.w) perintahkan kita yg Islam itu taatkan ulil amri. Tapi, kalau 'ulil amri' perintahkan buat sesuatu 'kemaksiatan', suatu yg batil, atau amalkan sesuatu yg 'bid'ah' bagaimana? [Nota: Perintah ulil amri adalah diistilahkan 'kemaksiatan' atau kebatilan dan 'bida'ah', jika tiada sandara ketetapan al-Quran dan as-Sunnah mengenainya.] Kita rujuk ketetapan as-Sunnah berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Qasim bin Abdil Rahman ibni Abdullah bin Mas’ud, hadith daripada bapanya, hadith daripada datuknya Abdullah ibni Mas’ud (r.a) bahawasanya Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Akan mengatur perkara (i.e. urusan jemaah Islam) di kalangan kamu sesudah ketiadaan aku beberapa lelaki (yakni, imam atau amir) mematikan (yakni, meninggalkan) sunnahku dan mengamalkan mereka bid’ah, dan mengakhirkan (yakni, melambat-lambatkan) solat dari waktunya.’ Maka berkata aku (ibnu Ma’sud): ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Jika menjumpai aku akan mereka maka bagaimanakah perbuat aku?’ Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Bertanya engkau kepada aku wahai Ibna Ummi ‘Abdin (yakni, merujuk kepada Ibnu Mas’ud dengan gelaran tersebut) bagaimana berbuat kamu? Jangan taat kepada orang yang menentang Allah (a.w).’ [Hadith ibnu Majah]
Di dalam hadith di atas itu jelas Rasulallah (s.a.w) menyebut ketetapan beliau - bahawa perintah yg bid'ah adalah merupakan perbuatan menentang ketetapan Allah (a.w), dan dengan itu Islam melarang sesorang yg diperintah membuat suatu kemaksiatan atau sesuatu yg menentang ketetapan Allah (a.w) dan ketetapan Rasulallah (s.a.w) supaya jangan didengar dan jangan ditaati. Pembuat bid'ah di sebutkan sebagai 'orang yg menentang Allah (a.w)', maka sudah pastilah perbuatan bid'ah itu suatu yg serius dalam Islam. Kita rujuk hadith berikut:
1. Diriwayatkan hadith daripada Abdullah bin Mas’ud (r.a), katanya hadith daripada Rasulallah (s.a.w) yang bersabda: ‘Sesungguhnya barang yang dua (yakni, yang dibawa atau diajarkan oleh Rasulallah (s.a.w)) itu ada dua: iaitu, kalam Allah (a.w) (yakni, al-Quran) dan petunjuk (yakni, hidayah) Rasul (s.a.w) (yakni, as-Sunnah atau al-Hadith). Maka sebaik-baik kalam itu adalah kalam Allah (a.w). Dan sebaik-baik petunjuk itu adalah petunjuk Muhammad (s.a.w). Ingatlah, takutkanlah oleh kamu sekelian pembaharuan dalam perkara (ibadah atau ugama atau syariat Islam). Maka sesungguhnya (atau bahawasanya) seburuk-buruk perkara (ibadat) itu adalah pembaharuan kepada pekara (ugama dan syariatnya). Dan setiap pembaharuan pada perkara (ibadat) itu adalah bid’ah. Dan setiap bid’ah itu dolalah (yakni, kesesatan). [Hadith ini bersambung][Hadith Ibnu Majah]
Allah (a.w) menyuruh mereka yg beriman itu ambil segala sesuatu yg dibawakan oleh Rasulallah (s.a.w) dan tinggalkan apa-apa yg ditegahnya (Ayat 7, Surah al-Haysr). Apa yg dibawakan oleh Rasulallah (s.aw)? Dua, iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Kemudian Rasulallah (s.a.w) memberitahu sesiapa yg menentang beliau, i.e. tidak mahu mentaati beliau adalah orang yg engkar atau enggan. Yg enggan masuk neraka, mengikut hadith berikut:
2. Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Setiap umatku masuk syurga, selain orang yang ‘enggan’ (yakni, orang yang enggan mengikuti perintah Allah (a.w) dan RasulNya).’ Mereka (para sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Siapakah yang ‘enggan’ itu?’ Rasulallah (s.a.w) menjawab: ‘Sesiapa yang mematuhi perintahku masuk syurga, dan sesiapa yang melanggar perintahku, maka sesungguhnya orang itu enggan (yakni, mereka yang ‘enggan’ itu adalah mereka yang tidak mematuhi perintah Rasulallah (s.a.w) tidak masuk syurga, yakni masuk neraka).’ [Hadith Bukhari]
[Nota: Mereka yang telah diberitahu oleh Rasulallah (s.a.w) supaya mengerjakan solat mereka sebagaimana beliau mengerjakan solat, tetapi mengerjakan solat mereka dengan cara dan kaedah yang lain adalah tergolong dari kalangan mereka yang ingkarkan suruhan Rasulallah (s.a.w), yakni menolak ketetapan as-Sunnah.]
