Wednesday, January 20, 2010

Solat: Berapa hari boleh qasar dan jama'kan solat?

Assalamualaikum,
Setelah kita dapati ilmu yg haq mengenai perbuatan mengqasar dan menjama'kan solat berpandukan as-Sunnah, soalannya, berapa harikah kita boleh qasar dan jama'kan solat? Kita lihat panduan as-Sunnah mengenai perkara ini.
Kita telah dimaklumkan ketetapan as-Sunnah bahawa Rasulallah (s.a.w) apabila bermusafir mengqasarkan solat-solat fardu yang empat rakaat menjadi dua rakaat dan beliau juga menjama’kan solat-solat Zohor dengan Solat ‘Asar, dan solat Maghrib dengan Solat Isya’. Di dalam bahagian ini kita akan teliti berapa harikah boleh dijama’ dan diqasarkan solat?

(a) Mengqasar dan Menjama’kan Selama 9 hari

Mengikut hadith di bawah ini pula, Jabir mengatakan bahawa Nabi (s.a.w) musafir dan menetap di Mekah untuk sesuatu tujuan pada 4 Zulhijjah, kemudian kembali ke Medinah selepas habis musim haji (yakni, 13 Zulhijjah). Sepanjang tempoh tersebut beliau menqasarkan solat fardunya – iaitu selama sembilan (9) hari.
1. Diriwayatkan hadith daripada Jabir bin Abdullah (r.a) di dalam sekumpulan manusia (yakni, orang-orang), berkata: ‘Telah datang Nabi (s.a.w) ke Mekah pada tanggal 4 telah lewat dari bulan Zulkhijjah.’ [Hadith Ibnu Majjah]

(b) Menjama’ dan Mengqasar Selama 10 Hari

Hadith berikut pula daripada Anas (r.a) yang menyatakan bahawa beliau bersama-sama dengan Rasulallah (s.a.w) bermusafir dari Madinah ke Mekah dan menetap di Mekah selama sepuluh (10) hari. Semasa menetap di Mekah mengqasarkan solat fardunya dua rakaat dua rakaat. Yakni, boleh diqasarkan solat kerana musafir itu selama 10 hari.
2. Diceritakan hadith daripada Yazib bin Zurai’in dan Abdul A’la, berkata kedua-duanya: ‘Menceritakan kepada mereka hadith itu daripada Abi Ishak, daripada Anas (r.a), berkata: ‘Keluar aku beserta Rasulallah (s.a.w) dari Madinah (pergi) ke Mekah. Maka bersolat kami (mengqasarkan solat) dua rakaat dua rakaat sehingga kembali kami (ke Madinah). Berkata Yahya: ‘Berapa lama dia menetap di Mekah?’ Berkata Anas (r.a): ‘Sepuluh (10) hari’. [Hadith Ibnu Majjah]

(c) Jama’ dan Qasar 13 hari

Sebagai permulaannya, mengikut hadith berikut dilapurkan bahawa Rasulallah (s.a.w) mengqasarkan solat fardunya selama tempoh tiga belas (13) hari, yakni, sepanjang bulan Zulhijjah sampai hari tasyrik, iaitu tiga belas (13) hari.
3. Diriwayatkan hadith daripada Abdul Rahman bin Humaidin az-Zuhri berkata: ‘Bertanya aku kepada Saib bin Yazid: ‘Apakah mendengar engkau dalam diam (yakni, semasa menetap) di Mekah?’ Berkata Sabit: ‘Telah mendengar aku al-‘Ala bin Hadhrami berkata: ‘Bersabda Nabi (s.a.w): ‘Tiga hari kerana bertempat selepas selesai mengerjakan haji.’ [Hadith Ibnu Majah]
Hadith ini menjelaskan bahawa ibadah haji itu bermula waktu Wukuf di Arafah, iaitu tanggal 10 Zulhijjah, kemudian disambung pula mengqasarkan solat tiga hari lagi, menjadikannya tiga belas (13) hari. Hadith di atas menjelaskan bahawa solat jama’ dan qasar itu dilakukan oleh Rasulallah (s.a.w) selama 10 hari pada musimhaji beliau.

(d) Menjama’ dan Mengqasarkan Solat 15 Hari

Di dalam hadith berikut kita diberitahu oleh Abdullah (a.w) bin Abbas (r.a) bahawa Rasulallah (s.a.w) mengqasarkan solat fardunya selama lima belas (15) hari:
4. Diriwayatkan hadith daripada Abdullah bin Abbas (r.a) berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) tinggal selama lima belas (15) hari di Mekah selepas peperangan dan dia mengqasarkan (yakni, memendekkan) solatnya (yakni, empat rakaat dijadikan dua rakaat).’ [Hadith Abu Daud]
Di dalam hadith di bawah ini pula katanya dia dan Rasulallah (s.a.w) menetap kerana musafir di Mekah selepas menang satu peperangan selama lima belas (15) hari mengqasarkan solat fardu sepanjang tempoh mereka menetap di Mekah itu.
5. Diriwayatkan hadith daripada Ibnu Abbas (r.a) berkata: ‘Sesungguhnya Rasulallah (s.a.w) bertempat di Mekah selepas menang perang (selama) lima belas (15) malam, mengqasar dia akan solatnya.’ [Hadith Ibnu Majjah]

