Friday, January 1, 2010

Solat: Cara Rasulallah (s.a.w) bersolat (Samb.)

Assalamualaikum,
Kita sambung perbincangan kita tentang bagaimana bersolat iktu cara Rasulallah (s.a.w). Kita teruskan membincangka rukun qauli, rukun fe'li dan rukun qalbi selepas Takbiratul Ikhram. Setelah kita berdiri tegak dan menyebut Takbiratul Ikhram, membaca Doa Iftitah (Nota: Ada beberapa versi Doa Iftitah yg telah kita teliti sebelum ini. Juga, kita telah tahu bahawa Doa Iftitah yg lazim kita baca sehingga kini, adalah Doa Iftitah untuk solat-solat sunat, tapi kita disuruh baca sebagai Doa Iftitah dalam solat-solat fardu).
Setakat ini kita dapat rumuskan kelainan amalan solat kita berbanding dengan cara Rasulallah (s.a.w) bersolat seperti berikut; iaitu:
1. Rasulallah (s.a.w) tidak menzahirkan niat ketika hendak Takbiratul Ikhram (i.e. tidak baca 'Usalli ...' ketika mengangkat kedua tangan);
2. Cara mengangkat kedua tangan ketika bertakbir;
3. Kalimah-kalimah yg dibaca selepas Takbiratul Ikhram;
4. Cara atau kaedah meletakkan tangan di atas tubuh selepas Takbiratul ikhram.
Cuba kita lihat bagaimana Rasulallah (s.a.w) mengangkat kedua tangan beliau semasa membaca Takbiratul Ikhram dan kemudian dimana diletaknya kedua-dua tangnya pula.
1. Menceritakan hadith kepadaku (kata ‘Asim bin Kulaibin) oleh bapanya yang berkata bahawasanya Wail bin Hujrin (r.a) mengkhabarkan kepadanya dengan berkata: ‘Berkata aku: ‘Nescaya melihat aku kepada Rasulallah (s.a.w) bagaimana dia bersolat, maka melihat aku pada Nabi (s.a.w). Maka berdiri dia, maka membaca takbir dia (yakni, 'Allahu Akbar' ), diangkatnya kedua-dua tangannya sehingga mendekati kedua-dua (ibujari) tangannya ke paras telinganya, kemudian diletaknya tangan kanannya atas tangan kirinya di pergelangan tangannya dan lengannya, maka ketika hendak Ruku’ dia bahawasanya diangkat kedua tangannya seperti itu juga (yakni, menepati kedua telinganya)’. Berkata Wail (menyambung cakapnya): ‘Dan (semasa Ruku’) diletakkannya kedua-dua tangannya atas dua lututnya, kemudian ketika diangkatnya kepalanya (yakni, bangkit daripada Ruku’) diangkatnya kedua-dua tangannya seperti tadi itu (yakni, sehingga bersetentangan pula dengan kedua telinganya), kemudian Sujud dia menjadikan telapak tangannya dekat (yakni, bersetentangan dengan) kedua-dua telinganya, kemudian duduk ‘iftirasy’ dia di atas kakinya yang kiri (yakni duduk untuk Tahiyat), dan meletakkan telapak tangan kiri di atas lututnya yang kiri, menjadikan lurus lengan kanan atas peha kanannya, digenggam jarinya kecuali dua jari hantu (yakni, jari tengah) dan ibu jarinya dijadikan satu bulatan, kemudian mengangkat jari telunjuknya menggerak-gerakkannya (jari telunjuk)(yakni, digerakkannya naik turun).’ [Hadith an-Nasa’i]
Hadith di atas menyebutkan perkara-perkara berikut:
1. Semasa Takbiratul Ikhram, Rasulallah (s.a.w) mengangkat kedua-dua tangannya ke atas supaya ibu jarinya sejajar dengan kedua-dua cuping telinganya, sambil menyebut 'Allahu Akbar';
2. Ketika hendak Ruku' sekali lagi diangkatnya kedua tangannya sebagaimana semasa ber Takbiratul Ikhram, kemudian dia mengangkat sekali lagi kedua-dua tangannya sambil menyebut 'Allahu Akbar' untuk Sujud;
3. Ketika Sujud pula beliau meletakkan kedua-dua telapak tangannya terbuka di tempat Sujud dengan jari-jarinya bersetentangan dengan kedua telinganya;
4. Ketika duduk di antara dua Sujud dia duduk iftirasy, iaitu bahagian ponggong kirinya diletak di atas tumit kaki kiri, jari-jari kaki kiri ditegakkan di sebeleh kanan ponggongnya (Nota: Perlakuan bagi Tahiyat Awal);
5. Telapak tangan kirinya diletakkan, secara terbuka, di atas kepala lutut kirinya, dengan diluruskannya (Nota: Perlakuan ketika Tahiyat Awal);
6. Tangan kanannya digenggamnya dengan menjadikan ibujarinya didekatkan kepada jari hantunya (i.e. jari tengah), seumpama berbuat satu bulatan, jari-jari lain digenggam (Nota: Perlakuan bagi Tahiyat Awal);
7. Jari telunjuk kanannya pula di gerak-gerakan ke atas ke bawah seumpama mengisyarat turun naik (Nota: Perlakuan ketika duduk Tahiyat Awal dan Tahiyat Akhir).
Hadith di atas menyebut kelakuan ketika mengangkat kedua-dua tangan ke atas sampai ke paras cuping telinga, semasa Takbiratul Ikhram (i.e. Allahu Akbar). Hadith di bawah pula menyebut bahawa Rasulallah (s.a.w) mengangkat kedua-dua tangan bersetentangan dengan kedua bahunya. Justeru itulah ada dua cara mengangkat tangan ketika Takbiratul Ikhram itu - satu cara sampai paras cuping telinga dan satu cara lagi sehingga paras kedua-dua bahu.
2. Diriwayatkan hadith daripada Abdullah bin Omar (r.a) katanya: ‘Telah aku lihat akan Rasullah (s.a.w) apabila memulai dia dengan solatnya mengangkat dia akan kedua-dua tangannya sambil mengucapkan Takbiratul-ikhram (i.e.Allahu Akbar), angkatannya itu sehingga membetuli dua bahunya. Kemudian iapun membaca [al-Fatihah dan surah al-Quran]. Kemudian apabila dia hendak Ruku’ mengangkat tangan pula dia serta mengucap takbir (yakni, 'Allahu Akbar'). Dan apabila bangun daripada Ruku’ pula mengangkat kedua tangannya (sambil membaca Takbir, i.e. 'Allahu Akbar) dan begitu juga mengangkat Nabi (s.a.w) akan dua tangannya apabila mengangkat dia akan kepalanya daripada Sujud (yakni, untuk bangun rakaat berikutnya), maka jadilah jumlah dia mengangkat tangan pada [rakaat] pertama tiga kali angkat kedua tangannya.’ [Hadith Hassan Sahih at-Termidzi].
Kita fokus kepada kaedah meletakkan tangan di atas bahagian pusat selepas Takbiratul Ikhram. Kita akan bincang semula perlakuan lain, apabila kita teliti cara Sujud dan membaca Tahiyat kemudian nanti.
Perkara #1 dan #2 adalah merujuk kepada kelakuan selepas Takbiratul Ikhram, #3 dan #4 perlakuan ketika Sujud, manakala #5 hingga #7 adalah perlakuan duduk pada Tahiyat Awal dan Tahiyat Akhir. Tasbih bagi tiap-tiap pergerakan akan kita teliti secara berasingan nanti, insya Allah.
Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment