Tuesday, January 5, 2010

Doa - Cara dan Adab

Assalamualaikum,
Cara, Kaedah dan tatakelakuan Berdoa
Semua orang Islam tahu tentang 'Doa' - iaitu permintaan kita kepada Allah (a.w). Doa dalam Islam adalah suatu ibadah sebagaimana ibadah-ibadah selainnya seumpama solat, puasa, zakat dan infaq,dll. Kebiasaannya, kita disuruh selain wirid dan berzikir selepas selesai solat, kita disuruh berdoa.
Masyarakat Melayu Islam itu biasa mengamalkan membaca zikir dan berdoa secara berkelompok atau beramai-ramai. Ada beberapa perkara yang perlu kita beri perhatian.
1. Syariat Islam tidak menyuruh kita berzikir beramai-ramai dan tidak ada juga membaca doa beramai-ramai.
2. Kita tidak disuruh membaca doa dengan mengeraskan suara atau menyebut kalimah-kalimahnya dengan kuat.
3. Semasa berdoa dalam sesuatu solat, jika solat tersebut mengandungi doa-doa tertentu kerana disyariatkan sedemikian, kita tidak dikehendaki mengangkat kedua tangan, kecuali bagi Solat Insyiqa’ sahaja, bilamana kedua-dua tangan diangkat setinggi yang boleh, sehingga menampakkan bahagian ketiak.
4. Apabila berdoa dibacakan semasa khutbah, kita mengangkat tangan dengan telapak tangan terbuka dan mengaminkan doa imam. Imam hanya perlu menegakkan jari telunjuknya ke atas menunjukkan bahawa khutbah itu menyuruh jemaah berdoa.
Demikianlah ketetapan as-Sunnah dalam ibadah berdoa. Kita akan teliti satu persatu nas dan dalil al-Quran dan al-Hadith dalam blog ini, insya Allah. Peradaban berdoa itu diperjelaskan di dalam beberapa firman Allah (a.w) di dalam al-Quran dan beberapa banyak ketetapan Rasulallah (s.a.w) dalam as-Sunnah.
Berdoa Dengan Rasa Takut dan Mengharap