Di dalam blog yg lalu kita telah teliti asbabul nuzul Surah al-Kauthar dan penjelasan Rasulallah (s.a.w) tentang Telaga al-Kauthar itu. Mereka yg membuat dan mengamalkan bid'ah tidak diakui Allah (a.w) umat Muhammad (s.a.w), yakni umat Islam. Cuba kita lihat pula hadith-hadith berikut:
3. Diriwayatkan hadith daripada Abdullah (r.a) berkata Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Aku mendahului kamu (yakni, umat Islam) datang ke kolam (al-Kauthar) dan datang pula beberapa orang, kemudian mereka ditarik dari dekat aku (yakni, tidak dibenarkan menghampiri Rasulallah (s.a.w) dan telaga al-Kauthar itu), lalu aku bersabda ‘Wahai Tuhanku! Itu sahabat-sahabatku (yakni, umatku)!’ Ada (suara) yang berkata (yakni, Allah (a.w) berfirman): ‘Sesungguhnya engkau (Muhammad (s.a.w)) tidak tahu apa yang mereka perbuat (terhadap syariat ugama Islam) selepas engkau wafat.’ [Hadith Bukhari]
dan hadith berikut yg diriwayatkan oleh Abu Hurairah (r.a) pula:
4. Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) bahawa dia menceritakan bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Berkehendakkan pada hari Qiamat sekumpulan dari sahabatku (yakni, umatku) hendak minum (di telaga al-Kauthar), maka mereka diusir (atau dicegah) dari kolam itu, maka bersabda aku: ‘Wahai Tuhanku! Mereka itu sahabat-sahabatku (yakni, umatku)!’ Maka berfirman Allah (a.w): ‘Sesungguhnya engkau (Muhammad (s.a.w)) tidak tahu engkau dengan apa-apa diperbuat (kepada syariat ugama kamu) sesudah engkau (wafat). Sesungguhnya mereka kembali ke belakang (yakni, murtad atau membelakangkan ajaran syariat Islam yang dibawakan oleh Rasulallah (s.a.w)) atas pegangan (yakni, syariat ugama) mereka.’ [Hadith Bukhari]
dan juga hadith berikut dari Abdullah (r.a):
5. Diriwayatkan hadith daripada Abdullah (r.a) berkata bahawa bersabda Nabi (s.a.w): ‘Aku datang terlebih dahulu (menunggu kamu) di telaga (al-Kauthar). Dibawa kepadaku beberapa orang di antara kamu (yakni, umat Rasulallah (s.a.w)), tetapi setelah aku menghulurkan tanganku hendak memegang mereka, lantas mereka ditarik dari aku (oleh para malaikat, atas perintah Allah (a.w)). Aku bersabda: ‘Wahai Tuhanku! Orang-orang itu sahabat-sahabatku (yakni, umatku)!’ Berfirman Allah (a.w): ‘Engkau tidak mengetahui apa yang mereka perbuat (terhadap syariat ugama Islam) selepas peninggalan engkau (yakni, selepas wafat engkau).’ [Hadith Bukhari]
Ketiga-tiga hadith di atas itu menceritakan tentang Telaga al-Kauthar itu. Orang yg tidak dibenarkan minum air Telaga al-Kauthar itu adalah mereka yg telah menambah atau mengadakan sesuatu yg tiada dalam syariat Islam atau meminda apa yg terdapat dalam al-Quran dan as-Sunnah, setelah Rasulallah (s.a.w) tiada.