(e) Qasar dan Jama’ Selama 17 Hari

Di dalam hadith di bawah ini pula, ibnu Abbas (r.a) memberitahu bahawa Rasulallah (s.a.w) mengqasar dan menjama’kan solat-solat fardunya selama tujuh belas (17) hari. Selian itu, ibnu Abbas (r.a) juga memberitahu satu prinsip yang lain, iaitu jika orang tempatan (yakni, qariah tersebut), tidak boleh mengqasarkan solatnya.
6. Diriwayatkan hadith daripada Abdullah bin Abbas (r.a) berkata: ‘Bahawa Rasulallah (s.a.w) berhenti (yakni, bermukim sementara) di Mekah selama tujuh belas (17) hari dan dia mengqasarkan (yakni, memendekkan) solatnya (menjadi dua rakaat). Berkata Ibnu Abbas (r.a): ‘Sesiapa yang berhenti sementara hendaklah memendekkan solatnya, dan sesiapa yang tinggal melebihi jangka waktu itu hendaklah bersolat sempurna (yakni, dibuat empat rakaat).’ [Hadith Abu Daud]
Hadith di atas itu memberikan nas dan dalil syariat bahawa mereka yang didalam musafir boleh mengqasar dan menjama’kan solatnya selama tujuh belas (17) hari manakala orang yang bermukin di tempat tersebut tidak boleh menjama’ dan mengqasarkan solat mereka.

(f) Menjama’ dan Mengqasarkan 18 Hari

Di dalam hadith dibawah ini diceritakan oleh seorang sahabat, Imran, bahawa Rasulallah (s.a.w) pernah mengqasar dan menjama’kan solat-solat fardunya selama lapan belas (18) hari. Tetapi, orang qariah tersebut (yakni, tempat dia berhenti rehat sebentar itu) tidak boleh memendekkan solat-solat fardunya.
7. Diriwayatkan hadith daripada Imran bin Husain (r.a) berkata: ‘Aku di dalam musafir dengan Rasulallah (s.a.w) selepas satu penaklukan. Beliau tinggal di Mekah selama delapan belas (18) hari dan bersolat dia dua-dua rakaat setiap solat (yakni, mengqasarkan solat fardunya). Maka bersabda beliau (Yakni, Rasulallah (s.a.w)): ‘Kamu yang tinggal (yakni, bermestautin) di sini hendaklah bersolat empat rakaat, kami pengembara (yakni, dalam musafir).’ [Hadith Abu Daud]
Hadith di atas menyebutkan prinsip yang sama sebagaimana disebutkan di dalam hadith sebelumnya, yakni hadith riwayat ibnu Abbas (r.a) itu. Kemudahan hanya kepada mereka yang bermusafir.

(g) Menjama’ dan Mengqasar 19 Hari

Di dalam hadith Ibnu Abbas (r.a) di bawah ini, dia bersama-sama dengan Rasulallah (s.a.w) menetap selepas musafir di Mekah selama sembilan belas (19) hari. Sepanjang tempoh tersebut mereka bersolat fardu dengan mengqasarkannya dua rakaat dua rakaat.
8. Diriwayatkan hadith daripada Ibnu Abbas (r.a) berkata: ‘Bermukim Rasulallah (s.a.w) sembilan belas (19) hari bersolat dia dua-dua rakaat. Adapun kami ketika bermukim (yakni, bertempat) sembilan belas (19) hari, bersolat kami dua-dua rakaat. Maka ketika bertempat (yakni, bermukim) kami melebihi dari demikian itu, bersolat kami empat rakaat (yakni, mengerjakan solat-solat fardu seperti biasa, tidak dijama’ atau diqasarkan).’ [Hadith Ibnu Majah]
Di dalam hadith Ibnu Abas (r.a) di atas itu beliau dan Rasulallah (s.a.w) menjama’kan solat selama 19 hari. Selepas 19 hari mereka membuat solat fardu seperti biasa iaitu empat rakaat setiap solat yang empat rakaat.

(h) Menjama’ dan Mengqasarkan 20 Hari

Di dalam hadith di bawah ini pula diriwayatkan oleh seorang sahabat akrab Rasulallah (s.a.w), iaitu Jabir bin Abdullah (r.a), bahawa Rasulallah (s.a.w) mengqasarkan solat-solatnya selama dua puluh (20) hari.
9. Diriwayatkan hadith daripada Jabir bin Abdullah (s.a.w) berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) tinggal selama dua puluh (20) hari di Tabuk dan beliau memendekkan solatnya (yakni, empat menjadi dua rakaat sahaja).’ [Hadith Abu Daud]
Hadith di atas menyebut bahawa Rasulallah (s.a.w) mengqasar dan tidak menjama’kan solat-solatnya selama 20 hari beliau bermusafir itu. Hakikatnya, Rasulallah (s.a.w) juga menjama’kan solat-solat tersebut. Demikianlah, kita mendapat tahu ilmunya tentang menjama’ dan mengqasarkan solat fardu itu untuk kemudahan kita.
Walaupun kita diberi keringanan untuk mengqasar dan menjama'kan solat-solat fardu ketika dalam musafir sebanyak yg disebutkan dalam hadith-hadith tersebut - maksimumnya 20 hari - namun jika kita bermusafir kemudian bermestautin sementara di suatu tempat yg agak kekal kita di situ, maka sebaik-baiknya kita hendaklah menqasr dan menjama'kan solat-solat kita hanyalah untuk 3 hari sahaja. Kecualilah, ketika bertempat di suatu tempat itu, kita perlu menguruskan kerja yg tidak maksiat, terpaksa berpindah-pindah dari suatu daerah atau pekan ke suatu daerah atau pekan setiap hari, maka menyulitkan kita bersolat, wallahu 'alam.
Jazakallahu khairah

1 comment:

  1. rujuk perenggan terakhir, 3 hari sahaja? pendapat sendiri atau ada hadisnya?

    ReplyDelete