Friday, January 1, 2010

Solat: Cara Rasulallah (s.a.w) bersolat (Samb.)

Assalamualaikum,
Kita sambung kembali perbincangan kita tentang kaedah Rasulallah (s.a.w) bersolat. Kita telah teliti perlakuan bersolat itu sehingga peringkat Takbiratul Ikhram, yakni mengangkat kedua-dua tangan ke atas sambil bertakbir (i.e. menyebut 'Allahu Akbar'). Kemudian bagaimana meletakkan tangan - yg kanan di atas yg kiri dengan tangan kanan memegang pergelangan tangan kiri di letakkan kedua-dua tangan di atas bahagian pusat di tengah-tengah. Kemudian membaca Doa Iftitah. Selesai membaca Doa Iftitah kita wajib membaca Ummul Kitab atau Surah al-Fatihah, kerana tapa membaca al-Fatihah solat tidak sah.
1. Diriwayatkan hadith daripada ‘Ubadah bin Samit (r.a) berkata hadith daripada Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Tidak ada solat (yakni, tidak sah solat) bagi barangsiapa (yang) tidak membaca dengan al-Fatihah al-Quran.’ [Hadith an-Nasa’i, juga at-Termidzi dan Muslim]
Panduan umunya adalah seperti yg disebutkan dalam hadith berikut, bahawa tidak sah solat tanpa membaca Ummul Kitab:
2. Diriwayatkan hadith daripada ‘Abdil Muhaimin bin ‘Abbas bin Sahil bin Sa’din as-Sa’idi (r.a), hadith daripada bapanya, hadith daripada datuknya, (kata datuknya) daripada Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Tiada solat bagi barangsiapa yang tiada wudu’, tiada wudu’ bagi barangsiapa yang tidak membaca ‘Bismillah’ semasa berwudu’, dan tiada solat bagi barang siapa yang tidak berselawat atas Nabi, dan tiada solat bagi orang yang tidak sukakan orang ansar.’ [Hadith Ibnu Majah] dan hadith berikut:
3. Diriwayatkan hadith daripada Ubadah bin Samit (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Tidak sah solat bagi barangsiapa yang tidak membaca Ummul Quran (yakni, al-Fatihah).’ [Hadith Muslim]
Hadith di atas itu memberikan kita panduan yg amat penting, iaitu: pertama, tidak sah solat tanpa wudu'; kedua, wudu' hanya sah jika disebut 'Bismillah' ketika memulakan proses wudu'; ketiga, solat tidak sah tanpa membaca al-Fatihah; dan keempat, solat juga tidak sah tanpa berselawat ke atas Rasulallah (s.a.w). Nota: 'Bismalah' maksudnya baca sepenuhnya 'Bismillahir-rahmanir-rahim', manakala 'Bismillah' bermaksud baca 'Bismillah' sahaja].
Selepas membaca Doa Iftitah, kita hendaklah baca al-Fatihah, yakni Ummul Kitab.
Adakah kita perlu mendahului bacaan al-Fatihah dengan Ayat Perlindung (i.e. 'A'uzubillahi minas-syaitanir-rajim'? Dan, adakah kita perlu baca 'Basmalah' juga sebelum membaca al-Fatihah? Atau, kita baca kedua-duanya sekali sebelum membaca al-Fatihah?
Untuk menjelaskan perkara ini kita rujuk dua hadith berikut:
4. Diriwayatkan hadith daripada Aisyah (r.ah), berkata: ‘Adapun Rasulallah (s.a.w) memulakan solatnya (yakni, membaca al-Fatihah) dengan membaca (Alhamdu-lillahi rabbil ‘alamaiin).’ [Hadith sahih Ibn Majah]
Hadith di atas menyebutkan bahawa Aisyah (r.ah) memberitahu kita bahawa Rasulallah (s.a.w) tidak memulakan membaca al-Fatihah dengan membaca ‘Basmalah’, tetapi terus membaca ‘Alhamdulillahi rabbil 'alamin' ...’. Dalam hadith berikut pula Anas b Malik (r.a) memberitahu bahawa Rasulallah (s.a.w) juga Abu Bakar (r.a) juga Omar (r.a) tidak memulakan membaca al-Fatihah dengan membaca 'Basmalah'.
5. Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a) berkata: ‘Adapun Rasulallah (s.a.w), dan Abu Bakar (r.a) dan Omar (r.a) memulakan bacaan (al-Fatihah) dalam solatnya dengan 'Alhamdu-lillahi rabbil ‘alamin'.’[Hadith sahih an-Nasa’i dan Ibnu Majah]
Jelasnya, ketika membaca al-Fatihah, Rasulallah (s.a.w) dan khalifah ar-Rasyidin al-mahdiyin tidak memulakannya dengan membaca 'Basmalah', mereka terus membaca Surah al-Fatihah tersebut tanpa membaca 'Basmalah'. kalau kita pernah ke Mekah dan Madinah ketika mengerjakan ibadah haji dan umrah kita mendengar bahawa imam-imam di Masjid al-Haram dan Masjid an-Nabawi tidak memulakan membaca al-Fatihah dengan 'Basamalah'. Ini bukanlah kelaziman Wahabi, sebagaimana yg sering disebutkan oleh ramai ulama', tetapi adalah ketetapan as-Sunnah. Begitu juga, semasa membaca satu surah untuk rakaat pertama dan kedua solat dan bagi setiap rakaat solat-solat sunat.
Adakah pernah Rasulallah (s.a.w) membaca 'Basmalah' ketika memulakan bacaan al-Fatihah? Atau, mungkinkah Rasulallah (s.a.w) membaca kalimah 'Basmalah' itu secara perlahan, yakni hanya boleh didengarnya sendiri dan kita dikuatkan bacaannya? Soalan ini penting, kerana hari ini majoriti umat Islam, terutama para ulama' dan ilmuwan arus perdana, membaca kalimah 'Basmalah' dengan kuat atau menyaringkan suara mereka. Betulke begitu atau pernah dilakukan oleh Rasulallah (s.a.w)?
6. Diriwayatkan hadith daripada Qatadah (r.a) daripada Anas bin Malik (r.a) berkata: ‘Bersolat aku di belakang Rasulallah (s.a.w), dan dibelakang Abu Bakar (r.a) dan di belakang Omar (r.a) dan dibelakang Othman (r.a), maka tidak mendengar aku salah seorang daripada mereka mengeraskan (atau menguatkan bacaan) 'Bismillahir-rahmanir-rahim)'’ [Hadith an-Nasa’i]
Hadith di atas menyebutkan kata Anas b Malik (r.a) bahawa dia bersolat di belakang Rasulallah (s.a.w) dan di belakang tiga daripada khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin, iaitu Abu Bakar, Omar dan Othman, radiallahu 'anhum. Mereka tidak mengeraskan bacaan 'Basmalah'. Maksudnya, mereka baca 'Basmalah' sebelum membaca al-Fatihah tetapi tanpa dijaharkan (i.e. dikuatkan), yakni setakat boleh didengar oleh diri pembaca sahaja.
Justeru itu, dapat kita rumuskan bahawa apabila menbaca al-Fatihah (dan Surah dalam solat), kta tak perlu membaca 'Basmalah' atau kalau hendak dibaca dibolehkan tetapi hendaklah tidak dikuatkan bacaannya. Tidak ada sandaran nas dan dalil al-Hadith bahawa kalimah 'Basmalah' itu dibaca dengan kuat. Tidak ada sandaran nas dan dalil al-Quran dan as-Sunnah bahawa kalimah Taawuz (i.e. 'A'uzubillahi minas-syaitanir-rajim' dibaca dalam solat. Namun ada ulama' berpendapat oleh kerana Allah (a.w) perintahkan kita bahawa apabila hendak membaca al-Quran hendaklah dimulakan dengan kalimah Taawuz, maka boleh dibaca tetapi tidak dijaharkan atau dikuatkan atau dikeraskan suara sebagaimana juga kita baca 'Basmalah').
Insya Allah kita akan teruskan penelitian kita tentang kaedah bersolat Rasulallah (s.a.w) ini kemudian nanti.
Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment