Assalamualaikum,
Kita teliti lagi satu adab dan tatasusila berdoa berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Wajib diingatkan bahawa segala sesuatu dalam Islam adalah berpandukan al-Quran dan as-Sunnah, bukan panduan manusia.
(ix) Berdoa Di Luar Solat
Bagaimana pula cara atau kaedah atau perlakuan berdoa di luar solat? Atau, bagaimana berdoa selepas solat (sama ada solat fardu ataupun solat sunat)? Pada kebiasaannya, apabila kita berdoa selepas solat pula kita mengangkat kedua-dua tangan kita dengan telapak tangan kita terbuka. Tetapi, ada kalanya kita berdoa menelangkupkan kedua tapak tangan kita, seolah-olah kita ‘nyakkan’ atau tidak mahu sesuatu. Inilah yang berlaku semasa majlis doa beramai-ramai seperti Doa Selamat, Majlis Tahlil Arwah, dll lagi. Jika terdapat kalimah-kalimah menyebutkan tentang perkara-perkara yang kita tidak mahu seperti bala (doa tolak bala dan sebagainya), kita telangkupkan kedua-dua tapak tangan ke bawah, supaya belakang tangan kita ke langit. Adakah betul cara begitu mengikut syariat Islam atau as-sunnah?
Mengikut hadith, tidak ada cara atau kaedah atau perlakuan sedemikian dibuat oleh Rasulallah (s.a.w). Jika kita berbuat sedemikian, bererti kita tidak mengikuti sunnah juga. Jika begitu, telah menyimpang daripada syariat atau as-sunnah. Justeru itu, bukanlah kita ‘Ahli Sunnah wal-jamaah’ sebagaimana ramai yang Islam ingin dikenal sebagai ahli as-sunnah wal-jamaah. Bagaimanakah sebetulnya? Kaedah yang betul telah disebutkan di dalam beberapa potongan hadith sebelum ini. Sebagai ilmu tambahan kita rujuk pula hadith berikut:
10. Diriwayatkan hadith daripada Ibnu Abbas (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Ketika berdoa kamu kepada Allah (a.w) maka berdoalah dengan telapak tangan kamu mengadap ke atas. Dan janganlah kamu berdoa di belakang telapak tangan kamu (yakni, telapak tangan ke bawah). Maka apabila selesai berdoa, maka usapkan (sapulah) wajah (atau muka) kamu dengan kedua-dua telapak tangan kamu.’ [Hadith Ibnu Majah]
Syariat ibadat berdoa itu ditetapkan mengikut as-sunnah. Hadith ini jelas memberitahu kita cara atau kaedah atau perlakuan yang dibuat oleh Rasulallah (s.a.w). Pertama, hendaklah kita mengangkat kedua-dua tangan kita ke atas. Kedua, kedua telapak tangan kita hendaklah terbuka, yakni telapak tangan terbuka ke atas (atau belakang tangan di bawah). Ketiga, setelah selesai berdoa hendaklah kita usap atau sapukan kedua-dua telapak tangan kita ke muka kita.
Jelaslah, apa yang kita amalkan sekarang ini tidak sama dengan amalan Rasulallah (s.a.w) itu. Justeru itu, dalam urusan berdoapun kita sudah lari dari asas syariat Islam berpandukan al-Quran dan al-Hadith.
Dalam mengamalkan sebarang amalan dan ibadah, kita hendaklah mengikut praktiknya sebagaimana yang dibuat oleh Rasulallah (s.a.w). Yang kita wajib sedari dan ingati adalah Rasulallah (s.a.w) adalah Utusan Allah (a.w), orang yang menerima ketetapan Allah (a.w), yang menerima syariat Islam melalui wahyu langsung dari Allah (a.w) atau melalui perantaraan Jibrail (a.s) yang diutus Allah (a.w) menunjukkan atau mendemokan praktikal syariat Islam itu, seorang sahaja yang tahu. Maka dengan itulah Allah (a.w) memberitahu kita bahawa Rasulallah (s.a.w) itu adalah contoh terbaik untuk kita yang Islam ikuti. Maka, justeru itu, di dalam ibadah solat wajiblah mengambil perhatian cara bagaimana Rasulallah (s.a.w) bersolat itu:
Rasulallah (s.a.w) bersabda (yakni, menyuruh umat Islam): ‘Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat.’ [Hadith Bukhari],
Dan, dalam lain-lain ibadah juga kita wajib mencontohi perlakuan Rasulallah (s.a.w), seperti ketetapan hadith berikut:
Sabda Rasulallah (s.a.w) (menyuruh umat Islam): ‘Ambillah daripadaku cara serta kaedah kamu mengerjakan ibadat.’ [Hadith Muslim, Abu Daud dan an-Nasa’i]
Dalam mengamalkan sesuatu amalan dan ibadat hendaklah kita pastikan asas ilmunya dan janganlah kita menjadi pak turut tanpa mengetahui dengan jelas asas amalan, termasuklah bagaimana dipraktikkan. Kedua-dua hadith di atas jelas menunjukkan bahawa hendaklah kita mencontohi perlakuan Rasulallah (s.a.w) itu. Allah (a.w) telah memberitahu kita bahawa Rasulallah (s.a.w) itu sebaik-baik contoh atau model atau ikutan bagi umat Islam. Maka mengapakah kita perlu ikuti nasihat atau pendapat orang lain?
Jazakallahu khairah
No comments:
Post a Comment