Kita wajib faham bahawa syariat Islam itu telahpun disempurnakan semasa hayat Rasulallah (s.a.w). Tidak kira zaman bilakah kita, syariat Islam tetap tidak berubah. Logiknya mudah. Jikalah syariat Islam itu belum sempurna, pastilah Allah (a.w) hanya mewafatkan Rasulallah (s.a.w) setelah disempurnakan. Atau, pastilah ada rasul atau nabi yg diutus Allah (a.w) untuk menyempurnakan syariat Islam itu. Oleh kerana Rasulallah (s.a.w) telah distiharkan Allah (a.w) nabi penamat, maka sudah pastinyalah syariat Islam itu sudah sempurna. Jika sudah sempurna masakan ada perubahan atau pindaan atau tambahan kepada syariat Islam - sama ada dari segi 'pokok' ataupun 'cabang' - dua istilah yg sering dijadikan sandaran oleh para ulama' untuk memberi justifikasi kepada harusnya ada 'bida'ah hasanah', iaitu apa-apa yg mereka ubah atau pinda atau tambah, kata mereka, adalah perkara 'cabang' bukan perkara 'pokok'. Istilah 'pokok' dan 'cabang' adalah ciptaan para ulama' dan para ilmuwan semata-mata supaya mereka boleh melakukan sesuatu supaya Islam boleh disesuaikan dengan zaman! Mereka terlupa bahawa Allah (a.w) menetapkan bahawa manusialah yg sewajibnya menyesuaikan diri kepada ketetapan Islam, bukan Islam perlu diubahsuai untuk menjadikannya relevan kepada manusia yg temadun mereka semakin canggih, kononnya.
Mudah-mudahan kita tidak dipengaruhi oleh kebijaksnaan manusia dalam mengubahsuai Islam dan syriatnya. Dengan itulah Rasulallah (s.a.w) memberitahu bahawa umat zaman silam (zaman sebelum datangnya Islam) berpecah kepada 71 atau 72 golongan apabila para ilmuwan di kalangan mereka mengubah syariat ugama Allah (a.w) yg dibawakan oleh Musa (a.s) dengan kitabnya Taurat dan Isa (a.s) dengan kitabnya Injil. Semua mereka sesat sabda Rasulallah (s.a.w). Orang Islam pula berpecah menjadi 73 golongan, semua sesat kecuali satu golongan, iaitu mereka yg memenuhi dua pra-syarat: iaitu, pertama mereka berpandukan hanya kepada al-Quran dan as-Sunnah; dan, kedua, mereka anuti Islam secara berjema'ah. Kita telah perincikan dua pra-syarat ini dalam menghuraikan hakikat golongan 'ahlus sunnah wal-jama'ah' dalam blog ini. Saudara boleh baca sendiri.
Jazakallahu khairah
Demikianlah betapa seriusnya perlakuan membuat dan mengamal serta menyemarakkan sesuatu bid'ah dalam Islam. Malangnya, kerana bersandarkan pendapat para ulama yg dianggap muktabar, masih ramai yg mengatakan ada 'bid'ah hasanah' itu wujud, malah berleluasa di amalkan.
Semoga Allah (a.w) memberikan kita kefahaman tentang Islam dan syariatnya agar tidaklah kita menentang perintah Allah (a.w) dan ketetapan Rasulallah (s.a.w), agar kita tergolong di kalangan mereka yg sedikit yg berjaya mendapat syurga, insya Allah. Amin
Jazakalahhu khairah

No comments:

Post a Comment