Adab pertama berdoa itu diperjelaskan di dalam empat firman Allah (a.w), yakni al-Quran seperti berikut, iaitu:
1. Firman Allah (a.w): 'Ud’u rabbakum tadaru’an wa khufyah.'(Maksud: Berdoalah (yakni, memohonlah) kepada Tuhan kamu dengan merendahkan diri dan (dengan) suara yang tersembunyi (yakni, tidak diketahui orang lain, atau tanpa menguatkan suara).) [Ayat 55, Surah al-A’raf]
Allah (a.w) mengingatkan kita supaya berdoa kepadaNya dengan merendahkan diri bukan dengan angkuh dan sombong dan bukan dengan sikap memaksa Allah (a.w) memberikan apa-apa yang kita hendak. Juga, lebih baik kita tidak memberitahu atau mengumumkan kepada orang lain apa-apa yang kita doakan atau pinta. Berdoa dalam ‘silence’ kerana Allah (a.w) itu tahu apa-apa yang terbuku di dalam hati kita. Dia tahu tanpa perlu dizahirkanpun apa yang kita ingini Allah (a.w) pasti mengetahuinya.
2. Firman Allah (a.w): 'Wad’uhu khaufan watoma’an; inna rahmatallah in qaribun.' (Maksud: Dan berdoalah dengan rasa takut (kalau-kalau tidak diperkenankan olehNya) dan (dengan rasa) mengharap (agar Allah (a.w) kabulkan permintaan kita). Sesungguhnya kerahamatan Allah (a.w) itu adalah hampir (kepada orang-orang yang ikhlas dalam beriman dan bertaqwa kepada Allah (a.w)) [Ayat 56, Surah al-‘Araf]
Ayat di atas sekali lagi mengulangi perintah Allah (a.w) bahawa pertama, hendaklah kita berdoa dengan perasaan yang kita takut bahawa doa kita tidak diperkenankan oleh Allah (a.w). Maka kita perlu bertertib dengan merendahkan diri sebaik mungkin supaya tidak menimbulkan kemarahan atau kebencian Allah (a.w) terhadap kita. Kedua, hendaklah kita berdoa dengan penuh rasa mengharap agar doa kita itu didengarNya dan dikabulkanNya. Kita hendaklah mempunyai sifat mengharap sepenuhnya supaya kita didengarNya dan diberikan lehNya apa yang kita hajatkan. Jika demikianlah adabnya, maka pastilah tidak betul dan tidak wajar kita berdoa seolah-olah memaksa atau meninggikan suara seolah-olah memaksa Allah (a.w) dengan doa kita dan berikan apa yang kita pinta!
Dan firman Allah (a.w) dalam ayat berikut memberitahu kita prinsip dan tatalaku yang sama semasa berdoa, yakni dengan menaruh harapan yang besar dan dengan penuh rasa ketakutan agar tidaklah diketepikan oleh Allah (a.w) atau tidak dilayaniNya permintaan kita:
3. Firman Allah (a.w): 'Innahum kanu usari’una fil khairati wa yad’unana raghaban wa rahaban, wa kanu lana khosyi’ina.'(Maksud: Sesungguhnya mereka (orang-orang beriman dan bertaqwa kepada Allah (a.w) itu) adalah (mereka itu) berlumba-lumba di dalam berbuat kebajikan dan meminta (yakni, berdoa) kepada Kami (Allah (a.w)) dengan harapan yang besar (supaya dikabulkan) dan dengan (perasaan atau rasa) ketakutan (akan kemurkaanNya), dan adapun mereka pada Kami (Allah (a.w)) adalah orang-orang yang khusyu’ (semasa dan ketika berdoa serta semasa beramal dan beribadah kepada Allah (a.w)).) [Ayat 90, Surah al-Anbiya’]
Firman Allah (a.w) di atas menyuruh kita berdoa dengan penuh sopan dan santun dengan sepenuh ketertiban dan kesopanan yang tinggi sebagaimana orang yang meminta kepada zat yang Maha Tinggi kedudukan dan mertabatnya, dengan kesopanan dan kesantunan dan ketertiban yang tinggi. Hendaklah kita meminta dengan penuh rasa takut kalau-kalau Dia (Allah (a.w)) tidak perkenankan atau Dia murka kepada kita kerana kita kurang santun dan sopan dan menimbulkan pula kemarahanNya. Melalui perlakuan kita semasa berdoa itu, kita menaruh penuh harapan bahawa Allah (a.w) redha dan memperkenankan permintaan kita kerana belas kasihanNya kepada kita yang meminta. Kita berharap sepenuhnya supaya dikabulkanNya permintaan kita. Bukanlah kita memaksa supaya Allah (a.w) kabulkan. Kerana hamba tidak boleh memaksa Tuhannya.
4. Firman Allah (a.w): 'Wain tajhar bil qauli fainnahu yuta’lamus sirra wa akhfa.'[Maksud: Dan sesungguhnya janganlah kamu keraskan (yakni, kuatkan atau meninggikan suara) apabila membaca (yakni, semasa berzikir atau berdoa) maka sesungguhnya Dia (Allah (a.w)) itu mengetahui rahsia (yakni, yang disembunyikan di dalam hati seseorang itu, walaupun tidak diketahui orang lain)) dan (perkara-perkara) yang tersembunyi (yakni, perkara-perkara yang tidak diingini orang lain tahu).) [Ayat 7, Surah Toha)
Di dalam firman di atas, kita dilarang untuk meninggikan suara apakala memohon padaNya. Kita yang meminta dan Dia yang memberi. Maka tidak wajarlah kita bersuara lantang seolah-lah memberi katadua kepada Allah (a.w) supaya memberikan apa yang kita pinta. Kalau kepada pembesar duniapun kita meminta dengan berlembut apatah lagi kita meminta sesuatu kepada Zat yang Maha Agung, Maha Mulia dan Maha Tinggi dari mana-mana makhluk dunia? Tetapi, hari ini rata-rata kita dengar dan alami sendiri manusia berdoa dengan suara yang lantang dan nyaring. Ini berlaku di mana-mana, termasuk di Mekah dan Madinahpun berlaku kaedah berdoa yang meninggikan suara! Jelaslah, amalan sedemikian bertentangan dengan ketetapan Allah (a.w) di dalam al-Quran dan ketetapan Rasulallah (s.a.w) dalam as-Sunnah.
Kebanyakkan kita, terutama ketika masih muda, selepas menunaikan solat, kita jarang berwirid dan berzikir dan juga berdoa. Ramai orang Islam yg kurang yakin bahawa Allah (a.w) memperkenankan atau mengkabulkan permintaan kita kepadaNya. Namun, ada juga orang yg penuh keyakinan tentang doa, maka dengan itu mereka diberikan oleh Allah (a.w) apa-apa kehendaknya.
Semoga kita sentiasa menjadi orang yg sentiasa mengharapkan sesuatu dari Allah (a.w) - meminta apa yg dikehendaki atau meminta dijauhkan sesuatu yg kita tidak kehendaki.
Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment